Oleh pada 08 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Beautifulnara & Instagram Fattah Amin

Pelakon dan sutradara terkenal, Fauziah Ahmad Daud ingin berjumpa dengan aktor hangat, Fattah Amin dalam kelas lakonan yang dianjurkannya.

Kata Fauziah atau lebih dikenali ramai sebagai Ogy, 55, Fattah perlu menguasai bermacam teknik lakonan bagi memperkasakan penghayatan wataknya.

"Saya mahu Fattah Amin untuk datang ke kelas saya belajar lebih banyak ilmu daripada segi lakonan supaya dapat mempelbagaikan teknik penyampaian dalam lakonan," katanya kepada portal Astro Gempak.

Mengakui nama Fattah sedang berada di kemuncak, Ogy tidak mahu bintang muda itu terlepas daripada memanfaatkan ruang yang diperolehnya kini.

"Rugi sekiranya dia tidak menggunakan peluang yang ada sekarang ini kerana namanya tengah popular," katanya.

Ogy berkata, antara kelemahan para pelakon pada hari ini adalah penguasaan emosi yang sering diabaikan ketika menghidupkan karakter yang dibawa.

"Apa yang saya lihat pelakon sekarang tidak tahu untuk bermain dengan emosi ketika berlakon.

"Mereka ini lebih pada menghafal skrip daripada penghayatan dalam setiap watak yang diberikan.

"Ini kerana mereka tidak faham situasi apa yang ingin dilakonkan jadi bagaimana mereka hendak faham emosi yang hendak disampaikan kepada penonton," tegasnya.

Ogy membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

ogy ahmad daud mahu jumpa fattah amin 2

Kredit foto: Instagram Liza Hanim

Persembahan sambutan Hari Ibu itu menampilkan Liza Hanim dan Safura, bersama Ogy selaku hos, berlangsung pada 1 Mei ini di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, jam 2.30 petang.

Tiket boleh didapati pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Hubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia) untuk maklumat lanjut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)