passage du gois 315

Kebiasaannya, untuk menghubungkan penduduk yang tinggal di pulau dan dataran besar yang berhampiran, jambatan bagi kenderaan dibina bagi memudahkan penduduk keluar dan masuk. Walaupun pembinaan jambatan memerlukan kos yang lebih tinggi, ianya lebih efektif sebagai jalan utama perhubungan berbanding menggunakan feri atau bot yang mengambil masa lebih lama.

Menariknya di Perancis, terdapat satu jalan dimana ianya hanya boleh digunakan pada ketika air surut. Jalan yang diberi nama Passage du Gois ini merupakan sebuah jalan yang menghubungkan Pulau Noirmoutier dan dataran besar berhampiran.

Rekabentuk geografi Passage du Gois

papan tanda passage du gois

Jalan Passage du Gois ini ditemui pada tahun 1701. Ianya adalah laluan sempit yang terhasil akibat deposit lumpur yang perlahan-lahan membentuk tebing. Jalan ini hanya boleh dilalui dua kali sehari semasa air surut.

Terdapat papan tanda khas di permulaan jalan ini untuk memberitahu pengguna sama ada laluan ini selamat digunakan atau tidak. Walau bagaimanapun, pengguna perlu maklum bahawa sebarang kemalangan ketika menggunakan laluan ini adalah atas tanggungan sendiri.

Kerana bentuk muka bumi kawasan ini, maka jalan ini sentiasa licin. Terdapat juga papan tanda yang mengarahkan pemandu untuk memandu perlahan di jalan ini dan tidak berhenti secara tiba-tiba di atas jalan raya. Malah, pemandu juga dilarang keras meletak kenderaan di bahu jalan raya kerana jalan ini begitu sempit dan hanya muat untuk laluan kenderaan.

Hanya boleh dilalui dalam masa 1 jam

platform keselamatan

Menariknya, jalan ini hanya boleh dilalui oleh kenderaan dalam masa 1 jam ketika air surut. Walau bagaimanapun, pemandu tidak perlu memandu terlalu laju memandangkan jarak jalan ini ke seberang hanyalah 4.15 km.

Keunikan jalan ini sini sentiasa menarik pelancong daripada luar untuk datang ke sini dan merasai pengalaman memandu di kawasan yang merbahaya ini. Menurut rekod, setiap tahun pasti ada kenderaan yang ditenggelami air kerana pemandu tidak sempat untuk menghabiskan perjalanan ke seberang.

passage du gois france

Menyedari akan keunikan jalan ini yang menarik ramai pelancong, kerajaan telah membina beberapa perhentian di sepanjang jalan ini. Sebagai langkah keselamatan juga, di kawasan-kawasan perhentian ini telah disediakan platform tinggi untuk pengguna naik menyelamatkan diri sekiranya mereka tidak sempat untuk menghabiskan perjalanan ke seberang.

Penggunaan Passage du Gois dalam aktiviti sukan

tour de france

Keunikan jalan ini tidak menghalang aktiviti sukan diadakan menggunakan jalan ini. Setiap tahun, pertandingan Foulées du Gois diadakan di atas jalan ini. Ianya adalah pertandingan lumba lari antarabangsa di atas jalan ini dengan jarak keseluruhan 8.3 kilometer, iaitu 4.15 kilometer satu hala.

Pertandingan ini dimulakan sejak tahun 1987 dan diadakan setiap tahun pada musim panas. Kebiasaannya bulan Jun menjadi pilihan kerana tempoh waktu siang yang lebih panjang dan suhu air yang lebih sesuai. Acara larian ini biasanya diadakan pada waktu petang ketika air surut.

jalan unik

Pada tahun 1999, jalan ini juga pernah digunakan dalam pertandingan lumba basikal Tour de France ketika Peringkat ke 2. Malangnya, permukaan jalan yang licin telah menyebabkan ramai pelumba tergelincir dan mengalami kemalangan termasuklah pelumba-pelumba ternama.

Jalan ini sekali lagi digunakan dalam perlumbaan Tour de France pada tahun 2011 sebagai tempat permulaan bagi peringkat pertama. Sekiranya anda melancong ke Perancis, jangan lupa datang memandu di jalan yang bukan sahaja unik tetapi mencabar ini.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Atlas Obscura
  3. Mirror

tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)