Nyamuk gergasi ini ditemui oleh seorang  ahli entomologi China, iaitu Zhao Li ketika sedang melakukan pemeriksaan di sebuah lokasi di pergunungan Qingcheng di daerah Sichuan pada Ogos 2017. Walaupun sudah lama menemui serangga berkenaan, Zhao banyak meluangkan masa untuk memastikan bahawa spesimen berkenaan adalah yang paling besar di dunia sebelum mengumumkan penemuannya itu. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Saiz Nyamuk Gergasi Adalah Sangat Besar Berbanding Nyamuk Biasa 

ukuran nyamuk paling besar di dunia

Dengan panjang badan sekitar 5 sentimeter, dan kelebaran sayap sepanjang 11.5 sentimeter, nyamuk ini adalah 10 kali ganda lebih besar daripada nyamuk biasa, dan sepertiga lebih panjang daripada kebanyakan spesisnya, iaitu holorusia mikado. Nyamuk spesis ini yang paling besar pernah ditemui sebelum ini mempunyai kelebaran sayap sepanjang 8 sentimeter, yang ditemui pada tahun 1876 di Jepun. Spesimen yang ditemui Zhao adalah daripada spesis yang sama, daripada keluarga nyamuk Tipulidae.

Buat masa ini, Zhao sudah mengumpul banyak spesimen daripada pelbagai spesis lebih daripada satu dekad. Menurut beliau, kebanyakan pengumpul serangga lain selalunya akan mendakwa bahawa mereka mempunyai spesimen nyamuk paling besar di dunia, hanya dengan membandingkan koleksi mereka dengan model yang terdapat di muzium. Bagi beliau, selepas menangkap serangga berkenaan, beliau melakukan kajian di internet, dan beberapa sumber lain bagi memastikan bahawa ianya jelas yang paling besar di dunia. 

zhao li menemui nyamuk paling besar di dunia

Menurut Zhao lagi, yang juga merupakan pengarah Insect Museum of West China yang terletak di Chendu, selepas berjaya menangkap serangga berkenaan, beliau terus menjadikannya ke bentuk spesimen, dengan membunuh dan membekukannya. Tindakan ini kedengaran kejam, namun ianya adalah suatu cara kematian yang tidak menyakitkan bagi nyamuk. 

Serangga tersebut akan dipamerkan di muzium tersebut pada Mei akan datang sebagai sebahagian daripada pameran berkaitan serangga pelik. Dengan hampir 700,000 sampel daripada lebih 40 buah negara di seluruh dunia, muzium tersebut bakal menjadi muzium serangga paling besar di Asia. 

Keraguan dan Perdebatan Tentang Status Nyamuk Gergasi Tersebut

crane fly dan nyamuk

Terdapat perdebatan dalam kalangan ahli entomologi tentang status sebenar serangga berkenaan, sama ada ianya adalah seekor nyamuk ataupun tidak, kerana ada yang berpendapat bahawa ianya adalah seekor 'crane fly'. Menurut Zhao, crane fly adalah sebuah terma bahasa Inggeris yang merujuk kepada keseluruhan keluarga nyamuk, namun perkataan 'nyamuk' itu sendiri merujuk kepada spesis yang menghisap darah. 

Spesimen yang ditemui beliau bukanlah yang jenis menghisap darah, namun bergantung kepada larva sebagai makanan. Jadi, secara teknikalnya, dalam bahasa Inggeris, ianya adalah sejenis crane fly. Menurut beliau lagi, dalam bahasa China pula, ianya boleh diterjemahkan sebagai 'big mosquito' atau nyamuk besar, sebuah terma yang meliputi spesis seperti holorusia mikado yang tidak menghisap darah. 

Pendapat Beberapa Pakar Lain Tentang Serangga Yang Ditemui Zhao

pendapat pakar tentang nyamuk terbesar dunia

Benoit Guénard, seorang pembantu profesor sains biologi di University of Hong Kong mengesahkan bahawa serangga penemuan Zhao itu adalah daripada keluarga Tipulidae, yang dikenali sebagai crane fly dalam bahasa Inggeris. Namun, menurut beliau, nyamuk sebenarnya adalah daripada keluarga Culicidae, dan rujukan terhadap penemuan itu sebagai seekor nyamuk adalah suatu 'penderaan bahasa'. 

Seorang lagi penyelidik daripada Singapore’s National Biodiversity Centre, yang merupakan sebahagian daripada National Parks Board, iaitu Patrick Grootaert turut mengesahkan bahawa serangga tersebut adalah sejenis crane fly. Bagi beliau, adalah menjadi kebiasaan untuk merujuk spesis itu sebagai nyamuk. Contohnya, dalam bahasa Belanda, ianya dipanggil 'nyamuk berkaki panjang'. 

Bukan Kali Pertama Zhao Menemui Serangga Gergasi

stick insect serangga ranting kayu

Ini bukanlah kali pertama Zhao berjaya menangkap serangga gergasi. Tahun lalu, beliau menemui seekor serangga kayu betina dengan panjang 64 sentimeter, dan ianya adalah serangga yang paling besar di dunia, menurut beliau. Katanya lagi, untuk menemui serangga gergasi memerlukan ilmu pengetahuan, dan nasib yang baik. 

Serangga gergasi boleh ditemui sekiranya seseorang itu sudah biasa dengan sesebuah persekitaran serangga berkenaan, namun ianya bukanlah sesuatu yang boleh dirancang, perlu bergantung kepada nasib juga. Walaupun Zhao sudah biasa dengan persekitaran Sichuan, beliau turut menerokai beberapa daerah lain di China, dan tempat-tempat berpotensi di Asia, termasuklah Thailand, Vietnam dan Indonesia, bagi mencari serangga yang menarik dan unik. 

Lebih daripada 800 spesis nyamuk besar telah ditemui di China, lebih 100 daripadanya adalah dari Sichuan, dan negara berkenaan turut menempatkan beribu spesis nyamuk kecil yang lain. 

Rujukan:

  1. indianexpress.com
  2. scmp.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)