Sistem kereta api di Jepun sememangnya terkenal di seluruh dunia kerana kecekapan dan ketepatan masa mengikut jadual perjalanan. Di bandar raya Tokyo, kira-kira 40 juta orang pengguna menggunakan perkhidmatan kereta api ini setiap hari, jauh melebihi perkhidmatan awam yang lain seperti bas dan teksi.

Jaringan kereta api di Jepun sangat mengagumkan. Di hampir setiap stesyen, kereta api akan tiba dalam sela masa sekitar 5 minit secara puratanya. Ketika waktu puncak seperti awal pagi dan petang pula, kereta api boleh didapati setiap 2 hingga 3 minit. Oleh itu, secara kasarnya terdapat 24 perjalanan kereta api bagi setiap jam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan jumlah trip kereta api yang banyak ini, mungkin ada yang menyangka bahawa orang Jepun tidak mempunyai masalah ke tempat kerja kerana kereta api mudah didapati. Realitinya, warga Jepun terpaksa bersesak-sesak setiap pagi dan petang untuk menggunakan perkhidmatan ini memandangkan jumlah penumpang terlalu ramai.

Penumpang melebihi kapasiti

subway shinjuku

Walaupun terdapat banyak kereta api dalam sela masa yang pendek, keadaan ketika waktu puncak sentiasa terlalu ramai dengan orang yang mahu pergi dan pulang daripada tempat kerja. Sekiranya anda naik kereta api ketika waktu puncak, adalah hampir mustahil anda akan berpeluang duduk di tempat duduk yang disediakan di dalam kereta api.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tanah, Insfrastruktur dan Pengangkutan Jepun pada tahun 2007 telah menunjukkan tahap kesesakan di setiap stesyen kereta api bawah tanah di Jepun. Daripada laporan ini, dapat dilihat dengan jelas bahawa hampir kesemua kereta api ini beroperasi dengan kapasiti melebihi 100% dan sebahagiannya mencecah 200%.

Di Malaysia, kita kadangkala dapat melihat kereta api tidak dapat dipenuhkan dengan lebih ramai penumpang memandangkan segelintir penumpang enggan untuk memenuhkan ruang tengah gerabak kereta api dan lebih gemar berdiri berhampiran dengan pintu.

Kepentingan Oshiya

oshiya

Walau bagaimanapun, di Jepun bagi memastikan setiap gerabak kereta api mampu memuatkan penumpang yang melebihi kapasiti ini, setiap stesyen biasanya akan mempunyai beberapa orang pekerja yang ditugaskan untuk menolak masuk para penumpang agar dapat memenuhi setiap gerabak kereta api.

Anda mungkin pernah melihat situasi ini dalam filem dan ia sebenar-benarnya memang berlaku di Jepun. Para petugas khas ini dikenali sebagai Oshiya dan mereka akan menolak penumpang masuk ke dalam gerabak kereta api sehinggalah pintu gerabak tersebut dapat ditutup rapat.

Sewaktu ketika dahulu ketika Oshiya mula digunakan di Stesyen Shinjuku di Tokyo, mereka ini digelar sebagai "kakitangan pembantu penumpang". Pada awalnya, mereka ini hanyalah para pelajar yang bekerja secara separuh masa. Kini, tiada pekerja khas yang diambil sebagai Oshiya sebaliknya staf stesyen kereta api itu sendiri akan bertugas sebagai seorang penolak penumpang pada waktu diperlukan.

Sejarah permulaan Oshiya

oshiya jepun

Walaupun pekerjaan seperti ini begitu sinonim dengan Jepun, dikatakan tugas seperti ini telah wujud terlebih dahulu di bandar New York satu abad lebih awal. Walau bagaimanapun, ianya kurang mendapat perhatian kerana para pekerja ini lebih sopan dan lemah lembut dalam memastikan penumpang dapat masuk ke dalam gerabak.

Walau bagaimanapun, fungsi Oshiya menunjukkan penurunan setelah kemunculan pintu automatik sehingga menyebabkan khidmatnya tidak lagi diperlukan menjelang tahun 1920-an. Pada era ini, beberapa buah filem pernah dihasilkan bagi menggambarkan realiti kerja sebagai seorang Oshiya antaranya filem The Big Noise (1928) dan Subway Sadie (1926).

Namun, pada masa kini walaupun pintu automatik sudah digunakan, khidmat Oshiya kembali ditagih memandangkan terlalu ramai warga Jepun yang menggunakan kereta api. Fungsi Oshiya bagi masa kini adalah bagi memastikan setiap gerabak benar-benar penuh dengan penumpang.

Realiti sebagai seorang pengguna perkhidmatan awam

tokyo compression

Sekiranya anda seorang pengguna perkhidmatan awam terutamanya kereta api, anda pasti tahu bagaimana sesaknya keadaan apabila begitu ramai penumpang berpusu-pusu berebut untuk masuk ke dalam gerabak kereta api. Ditambah pula dengan bau yang kurang menyenangkan yang menjadikan keadaan lebih buruk.

Cuba bayangkan di Jepun di mana pengguna perkhidmatan kereta apinya lebih ramai. Keadaannya tentulah lebih teruk daripada Malaysia, seolah-olah penumpang berada dalam tin sardin.

Seorang jurugambar daripada Hong Kong, Michael Wolf telah menghasilkan satu siri album bertajuk Tokyo Compression dimana beliau telah menangkap gambar-gambar orang yang mengalami trauma dan kesakitan kerana mereka telah ditolak oleh Oshiya untuk masuk ke dalam kereta api.

Selain muka yang ditekup rapat ke dinding, kelihatan badan-badan penumpang ini juga berada begitu rapat antara satu sama yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak. Malah, untuk keluar ke satu-satu stesyen juga memerlukan usaha yang lebih memandangkan keadaan yang terlalu padat.

Bagi penumpang wanita pula, mereka mestilah lebih berhati-hati memandangkan keadaan sesak dan sempit seperti ini pastinya mengundang penyeluk saku dan lelaki yang mengambil kesempatan untuk meraba mereka.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Japan Info
  3. Quora



Hakcipta iluminasi.com (2017)