Oleh pada 04 Apr 2017 kategori

iluminasi mqa apel ijazah sarjana master diploma sijil2

Apabila membaca kisah statistik berkenaan kelulusan pekerja di negara kita, itu menunjukkan satu bukti jelas bahawa tenaga kerja kita majoritinya mempunyai tahap kemahiran yang rendah melalui kelulusan yang mereka ada. Tahukah anda, 73% daripada tenaga kerja penjawat awam adalah mereka dalam golongan yang bekerja menggunakan kelulusan SPM?

Apa yang berlaku di situ? Adakah berlaku terlalu ramai kes keciciran di mana orang yang gagal menyambung atau menghabiskan zaman belajar mereka berhenti sebegitu sahaja tanpa kembali melengkapkan diri dengan ilmu baru? Adakah tidak ada ada jalan keluar untuk golongan ini? Sebenarnya ada. Tetapi entah mengapalah kaedah ini tidak sebegitu popular. Sama ada pihak berwajib sendiri gagal mempromosikannya dengan lebih baik atau orang ramai tidak mahu melakukan kajian sendiri untuk membantu diri mereka mengetahui ada jalan untuk mereka sambung belajar dengan lebih mudah.

Tidakkah anda tahu berkenaan sijil APEL MQA?

Sijil APEL MQA ini diwujudkan untuk membantu mereka yang sudah ada pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelulusan untuk mempunyai kelulusan yang diinginkan. Jika sebelum ini untuk mengambil kursus Ijazah misalnya memerlukan beberapa syarat kelayakan tertentu yang besar kemungkinan memerlukan masa yang panjang untuk dipenuhi, dengan kelulusan APEL ini akan mempercepatkan proses yang ada. Yang penting anda nak sambung belajar.

APEL atau Accreditation of Prior Experiential Learning adalah satu kaedah yang diwujudkan oleh MQA untuk membantu pekerja-pekerja yang senior mendapatkan kelulusan tanpa melalui jalan panjang, asalkan mereka mempunyai pengalaman yang mencukupi. Secara ringkasnya, jika tiada SPM dan STPM, boleh terus buat kurus sijil atau Diploma. Jika tidak ada Diploma, boleh terus ambil Ijazah. Jika tidak ada Ijazah, tetapi hanya mempunyai Diploma, boleh terus mengambil kursus Ijazah Sarjana dengan kelulusan MQA APEL ini.

Apa yang menariknya, jika anda menjadi pemegang kelulusan APEL MQA ini, anda bukan sahaja layak menyambung pengajian di IPTS malahan boleh dikatakan kesemua IPTA menerima syarat kemasukan menggunakan APEL MQA ini. Yuran pun lebih murah. Tak perlu ambil PTPTN lagi.

Untuk mendapatkan kelulusan APEL melalui MQA akan mengambil masa sedikit. Sekitar 6 bulan bermula dari proses permohonan sehinggalah layak mendapat sijil akuan kelayakan. Selepas permohonan diterima, setiap peserta perlu melalui ujian aptitud yang akan menentukan kelayakan peserta dalam 4 bidang iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Ujian Berfikir. Peserta akan dinilai menerusi soalan yang disediakan dan berdasarkan kepada pengalaman peserta, diakui soalan yang dikemukakan mencabar mengikut tahap.

Janganlah risau. Jika anda memohon untuk kemasukan peringkat Diploma, soalannya berbeza jika dibandingkan dengan soalan peringkat kelulusan Sarjana.

Selepas berjaya dalam ujian aptitud (anda tidak boleh gagal, jika gagal perlu mengulang sampai lulus) anda akan diberikan masa untuk menyiapkan portfolio anda untuk ditemuramah oleh barisan panel yang akan dilantik oleh pihak MQA. Di sinilah anda perlu menerangkan kenapa anda layak diberikan sijil APEL MQA dan yang paling penting, anda perlu tahu ke mana anda ingin sambung belajar dan kursus apa yang ingin diambil.

Oleh kerana kekangan yang ada, pihak MQA hanya akan mengeluarkan kelulusan untuk anda menyambung pengajian dalam bidang yang disokong oleh pengalaman anda. Bidang ini pula hanya terhad kepada beberapa bidang yang telah ditetapkan oleh pihak MQA. Anda boleh merujuk kepada pautan di bawah untuk mengetahui adakah bidang anda termasuk dalam senarai yang diwartakan.

Pasti di luar sana ramai yang mahu sambung belajar dan menambahkan ilmu tetapi tidak dapat mengikut syarat dan langkah yang ditetapkan. Adakah APEL ini membantu anda? Apa pula cadangan kepada pihak MQA untuk diperkenalkan sebagai penambahbaikan kepada program yang ada?

Nyatakan dalam ruangan komen dibawah.

Capaian ke laman MQA


tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)