Hidup seorang wanita sering berdepan dengan masalah dalam aspek seksualiti. Persepsi ini turut tidak dibantu tabiat masyarakat yang seakan gemar menjaja tubuh badan dan wajah wanita, sehingga menggalakkan objektifikasi diri berlaku.

Oleh sebab itu di kalangan ahli masyarakat kita ada perbezaan ketara bagaimana sesuatu perbuatan normal yang dilakukan setiap hari, mampu menampakkan reaksi berbeza - hanya disebabkan perbezaan jantina pelakunya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin pengaruh media atau persekitaran terlalu kuat pada kita, sehinggakan perbuatan yang normal pun ada kalanya sukar dilakukan oleh wanita hanya disebabkan persepsi nilai seksualiti yang ada pada seorang wanita. Dalam erti kata lain, pemikiran kita sebenarnya banyak dah rosak. 

Apa buktinya, tanya anda? Berikut adalah lima perbuatan normal yang hanya akan dikatakan seksi, sekiranya dilakukan wanita. Jika melibatkan lelaki - kita katakan seksa pula.

1. Tunduk mengambil barang

lelaki bongkok mengutip barang

Kami yakin nasihat yang bakal kami berikan ini berguna kepada semua wanita, tak kiralah apa jenis pakaian yang anda pakai sekalipun.

Sekiranya anda perlu mengambil barang di kedudukan rendah atau paras lantai, jangan tunduk begitu saja. Pasti ada mata nakal melihat anda! Gerakan tunduk yang lebih dikenali sebagai 'bend over' ini cukup terkenal di kalangan lelaki mata keranjang sebagai satu aksi hangat.

Jika perlu, gunakan posisi mencangkung yang bukan saja melindungi maruah anda dengan lebih baik, bahkan turut membantu melindungi postur tubuh anda.

Ada juga kes gerakan tunduk ini jika dilakukan wanita di depan lelaki lain, dalam keadaan ekstrim boleh disalah anggap sebagai satu jemputan untuk lelaki melakukan serangan seksual.

Tiada siapa peduli kalau lelaki perlu membongkok mengambil barang kan? Benar. Penat kami cuba jatuhkan barang yang perlu dikutip hanya untuk melihat reaksi orang ramai. Setakat ini belum pernah ada kami terima komen mengatakan kami seksi.

Teknik kami membongkok tak betul ke?

2. Makan aiskrim atau pisang

Jika anda biasa berkawan sesama lelaki dan wanita, pasti akan ada masa kawan-kawan anda beramai-ramai teringin nak makan ais krim atau pisang.

Lelaki makan ais krim? Tak ada siapa peduli pun. Wanita makan ais krim? Perbuatan itu akan mengundang ramai penonton, sama ada wanita itu sedar atau tidak ianya berlaku. Kami tidak tahu sebab sebenar kenapa situasi ini berlaku. 

Ramalan kami, ramai yang terpengaruh dengan mesej-mesej seksualiti dalam media barat yang sering meletakkan wanita menjilat ais krim dan memakan pisang sebagai sesuatu yang mengujakan. 

Malang bagi wanita, solusi masalah ini harus datang daripada pihak lelaki. Oh ya, kami tipu saja kata kami tak tahu. Kami tahu apa sebabnya ramai menganggap makan aiskrim dan pisang seksi. Tapi seganlah kami nak tulis. 

3. Merengus

maria sharapova merengus semasa perlawanan

Kaedah termudah melihat perbezaan reaksi masyarakat terhadap perbuatan merengus atau grunting di antara lelaki dan perempuan, adalah dengan melihat reaksi diterima atlet sukan tenis dunia berdasarkan jantina.

Sesetengah pemain lelaki seperti pemain lama Andre Agassi dari Amerika Syarikat, terkenal dengan rengusan yang kuat setiap kali dia perlu memukul bola. Lebih kuat pukulannya, lebih kuat jugalah rengusannya.

Namun tidak ada sesiapa pun yang menseksualkan rengusan Agassi kerana dia lelaki. Malahan Agassi juga sering berdepan aduan pemain lain kerana rengusannya dikatakan mengganggu konsentrasi pemain lain.

Tetapi apabil pemain wanita seperti Maria Sharapova merengus dalam gelanggang, suara yang dihasilkannya setiap kali membalas pukulan menjadi sesuatu yang dikatakan indah, mengasyikkan serta enak untuk didengar.

Sehinggakan wujud kompilasi video dalam internet memaparkan rengusan Sharapova. Ya memang ada. Selain tenis, kami yakin situasi sama berlaku dalam apa jenis aktiviti fizikal yang disertai wanita. Jangan terkejut kalau ada lelaki gemar mendengar wanita kepenatan di gimnasium ya!

4. Berpakaian uniform

jururawat lelaki wanita

Lelaki dikatakan kacak apabila mengenakan uniform. Wanita? Sebut saja wanita yang memakai uniform, label 'seksi' automatik akan dikenakan ke atas mereka tak kiralah apa saja profesionnya.

Doktor lelaki? Bijak. Doktor wanita? Seksi. Tentera lelaki? Gagah. Tentera wanita? Seksi. Guru lelaki? Dedikasi. Guru wanita berkaca mata dan tersenyum ketika mengajar dalam kelas? Guru seksi.

Profesion yang layak dikatakan mangsa paling teruk persepsi ini adalah jururawat, pramugari dan kebanyakan profesion yang memerlukan wanita mengenakan pakaian seragam.

Kami juga kurang jelas kenapa pakaian uniform atlet wanita biasanya lebih ketat serta mengikut bentuk tubuh, berbanding pakaian untuk atlet lelaki. Kami tahu elemen seksualiti mampu memasarkan sukan kepada pasaran lebih luas, namun sebagai atlet wanita - tidakkah anda terasa tidak selesa dengan syarat sebegitu?

Lihat beza pakaian atlet sukan seperti tenis (tenis lagi!), bola tampar dewan, gimnastik, bola sepak, hoki, olahraga dan sudah tentulah bola tampar pantai. Kenapa atlet lelaki tidak dibekalkan dengan pakaian yang sama dengan atlet wanita, jika pakaian sebegitu membantu kecergasan dan memudahkan pergerakan? 

5. Mencapai umur 18 tahun

budaya hari jadi 18 masyarakat barat

Bagi masyarakat barat yang mengamalkan hubungan seksual secara terbuka, mencapai had umur biasanya 18 tahun merupakan sesuatu peristiwa 'besar' kepada mereka.

Ini kerana selepas itu individu itu tidak lagi dianggap bawah umur dan tidak lagi dilindungi undang-undang yang merangkumi bawah umur. Apabila ada selebriti atau individu terkenal yang bakal mencapai usia 18 tahun, perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang patut diraikan...dengan menganjurkan sesuatu yang kurang senonoh.

Situasi buruk pernah menimpa individu terkenal seperti pelakon siri filem Harry Potter, Emma Watson yang berhadapan tindakan paparazzi gila cuba mendapatkan gambar dalam kainnya, beberapa jam selepas gadis itu mencapai usia tersebut.

Antara nama lain yang berdepan situasi hampir serupa adalah penyanyi terkenal Britney Spears, pelakon kembar siri klasik Full House Mary Kate dan Ashley Olsen serta pelakon Millie Bobby Brown, yang terkenal dalam siri 'Stranger Things.'

Perasan tak semuanya nama selebriti perempuan? Bagi wanita barat, mencapai usia 18 tahun membawa kepada cabaran baru dalam aspek seksual yang perlu ditangani dengan cermat.

Syukurlah kita di Malaysia, tidak ada paparazzi atau wartawan yang mengejar pelakon atau penyanyi wanita kita yang mencapai usia 16 tahun (usia wanita dianggap dewasa), untuk tujuan yang buruk.

Seperti biasa, tidak ada siapa pun peduli lelaki mencapai usia dewasa melainkan lelaki itu sendiri. Sukar untuk digambarkan betapa sukarnya hidup seorang wanita. Makan ais krim salah, pakai baju seragam salah, kerja jururawat salah, tunduk ambil barang pun dianggap cuba menggoda boss dengan keseksian sendiri.

Semua benda normal pada lelaki, jadi seksi bila wanita yang melakukannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)