Oleh pada 02 Mar 2017 kategori

Beberapa tahun dahulu saya pernah menyertai bos dan rakan-rakan pejabat yang lain untuk berbuka puasa di sebuah restoran ala Mexico di Damansara. Majoriti rakan pejabat saya bukan beragama Islam, namun memandangkan ketua pengarah telahpun membuat tempahan di restoran berkenaan untuk meraikan semua orang, maka saya beserta 2 orang lagi rakan Muslim lain pun akur saja.

Lagipun restoran itu memang menyediakan buffet istimewa sempena Ramadhan. Siap ada buat promosi dalam Groupon lagi masa tu. Mestilah halal kan sebab nak jamu orang buka puasa?

daging halal semakin popular di eropah dan negara barat

Sangkaan saya meleset.

Semasa beratur mengambil makanan, saya berbisik untuk bertanyakan kepada seorang pelayan sama ada makanan yang dihidangkan itu semuanya halal. Namun apa yang dia maklumkan memeranjatkan saya.

"Semua ayam dan daging memang guna yang halal kak. Minyak pun tak guna lard (minyak lemak babi). Tapi akak jangan ambil yang ini, ini dan ini. Mereka letak wain kat dalam tu."

Nasib baik pelayan berbangsa India itu mempunyai sedikit pemahaman tentang isu halal dan haram. Walau bagaimanapun, saya dan dua kawan lain terus timbul rasa ragu-ragu nak makan. Jamah sikit je nasi dan sayur untuk mengalas perut lepas tu kami memohon diri untuk beransur pulang.

Tetapi tempat itu memang penuh dengan orang Melayu. Saya terfikir, adakah mereka menyemak terlebih dahulu status halal sebelum membuat reservation di situ? Ataupun main belasah je sebab ada "promosi Ramadhan?"

Atau... adakah mereka memang jenis tak kisah? Yang penting, bukan makan babi?

restoran makanan segera di luar negara

Masyarakat Melayu kita kadang-kadang suka main ikut je apa orang lain buat. Nampak ada seorang wanita pakai tudung di kedai XYZ, terus label kedai XYZ tu sebagai halal. Masalahnya, betul ke halal?

Konsep halal ini sebenarnya terlalu luas skop dia. Bukan sekadar merangkumi topik babi dan alkohol sahaja. Rata-rata orang bukan Islam tidak tahu bahawa haiwan perlu disembelih dengan betul sebelum dilabel halal. Tapi rupanya orang Melayu sendiri pun ramai yang lebih jahil daripada non-Muslims.

dulu pernah kecoh seketika pasal coklat ini mengandungi babi

Bila viral cerita coklat tercemar dengan DNA babi, pandai melenting pula masyarakat kita ni.

Tapi....bila mereka berjalan ke luar negara, nampak gaya macam dah tak kisah sangat pun pasal halal haram. Pergi kedai yang jual babi dan alkohol, tapi order makanan sayur. Walaupun hidangan tu berasaskan sayur, adakah anda pasti ia bersih dan suci daripada tercemar dek daging babi tu? Peralatan yang digunakan pun dah sah-sah bercampur-campur kan?

Peniaga di luar negara juga sama seperti di Malaysia. Mereka menjual aiskrim, fritters ataupun street food yang nampak secara kasarnya seakan-akan halal. Tapi anda perlu fahami bahawa halal itu bermula seawal proses penghantaran dan penyediaan barang, proses memasak, seterusnya proses menghidangkan kepada anda. Semua aspek perlu diambil kira.

nampak macam halal sebab tak ada binatang tapi adakah kita benar benar pasti

Kalau dalam mentega yang mereka gunakan awal-awal tu dah mengandungi babi, maka terus jadi tak halallah makanan itu. Ataupun mereka goreng udang menggunakan minyak bekas gorengan bacon. Maka, sudah tercemarlah makanan anda. Dan fish & chips yang menggunakan beer dalam adunan tepung. Halal ke?

Perkara ini bukan sahaja tertakluk kepada mereka yang sering mengembara ke luar negara. Malah dalam negara pun sama. Tengok ada kawan melayu pegi kafe tu, dia pun laju je nak pegi. Tak tahu ke kawan anda tu entah-entah jenis Melayu liberal? Semaklah dahulu sebelum pergi. Jangan jadi pak turut!

Pihak JAKIM telah menyediakan satu platform komprehensif yang menyenaraikan produk/restoran halal di seluruh negara. Kalau mana-mana syarikat yang belum dapat status halal tu, anda boleh hubungi terus mereka dan tanya sendiri.

industri halal di jepun semakin berkembang

Contohnya, sebelum saya ke Jepun dahulu, saya hantar email kepada Japan Halal Association untuk bertanyakan status halal beberapa restoran yang ingin saya kunjungi dalam itinerari. Selain itu, saya juga menghantar email kepada pihak hotel di mana kami bermalam, Nestle, Meiji dan pihak taman tema untuk bertanyakan kandungan bahan yang digunakan dalam makanan dan snek keluaran mereka. Daripada situ, saya lebih berkeyakinan untuk memilih makanan yang selamat dan terjamin halal dan mengelakkan daripada menyentuh makanan yang tidak halal atau diragui.

Pendekatan 'agresif' inilah yang perlu digunakan oleh semua orang. Kita mahukan makanan halal? Buat tinjauan dan gali betul-betul. Kalau dapat jawapan yang tak memuaskan dan anda berasa was-was, lebih baik ditinggalkan dan cari tempat lain. Bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

sungguh ironi

Sebagai seorang Islam, anda perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan yang halalan thoyyiban. Jangan asyik melenting viral sana sini pasal produk ada DNA babi, suruh boikot semua produk dan sebar kata ini semua adalah agenda yahudi.

Kemudian anda sendiri yang pergi "serah diri" makan "babi" di tempat yang diragui status halalnya. Ironik, kan?


tags : , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)