Walaupun merupakan seorang yang dianggap kudus atau keramat (saint) oleh kedua-dua Gereja Katolik dan Gereja Ortodoks Timur, namun Olga of Kiev kelihatan seperti seorang wanita paling gila pernah wujud.

Malah, dia juga merupakan seorang pemerintah paling kejam dan pendendam dalam sejarah Kievan Rus iaitu persekutuan bebas yang akhirnya telah melahirkan Rusia, Ukraine dan Belarus moden. Semasa berada pada kemuncak kekuasaan, Kievan Rus menguasai dari Laut Baltik di Utara sehingga ke Laut Hitam di Selatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Olga of Kiev dilahirkan pada kira-kira tahun 903 di Pskov, Rusia. Sejarah tidak banyak menceritakan tentang kisah awal Olga termasuk perkahwinannya dengan Igor iaitu Putera Kiev dan kisah kelahiran anaknya.

Setelah kematian suaminya, Olga menggalas tugas lebih daripada seorang isteri dan ibu. Tanpa mengorbankan salah satu pun kewajipan itu, dia mengambil peranan sebagai peneraju utama.

Pemerintahan Kievan Rus

kievan rus

Sama seperti semua empayar yang sedang meningkat naik, Kievan Rus juga berkembang dengan mengorbankan empayar-empayar di sekelilingnya. Hal ini menyebabkan salah satu suku iaitu Drevlian telah berhati-hati dengan peningkatan kuasa Kievan Rus itu.

Hubungan antara suku Drevlian dan persekutuan bebas Kievan Rus ini adalah rumit. Drevlian pernah menyertai Rus dalam kempen ketenteraan menentang Empayar Byzantine dan membayar ufti kepada pemerintah Kievan Rus sebelum Igor.

Namun, mereka telah berhenti berbuat demikian pada tahun 912 Masihi apabila putera sebelum ini meninggal dunia. Drevlian sebaliknya membayar wang perlindungan itu kepada hulubalang perang tempatan.

igor of kiev

Igor of Kiev

Igor cuba untuk memulihkan semula hubungan antara suku Drevlian ini dengan melakukan lawatan ke ibu kota Iskorosten (kini Korosten di Utara Ukraine) pada tahun 945 Masihi. Namun, sesuatu yang tidak diduga berlaku dan menjadi tamparan hebat apabila suku Drevlian telah menangkap putera itu dan membunuhnya dengan kejam.

Penulis Empayar Byzantine iaitu Leo the Deacon menyatakan, suku Drevlian telah melenturkan dua pohon birch dan diikat pada kedua-dua belah kaki putera Igor sebelum melepaskan pohon itu sehingga mengoyakkan tubuh putera itu. 

Pemerintah sementara

pembunuhan igor of kiev

Pembunuhan Igor of Kiev

Dengan kematian Igor, anak lelakinya Svytoslav yang hanya berusia tiga tahun terlalu muda untuk mengambil alih takhta Kiev. Ketika inilah Olga telah mengambil alih tugas sebagai pemerintah sementara menggantikan Igor sehingga anaknya mencapai umur matang.

Suku Drevlian sangkakan mereka kini akan berurusan dengan seorang wanita bangsawan yang lemah lembut dan mudah dikawal. Malah, mereka merancang untuk mengatur perkahwinan Olga dengan salah seorang putera mereka sendiri iaitu Putera Mal.

Dengan cara itu, mereka bukan sahaja bebas daripada membayar ufti kepada Kievan Rus malah akan memegang tampuk pemerintahan persekutuan itu. Suku Drevlian kemudian menghantar 20 orang utusan terbaik mereka untuk memujuk Olga agar berkahwin dengan Putera Mal.

Misi membalas dendam

lukisan olga dan kematian igor

Setibanya utusan itu, Olga meminta mereka agar menunggu di dalam kapal mereka. Sementara itu Olga mengarahkan pengikutnya untuk menggali sebuah parit yang dalam. Keesokan harinya dia menyuruh tenteranya untuk menangkap kesemua utusan itu untuk ditanam hidup-hidup.

Olga tidak hanya berhenti di situ, dia telah menghantar berita kepada Putera Mal bahawa dia telah menerima lamaran putera itu. Akan tetapi Olga meminta agar Putera Mal supaya menghantar orang-orang terbaik suku Drevlian untuk mengiringinya ke wilayah mereka. Dia meyakinkan bahawa perkara itu adalah penting bagi penduduk Kievan Rus supaya mereka tahu betapa pentingnya perkahwinan itu.

Putera Mal bersetuju dan menghantar pula para pegawai menjemput Olga. Setibanya mereka di Kievan Rus, Olga menyuruh mereka berehat dan membersihkan diri terlebih dahulu setelah penat mengembara di salah sebuah rumah mandinya. Ketika rombongan itu sedang leka mandi, Olga mengunci mereka dari luar dan membakar bangunan itu.

olga membakar rumah mandi

Setelah melakukan dua komplot pembunuhan itu ke atas orang-orang penting mereka, Olga bercadang untuk menghabiskan saki-baki suku Drevlian. Dia mengarahkan suku Drevlian untuk mengadakan keraian bagi memperingati kematian suaminya di Iskorosten dan dia akan hadir di sana.

Walaupun tidak mendapat maklum balas daripada utusan mereka, suku Drevlian bersetuju dan mengadakan jamuan seperti yang diminta. Setelah mereka kekenyangan dan mabuk, tentera Olga telah membunuh kesemua 5,000 orang yang hadir.

Tiga ekor merpati

Walaupun melakukan pembunuhan beramai-ramai, Olga tetap belum puas untuk membalas dendamnya. Saki-baki suku Drevlian merayu belas kasihan Olga agar dilepaskan dengan menawarkan madu dan bulu haiwan sebagai hadiah.

saint olga of kiev 894

Olga kemudian bersetuju melepaskan mereka tetapi dengan satu syarat. Dia meminta agar setiap rumah di Iskorosten memberikannya tiga ekor burung merpati atau pipit. Olga menyatakan bahawa dia tidak mahu meminta ufti yang besar seperti mendiang suaminya, memandangkan suku Drevlian itu kini sedang mengalami kesukaran akibat diserang tenteranya.

Menurut catatan Primary Cronicle, Olga memberikan setiap tenteranya seekor burung yang dihadiahkan kepadanya. Olga mengarahkan agar setiap burung diikat dengan benang dan kain yang mengandungi belerang kecil di dalamnya.

Apabila tiba waktu malam, dia mengarahkan tenteranya agar melepaskan kesemua burung-burung itu semula ke ibu kota Iskorosten. Burung-burung itu terbang dan hinggap di segenap sudut bandar itu. Olga kemudian mengarahkan tenteranya untuk mula membakar rumah-rumah di bandar itu.

olga membalas dendam

Disebabkan belerang yang diikat dan burung yang banyak telah hinggap di rumah-rumah suku Drevlian, tiada satu pun rumah yang tidak terbakar. Adalah mustahil bagi suku Drevlian memadamkan kebakaran itu memandangkan semua rumah terbakar dengan serentak.

Mereka yang lari menyelamatkan diri pula akan ditangkap oleh tentera Olga. Sebahagiannya dibunuh dan sebahagian lagi diberikan kepada pengikutnya untuk dijadikan hamba.

Santa Olga of Kiev

saint olga of kiev

Di sebalik pembunuhan yang dahsyat ini, Olga of Kiev tetap dihormati dan dianggap sebagai kudus atau keramat lebih daripada seribu tahun selepas kematiannya pada tahun 963 Masihi.

Dia merupakan pemerintah pertama Kievan Rus yang memeluk Kristian dan berusaha menukar rakyatnya menganuti agama itu. Namun, anaknya iaitu Svytoslav masih kekal beragama pagan. Olga of Kiev menerima gelaran Isapostolos yang bermaksud "setaraf dengan 12 pengikut Jesus".

Rujukan:

1. Museum Hack

2. Today I Found Out

3. History Answers




Hakcipta iluminasi.com (2017)