Oleh pada 16 Jun 2019 kategori

Penulis banyak kali mendengar perkongsian pendapat yang agak mengelirukan berkenaan status makanan kosher. Ada golongan Muslim yang mengatakan daging yang berstatus kosher boleh dimakan orang Muslim. Ada juga yang mengatakan status halal dan kosher adalah sama.

beza kosher yahudi dan halal islam

Kita semua tahu halal berkait dengan orang Islam, sementara status kosher pula diistilahkan untuk penganut agama Yahudi. Kedua-duanya mempunyai makna yang serupa iaitu 'dibenarkan' tetapi wujud beberapa perbezaan yang sangat ketara antara kedua-duanya.

Adakah layak kosher dikatakan sama seperti status halal? Jom kita baca secara ringkas apa perbezaan kedua-duanya, agar kita tidak lagi keliru berkenaan kosher dan halal.

1. Adakah daging sembelihan kosher layak dikatakan halal?

ayam kosher

Kita terus kepada soalan paling utama - adakah status kosher bermakna daging itu halal? Jawapannya tidak. Kedua-duanya tidak boleh disamakan kerana kedua-duanya mempunyai syarat dan keperluan yang berbeza.

2. Kenapa tidak layak dikata halal?

shecta oleh shochet

Secara asasnya, teknik penyembelihan haiwan yang diamalkan mengikut ajaran Islam dan agama Yahudi serupa, di mana urat merih di bahagian leher binatang itu perlu diputuskan dan darahnya dibiarkan mengalir keluar.

Bagaimanapun, antara syarat sah sembelihan adalah penyembelih itu sendiri wajib beragama Islam dan perlu melafazkan nama Allah swt. seperti lafaz 'bismillahi Allahu Akbar' semasa melakukan proses menyembelih.

Walaupun begitu, ada juga pandangan mengatakan boleh dianggap halal sembelihan mereka, kerana status mereka sebagai ahli kitab ,asalkan kita pasti mereka datang dari golongan ahli kitab serta proses penyembelihan berlaku dengan sempurna. Bab ini terlalu panjang untuk kami huraikan dalam artikel ini.

Pendapat paling jelas yang dikongsi adalah jika kita ada alternatif halal, elakkan sebarang keraguan kerana kita tidak tahu bagaimana penyembelihan kosher berlaku.

3. Apakah yang dibaca penyembelih Yahudi semasa sembelihan?

Tukang sembelih orang Yahudi yang bergelar 'shochet' merupakan seorang individu Yahudi yang memang dilatih dalam kemahiran sembelihan dan hanya individu tertentu sahaja layak melakukannya. Ini berbeza dengan orang Muslim di mana sesiapa saja lelaki atau wanita, asalkan dia mahir dan berakal serta mencapai usia akil baligh sudah layak menyembelih haiwan.

Wujud banyak pendapat yang menyebut tentang lafaz yang dibaca 'shochet' setiap kali menyembelih. Lafaz mereka digelarkan sebagai 'bracha' atau lafaz niat. Ada yang mengatakan mereka akan membaca “Bismillah Allah Akibah” (dengan nama Allah yang maha besar). Ada juga lafaz panjang yang berbunyi (terjemahan);

"Blessed are You O Lord, our God, Ruler of everything (basically) who makes us holy with His commandments and commands us concerning kosher slaughter."

4. Adakah benar arak dianggap kosher?

wain orang yahudi

Benar. Ini kerana orang Yahudi percaya semua yang diperbuat daripada anggur adalah boleh dimakan, jadi mereka dibenarkan makan, minum dan memasak menggunakan arak dengan syarat arak itu dihasilkan oleh orang Yahudi sendiri.

Banyak pendapat mengatakan pada mulanya orang Yahudi meletakkan arak sebagai sesuatu yang 'therif' (haram) namun berlaku perubahan pada peraturan tersebut oleh pemimpin agama mereka. Perubahan yang berlaku itu kekal sehingga ke hari ini diikuti majoriti orang Yahudi.

5. Betulkah penganut Yahudi dilarang makan serangga?

Serangga dan makhluk halus seperti cacing digelarkan 'tolayim' dalam istilah orang Yahudi. Mereka mempunyai larangan yang cukup ketat dalam hal ini, dimestikan memeriksa sama ada wujud serangga atau hidupan pada bahan seperti buah-buahan atau sayur-sayuran yang akan dimakan.

Agama Islam dan Yahudi melihat serangga sebagai makhluk yang kotor. Dalam kitab mereka di bahagian Leviticus 11:41, disebutkan bahawa serangga yang mempunyai 4 kaki atau lebih serta bersayap haruslah dielakkan. Dalam Islam sendiri ada istilah mustakhbitsah yang bermakna hidupan yang jijik. Hanya apabila kita tidak sengaja termakan makhluk seperti ulat dalam buah sahaja dimaafkan.

6. Benarkah kosher memerlukan seseorang tidak mencampurkan daging dengan susu?

makanan campur daging dengan susu

Ya. Sebarang bentuk makanan yang menggabungkan dua elemen iaitu daging dan susu dianggap tidak menepati piawaian kosher. Oleh yang demikian, kaedah penyimpanan kedua-dua bahan juga perlu diasingkan. Daging akan dipastikan tidak bercampur atau bersentuhan dengan susu. Peralatan memasak juga akan dipastikan berbeza.

Penganut Yahudi mengamalkan waktu menunggu sekiranya mereka mahu mengambil kedua-dua bahan. Sebagai contoh, ramai mengamalkan tempoh menunggu selama 30 minit untuk minum susu selepas makan daging. Ada juga yang mengamalkan tempoh menunggu sehingga 6 jam.

Amalan ini berpunca daripada peringatan dalam kitab Talmud yang melarang pencampuran di antara daging dengan susu ibunya ("don't cook a baby goat in its mother's milk.") Ini bermakna, makanan seperti burger daging berkeju atau pizza pepperoni dengan keju tidak dianggap sebagai sesuatu yang boleh dimakan mereka.

7. Betulkah daging arnab dan unta tidak dianggap kosher?

Benar! Ada empat haiwan yang secara terang diharamkan untuk orang Yahudi - unta, arnab, khinzir dan juga sejenis haiwan yang kita gelarkan sebagai bejar/teledu atau dalam bahasa Inggerisnya 'badger.'

8. Kenapa orang Yahudi tak makan makanan laut?

netanyahu udang galah

Berbeza dengan Islam, penganut agama Yahudi tidak dibenarkan memakan makanan laut selain daripada ikan. Ini kerana di dalam kitab mereka, hanya haiwan yang bersisik dan bersirip sahaja dibenarkan untuk dimakan. Ini menyebabkan makanan-makanan laut popular seperti udang, tiram, kerang dan ketam dianggap bukan makanan kosher.

Oleh kerana itu, banyak usaha-usaha dilakukan bagi 'mencipta' makanan laut kosher melalui kaedah sains. Pada tahun 2016, sebuah syarikat mengumumkan kejayaan mereka mencipta 'udang kosher' yang dibuat menggunakan serbuk protein dan rumpai merah.

Banyak lagilah usaha sedang dijalankan bagi membolehkan penganut Yahudi merasai keenakan makanan laut dalam cara yang berbeza.

Rujukan

Jewish Dietary Laws

Texas AAM University


tags :, , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)