kursus stem tidak dapat sambutan

Perubahan dunia yang sedang menuju ke arah Revolusi Industri ke empat, bakal mengubah segala-galanya yang kita tahu tentang masa depan manusia.

Kami sudah membincangkan tentang apa itu revolusi industri ke 4 yang sedang dan bakal berlangsung, dalam mengubah dan mengadunkan penggunaan teknologi ke dalam sektor-sektor tertentu; bagi meningkatkan kepenggunaan automasi melalui pengaturcaraan dan kepintaran buatan.

Selaras dengan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengorak langkah mengemaskini penawaran kursus-kursus di peringkat pengajian tertiari agar lebih seiring dengan Revolusi Industri. Malangnya, kursus-kursus berkaitan sains dan kejuruteraan yang dilihat bakal terjejas. Mengapa?

Kurangnya populariti penerimaan pelajar kursus STEM

jurusan stem ipta

Sudah acapkali perbincangan berkenaan isu yang melanda pendidikan dalam aliran STEM iaitu 'Science, Technology. Engineering and Mathematics' menjadi perbualan di kalangan ahli-ahli akademik. Tidak dapat dipastikan secara jelas dan terperinci mengapa berlakunya kadar penurunan yang ketara dalam jumlah pelajar yang mahu mengambil kursus berkaitan STEM sama ada di peringkat sekundar ataupun tertiari.

Lebih sedekad lamanya pelbagai usaha dilakukan bagi mengembalikan minat pelajar generasi baru khasnya kepada subjek-subjek STEM, tetapi kajian yang dijalankan menunjukkan majoriti pelajar kurang berminat dengan aliran tersebut.

Antara alasan yang disebutkan adalah kebanyakan pelajar, khasnya pelajar sekolah menengah merasa terbeban dengan tahap kesukaran yang melibatkan subjek-subjek tersebut. Perkara ini juga diburukkan lagi dengan peranan ibu bapa sendiri, yang kerap kali memainkan sentimen fobia kepada anak terhadap potensi pendidikan bersifat STEM pada karier - sedangkan pakar dalam bidang STEM amat diperlukan untuk pembangunan negara.

kursus ipta universiti yang tidak lagi ditawarkan

Sekiranya kekurangan minat sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi, situasi itu seterusnya menyumbang kepada kekurangan pekerja-pekerja berkemahiran dalam bidang tersebut - sehinggakan negara kita kekurangan mereka yang benar-benar berkebolehan bukan saja dari segi ilmu, malahan dari segi kemahiran menginovasikan ilmu yang ada untuk dibolehpasarkan.

Banyak pihak menyalahkan ibu bapa sebagai punca utama, mendorong anak-anak menjauhkan diri daripada aliran STEM sehingga berlakunya penurunan jumlah pelajar ketara. Pada tahun 2012, seramai 203,391 memilih aliran STEM tetapi bagi tahun 2018, hanya 167,962 saja memilihnya.

Ibu bapa dikatakan takut anak tidak mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan SPM, jadi memilih jalan mudah untuk anak-anak berjaya - menggesa anak memilih aliran kurang beban supaya keputusan anak lebih cemerlang. Anda setuju dengan pendapat ini?

Perubahan STEM dalam pendidikan

pelajar jurusan stem kurang

Beberapa rancangan untuk memperbanyakkan lagi penyertaan pelajar dalam aliran STEM mula dilaksanakan di bawah Kementerian Pendidikan, bermula dengan pengenalan perubahan polisi STEM pada awal tahun 2019. STEM akan diperkembangkan kepada konsep lebih besar, menjadi STREAM atau 'Science, Technology, Reading, Engineering, Arts and Mathematics.'

Dengan penambahan dua elemen baru ke dalam pendidikan iaitu pembacaan dan seni, penekanan berbentuk baru dilihat dalam memacu minda pelajar dalam memudahkan pemahaman terhadap konsep dalam aliran STEM. Ini adalah perubahan asas yang perlu dilakukan kerana menurut maklum balas yang diterima - 70% pelajar menolak aliran STEM kerana merasakan aliran tersebut terlalu berasaskan kepada pembelajaran teoretikal.

Dengan penggabungan ini, tidak akan wujud lagi aliran sains dan sastera yang selama ini menjadi pilihan kepada pelajar - tetapi hanya akan wujud satu saja aliran yang lebih besar skopnya, merangkumi kesemua elemen yang ada.

Penguguran kursus-kursus bersifat lapuk

hala tuju pendidikan negara

Walaupun usaha murni kerajaan itu harus dipuji - satu persoalan bakal menghantui kembali kita; bagaimana pula dengan potensi karier mereka yang berada dalam jurusan ini kelak?

Sudah sekian lama sistem pendidikan di negara kita diolah untuk mengikut acuan industri, dengan institusi pendidikan menyediakan kursus bagi memenuhi keperluan pemain-pemain industri negara. Secara tak langsung, ramai ahli masyarakat sudah lama merasakan pemilihan sesuatu kursus di peringkat tertiari perlulah dilakukan dengan mementingkan prospek kerjaya sebagai asas utama.

Ini menyebabkan banyak kursus yang ditawarkan dirasakan lapuk - hanya kerana tiada peluang pekerjaan ditawarkan sedangkan kursus-kursus ini sebenarnya layak dikatakan satu keperluan bagi sebuah negara seperti kita.

Jadi agak mengejutkan apabila pada 23 September 2019, media mula melaporkan bahawa 19 universiti di negara kita bakal mengugurkan kursus-kursus berkaitan sains dan kejuruteraan daripada penawaran mereka - disebabkan oleh ketiadaan permintaan di sektor industri.

Antara kursus yang bakal ditamatkan adalah:

1. Universiti Pendidikan Sultan Idris : Psikologi sukan (sains sukan) dan program perusahaan (teknologi pendidikan)

2. Universiti Malaya : kursus rekaan produk dan kejuruteraan sivil

3. Universiti Kebangsaan Malaysia : kursus kejuruteraan sivil dan kejuruteraan buatan

4. Universiti Putra Malaysia : kursus pendidikan sekolah rendah dan kursus pengurusan air

5. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia : kursus pengurusan pendidikan dan kursus pendidikan sekolah rendah aliran Islam

6. Universiti Malaysia Terengganu : kursus falsafah dan ketamadunan serta kursus pengijazahan kaunseling

7. Universiti Malaysia Sarawak : kursus ekonomi industri dan kursus telekomunikasi

8. Universiti Malaysia Sabah : kursus kewangan dan ekonomi serta kursus perancangan ekonomi

9. Universiti Malaysia Perlis : kursus kejuruteraan fotonik dan kursus kejurteraan/rangkaian komputer

10. Universiti Malaysia Pahang : kursus kejuruteraan pemprosesan biologi dan kejuruteraan kimia

11. Universiti Malaysia Kelantan : kursus ijazah animasi, pembangunan perisian permainan video dan rekaan telekomunikasi

Fokus keperluan industri atau penyelidikan?

pelajar belajar teknologi

Tidak dapat dipastikan sama ada kursus yang bakal dihentikan penawarannya ini adalah disebabkan oleh kekurangan pengambilan pelajar yang terlalu rendah atau disebabkan oleh ketiadaan permintaan dari segi keperluan industri.

Setakat ini, masih belum jelas apakah visi sebenar pendidikan di negara kita - sama ada masih lagi berorientasikan keperluan industri atau bertahan dengan meneruskan program-program asas, dalam memperbetulkan keperluan STEM yang sangat rendah pakarnya di negara kita.

Jika anda tanya pada penulis - perkara ini sangat sukar untuk ditangani kerana negara mungkin memerlukan pakar dalam bidang STEM atau STREAM yang ramai bagi memastikan kemampuan negara kita untuk terus bersaing. Namun, graduan memerlukan peluang pekerjaan.

Mana lebih penting? Penulis beranggapan kerajaan sepatutnya meneruskan dasar meluaskan lagi aliran pendidikan kita, tanpa perlu terikut-ikut sangat dengan kehendak industri. Pendidikan sepatutnya mencorak industri sesebuah negara, bukan industri yang mencorakkan pendidikan negara tersebut.

Barulah asas kita kukuh kerana kita boleh berinovasi dengan lebih kuat, berbanding hanya menjadi pengguna akhir semata-mata.

Rujukan

Higher Education DG: 38 academic programmes irrelevant to job market demand dropped



Hakcipta iluminasi.com (2017)