Oleh pada 18 Sep 2017 kategori

Orang Islam dan Yahudi hanya dibenarkan makan produk Halal dan Kosher yang terjaga kesucian dan mematuhi kehendak ajaran agama. Di sesetengah negara terutama sekali negara-negara yang sekular, kekurangan daging Halal menyebabkan ramai orang Islam memilih untuk memakan daging Kosher yang dipercayai sama taraf kedudukannya dengan Halal.

Sebenarnya, adakah orang Islam dibenarkan memakan daging yang disembelih oleh orang Yahudi? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terminologi

Hebrew (Yahudi)Arab (Islam)
kosherhalal
shechitazabiha
shochetzabih
halakhasyariah
treifharam

Secara umumnya, undang-undang halakha orang Yahudi adalah lebih ketat dan rumit daripada hukum Islam. Ini bukan sahaja dapat dilihat dalam aspek halal dan haram sesuatu makanan, ia juga lebih ketat dari segi cara haiwan disembelih, cara memasak dan cara memakan.

kosher dan daging sembelihan ahli kitab boleh dimakan umat islam

Larangan dalam pemakanan

Kedua-dua undang-undang Yahudi dan Islam melarang umatnya memakan bangkai, khinzir, serangga, tikus dan darah. Selain itu, mana-mana makanan yang beracun dan boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh juga dilarang keras.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah makanan yang dilarang agama Yahudi tapi masih dibenarkan dalam Islam. Sebagai contoh:

1. Ikan yu, kerang-kerangan dan krustasia (udang kara, ketam dan sebagainya)

2. Sesetengah jenis burung seperti burung unta dan burung emu

3. Unta (kerana tidak mempunyai kuku telapuk yang terbelah)

Ada satu persamaan menarik antara kedua-duanya iaitu kebenaran memakan belalang dari segi halakha mahupun syarak.

kosher mengasingkan jenis jenis makanan termasuklah cara menyiapkan dan peralatan yang digunakan

Selain itu, orang Yahudi ditegah mencampurkan daging dan susu bersama. Ada sesetengah orang Yahudi yang mempunyai pandangan bahawa wujud keperluan mengasingkan dua set peralatan memasak dan kawasan simpanan dalam peti sejuk untuk kedua-dua produk ini. Larangan seperti ini bagaimanapun tidak terdapat dalam ajaran Islam.

Orang Yahudi juga tidak membenarkan umatnya memakan produk seperti susu dan keju yang bukan datang daripada haiwan yang kosher.

Cuma ada satu sahaja larangan dalam Islam yang dibenarkan dalam ajaran Yahudi iaitu minuman beralkohol. Ajaran Yahudi masih membenarkan pengambilan arak dan wain selagi ia kosher.

Banyak lagi sisi yang boleh difahami tentang perbezaan atau persamaan makanan halal dan kosher. Tapi kali ini kami ingin berkongsi fakta tentang isu penyembelihan. Bolehkah umat Islam memakan daging yang disembelih secara kosher?

beli daging halal diutamakan berbanding kosher

Persamaan penyembelihan halal dan kosher

Dari segi teknikal, ajaran Islam dan Yahudi telah menitikberatkan perkara-perkara berikut semasa proses penyembelihan:

1. Haiwan mestilah hidup semasa disembelih. Disebabkan itu teknik renjatan elektrik atau apa-apa kaedah yang membuatkan haiwan berada dalam keadaan tidak sedar tidak dibenarkan.

2. Haiwan mestilah disembelih menggunakan pisau atau parang yang tajam.

3. Pisau tajam itu mestilah memutuskan urat di bahagian leher haiwan. Urat yang perlu diputuskan termasuklah saluran trakea, esofagus, arteri karotid dan vena jugulum. Hanya saraf tunjang sahaja yang dibiarkan.

4. Darah haiwan perlulah mengalir.

5. Mati dengan sekali sembelihan sahaja agar tidak menyeksa haiwan.

penyediaan daging kosher dan halal

Perbezaan penyembelihan halal dan kosher

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan kecil antara kedua-dua konsep penyembelihan. Kebanyakan perbezaan ini tidak relevan kepada kaum Muslimin tetapi tidak boleh dipandang ringan oleh orang Yahudi:

1. Tukang sembelih

Kaum Yahudi ortodoks memerlukan orang tertentu sahaja yang digelar shochet bagi menyempurnakan proses penyembelihan. Kebiasaannya, shochet ini merupakan seorang lelaki yang alim dan dilatih khusus untuk melakukan penyembelihan.

Manakala agama Islam tidak begitu menekankan jantina, usia atau latar belakang tukang sembelih. Malah, kanak-kanak yang mumayyiz juga dibenarkan menjadi tukang sembelih. Selain itu, orang Islam dibenarkan makan daging yang disembelih oleh ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) selagi mereka mematuhi rukun dan syarat sah sembelihan.

Disebabkan itu, orang Yahudi ortodoks tidak boleh memakan daging halal kerana ia tidak disembelih oleh seorang shochet.

shochet memegang pisau sembelihan yang perlu pemeriksaan secara teliti daging halal kosher

2. Peralatan menyembelih

Pisau atau parang sembelih yang digunakan oleh orang Yahudi memerlukan pemeriksaan teliti dari segi visual dan fizikal kerana ia harus berada dalam keadaan yang lurus serta sempurna. Selain itu, saiznya juga perlulah dua kali ganda daripada leher haiwan yang ingin disembelih.

Undang-undang Islam hanya menggariskan bahawa pisau perlu tajam, namun tidak mengapa sekiranya terdapat sedikit kesan calar, karat atau sumbing.

pisau sembelihan kosher perlu tajam dan sempurna

3. Haiwan yang putus kepala

Walaupun kedua-dua konsep penyembelihan tidak membenarkan leher dipotong sehingga kepala haiwan terputus, namun agama Islam hanya menganggap ia makruh dan haiwan itu tidak jatuh hukum haram. Manakala orang Yahudi terus menganggap haiwan itu sebagai treif apabila lehernya terputus dan tidak boleh dimakan.

4. Organ dalaman

Menurut ajaran Yahudi ortodoks, haiwan yang telah disembelih juga perlu diperiksa paru-paru serta beberapa organ dalamannya yang lain. Jika terdapat kecacatan spesifik pada organ-organ ini, haiwan itu akan jatuh hukum treif.

Darjah kosher juga ada dua tahap yang berbeza. Glatt kosher, atau kosher tahap tertinggi, hanya boleh didapati apabila tiada sebarang cela pada organ dalaman haiwan yang disembelih. Namun, jika ia tidak begitu sempurna tetapi kesemua prosedur masih diikuti dengan betul, ia akan menjadi kosher tahap biasa.

Jika dilihat perbandingan antara kedua-dua teknik penyembelihan ini, jelas bahawa daging kosher tidaklah haram hukumnya bagi umat Islam. Malah, keperluan halakha Yahudi lebih rumit dan tegas berbanding keperluan syarak.

glatt kosher tahap kosher paling tinggi

Ahli Kitab

Orang Islam hanya boleh memakan daging kosher yang disembelih penganut agama samawi iaitu orang Islam dan juga ahli Kitab. Ahli Kitab ini pula terdiri daripada penganut agama Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang merupakan pengikut Nabi Musa dan Nabi Isa dan memegang teguh kepada ajaran kitab Taurat dan Injil.

Hukum memakan sembelihan ahli kitab adalah harus. Ianya ijma' para ulama' berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Maidah ayat 5 yang bermaksud:

"Dan makanan (sembelihan) orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)"

Namun, menurut Ustaz Khalid Basalamah, ramai mempunyai tanggapan bahawa kita sudah tidak boleh memakan daging sembelihan ahli Kitab zaman kini tetapi pendapat itu sebenarnya tidak wajar.

Ini disebabkan penyelewengan ahli Kitab telahpun dihuraikan dengan panjang lebar di dalam Al-Quran dari zaman dahulu lagi, tetapi Allah masih lagi menurunkan ayat yang membenarkan umat Islam memakan daging sembelihan ahli Kitab. Jadi, selagi mana ahli Kitab itu menyembelih daging mengikut rukun dan syarat sah sembelih serta berniat kerana Allah, ia masih halal buat kita.

daging kosher halal

Tasmiyyah

Tapi masih ada satu perbezaan antara kedua-dua hukum yang tidak boleh dipandang ringan dan boleh menyebabkan daging kosher itu menjadi haram. Perbezaan utama ini merangkumi isu tasmiyyah.

Tasmiyyah merupakan perbuatan menyeru nama Allah semasa menyembelih yang banyak diperdebatkan oleh ilmuwan Islam. Namun, jumhur ulama menyatakan tukang penyembelih perlu mengucapkan tasmiyyah (Bismillah) dan berniat sembelihan dilakukan kerana Allah SWT sebelum haiwan dipotong lehernya. 

Hukum halakha pula menyatakan shochet perlu 'merahmati' proses penyembelihan itu secara lisan. Walaupun ia bukan perkara yang wajib dibuat, amalannya masih dipraktikkan hingga kini.

kosher dan daging sembelihan ahli kitab halal boleh dimakan umat islam

Ayat rahmat yang digunakan oleh shochet itu diterjemahkan seperti berikut:

"Semoga dirahmati, Adonai (perkataan Tuhan dalam bahasa Hebrew), Tuhan Kami, Tuhan sekalian Alam, yang telah membersihkan kami melalui perintah-Nya dan memerintahkan kami tentang cara penyembelihan yang betul."

Ayat ini jelas sekali memuji Allah dan membuatkannya diterima pakai oleh majoriti mazhab dalam Islam kerana tidak wujud kewajipan untuk mengucapkan niat itu dalam bahasa Arab. Adapun begitu, isu timbul apabila terdapat proses 'merahmati' dibuat mengikut kumpulan haiwan yang berbeza-beza.

Ajaran Yahudi ortodoks memerlukan mereka menyebut nama Tuhan untuk tujuan baik, maka shochet tidak perlu mengulang menyebut ayat itu bagi setiap ekor haiwan yang ingin disembelih. Mereka hanya boleh menyebut ayat itu sekali sahaja bagi sekumpulan haiwan dengan syarat haiwan-haiwan itu disembelih tanpa henti seekor demi seekor. 

Jadi, secara teorinya, seorang shochet boleh menyembelih beberapa ekor lembu ataupun puluhan ekor ayam hanya dengan sekali lafaz tasmiyyah.

Di sinilah kekeliruan boleh timbul bagi orang Islam yang ingin memakan daging kosher kerana perbezaan pendapat mengikut mazhab.

Mazhab Syafie mengatakan ucapan Bismillah ketika penyembelihan adalah satu perkara sunat. Justeru, ini bermakna daging kosher halal dimakan oleh pengikut Mazhab Syafie.

Berbeza pula dengan tiga mazhab lain (Hanafi, Hanbali, Maliki) yang mewajibkan pengucapan Bismillah secara lisan. Selain itu, Mazhab Hanafi juga memerlukan setiap ekor haiwan sembelihan itu dibacakan Bismillah.

mcdonalds kosher halal

Halal dan tayyib

Secara umumnya, daging kosher dan masakan kosher halal dimakan oleh orang Islam selagi ia tidak mengandungi sebarang khinzir, najis, alkohol atau gelatin yang berasal dari haiwan yang tidak disembelih. Sembelihan itu juga perlu diniatkan kerana Allah dan memenuhi rukun serta syarat sah penyembelihan mengikut hukum syarak.

Selain itu, penentuan sama ada daging kosher itu halal juga bergantung kepada pegangan Mazhab seseorang individu kerana ia berkaitan dengan tasmiyyah ketika penyembelihan.

Apa-apapun, sebagai seorang Muslim, keutamaan haruslah diberikan kepada tempat makan atau daging sembelihan orang Islam sendiri yang halal dan tayyib berbanding sembelihan ahli Kitab. Kalau tiada sangat pilihan lain, bolehlah memilih daging kosher. Tapi kalau timbul rasa ragu-ragu, eloklah ditinggalkan. Menjadi vegetarian mungkin pilihan yang paling afdal.

Jangan lupa baca Bismillah sebelum makan.

Rujukan:

1. Texas A&M University

2. Muslim Matters

3. Mufti Melaka

4. Jabatan Agama Islam - Halal

5. Konsultasi Syariah

6. Islam Q&A

7. Mufti Ebrahim Desai




Hakcipta iluminasi.com (2017)