Kredit: Instagram @ningdalton
Baru-baru ini, tular sebuah video pendek memperlihatkan penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura kedengaran 'sumbang' ketika mendendangkan lagu hitnya, Awan Yang Terpilu di sebuah premis hiburan di Bangsar.
Mengulas lanjut insiden malang itu, Ning percaya terdapat hikmah disebalik apa yang berlaku dan berharap ia tidak terus dijadikan bahan tawa ramai.
"Senang sahaja untuk mengutuk bukan? Jangan kurang ajar ya. Wahai manusia yang bergelar manusia, ingatlah Allah Maha Besar. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong di sebalik isu tular yang kurang cerdik ini.
"Untuk yang mahu buat lawak, teruskanlah kerana lebih tular video itu, lebih banyak rezeki dan tawaran persembahan yang saya dapat. Tidak perlulah untuk berasa kasihan atau simpati," tulisnya.
Menangkis persepsi buruk terhadap kredibilitinya sebagai penyanyi senior, beliau mahu masyarakat membuka mata akan hakikat tidak semua penyanyi itu sempurna dan boleh menyanyi dengan baik sepanjang masa.
"Awak tidak tahu perjalanan saya dan apa yang saya lalui. Awak juga tidak tahu kenapa nyanyian dan perasaan saya sebegitu rupa apabila menyanyikan lagu tersebut. Ketika itu, saya menyanyikan hampir 80 buah lagu selama 4 hari berturut-turut dengan tempoh lebih 2 jam setiap hari.
"Peminat sebenar hadir dan menikmati persembahan untuk menyokong saya pada malam itu. Peminat yang palsu pula ramai di media sosial dimana mereka hanya gemar mengusik-usik dan mentertawakan anda.
"Apa-apa pun, saya seronok melihat terlalu ramai orang di luar sana secara tiba-tiba berminat dengan gaya nyanyian soprano. Mari belajar atau cuba menyanyi selama lebih 30 tahun seperti saya sebelum berkata sesuatu," pertahannya.
Komen Pilihan
"Keserakan suara itu tidak memberi nama buruk terhadap keseluruhan kerjaya nyanyian awak. Mereka yang mempersenda bukan penyanyi dan hanya gemar mencari kesalahan orang lain supaya dapat tidur dengan lebih nyenyak," tegur penyanyi, Vince Chong.
Sumber:
2. Forum CARI