Oleh pada 17 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Utusan Online / Ahmad Zakki Jilan

Sekumpulan pelancong seramai 54 orang dari 18 negara yang bercuti di Pulau Tioman terkandas disebabkan keadaan laut bergelora sehingga operasi perkhidmatan feri terpaksa dibatalkan.

Mereka terperangkap di pulau tersebut sejak Khamis lalu. Namun, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) segera mengambil langkah untuk menyelamatkan mereka menggunakan kapal KD Terengganu dan kesemuanya selamat tiba di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan semalam.

Sepasang suami isteri pelancong, Moritz Langner (25 tahun) dan Polina Langner (23 tahun) meluahkan rasa lega kerana mereka akhirnya sampai di tanah besar hari ini susulan penerbangan ke Munich, Jerman yang dinaiki berlepas pada hari Rabu ini.

"Tentera laut ialah peluang terakhir kami untuk meninggalkan pulau ini. Sekarang kami berharap kami sempat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebelum penerbangan itu berlepas," katanya.

Menurut Langner lagi, mereka datang ke Kuala Lumpur pada 6 Januari sebelum pergi mengunjungi Pulau Tioman pada 8 Januari.

"Kami merancang untuk meluangkan masa dua hingga tiga hari di sana tetapi kami diberitahu bahawa perkhidmatan feri tidak dibenarkan beroperasi kerana berbahaya. Kami menunggu dan bimbang jika terlepas penerbangan kami," ujarnya.

Seorang pelancong tempatan, Azli Jeman (30 tahun) dari Selangor, pula memberitahu beliau terkejut pengalaman kali pertama menjejakkan kaki di pulau itu bagi tujuan kerja disudahi dengan menaiki kapal tentera.

Tambahnya, beliau ditugaskan ke pulau tersebut selama sehari untuk kerja pemeriksaan dan pembaikpulihan sistem janakuasa di sebuah hotel pada Rabu lalu.

"Saya hendak keluar pada Khamis tapi diberitahu tiada bot kerana ombak kuat. Jadi mahu atau tidak hanya boleh menunggu. Risau juga jika bot yang datang hanya feri kecil kerana ombak kuat," ujarnya.

Lain pula ceritanya buat pasangan pengantin baru, Isma Syukri Ishak dan Nur Faradila Daud (28 tahun) yang telah lama menyimpan hasrat untuk berbulan madu di pulau berkenaan setelah selamat bernikah pada minggu lepas.

Mereka mulai risau setelah dimaklumkan berita tersebut kerana terpaksa menanggung kos penginapan hotel yang semakin meningkat.

Sumber berita: Bernama & Astro Awani




Hakcipta iluminasi.com (2017)