Kematian seorang remaja di sebuah bandar kecil di Bangladesh telah menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Nusrat Jahan Rafi berusia 19 tahun dibakar hingga mati kerana melaporkan satu gangguan seksual yang dilakukan oleh pengetua sekolahnya.

Dalam cubaan untuk menutup mulutnya, sekumpulan penyerang menyimbah Nusrat dengan minyak tanah lalu membakar remaja malang itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dia kemudian meninggal dunia di hospital akibat terbakar teruk yang meliputi 80% tubuhnya.

Al Jazeera melaporkan bahawa Nusrat telah hadir ke balai polis tempatan dengan sokongan keluarganya pada akhir bulan Mac untuk melaporkan kejadian itu.

nusrat jahan and principal

Pengetua Sekolah (kiri) Nusrat

Dia memberitahu polis bahawa pengetua madrasahnya memanggilnya ke pejabat dan dengan menyentuh Nusrat dengan tidak senonoh berulang kali sebelum dia berjaya melarikan diri.  

Video yang tersebar memaparkan Nusrat kelihatan tertekan  dan menangis ketika dia memberi keterangan kepada pihak polis.

Suara ketua balai polis tersebut dikenalpasti dalam video tersebut dengan berkata kisah yang diceritakan Nusrat sebagai "bukan masalah besar".  

Nusrat dilaporkan kembali ke sekolah 11 hari selepas memfailkan laporannya supaya dia dapat mengambil ujian akhir.

Dia diumpan naik ke atas bumbung sekolahnya oleh seorang rakan wanita dan kemudiannya dikerumuni oleh sekumpulan lelaki.

Kumpulan itu, yang mana salah seorang daripadanya mengaku berdendam dengan Nusrat menuntut agar dia menarik balik aduan gangguan seksual yang dilakukannya.

Oleh kerana sifat Nusrat yang merupakan seorang remaja yang lantang bercakap dan mahu membawa pesalah ke muka pengadilan, dia enggan menarik balik aduan tersebut.

Berang dengan jawapan tersebut, kumpulan lelaki tersebut menyimbah tubuh Nusrat dengan minyak tanah lalu membakarnya. 

Menurut Penguasa Kanan Polis Mohammad Iqbal, yang mengetuai siasatan ke atas kes pembunuhan ini, 17 orang telah ditangkap sehubungan dengan kematiannya.

Sekurang-kurangnya 5 daripada mereka yang ditangkap telah mengikat tangan dan kaki Nusrat menggunakan selendang sebelum membakarnya.

ahli keluarga nusrat rafi

Bapa Nusrat menangis mengetahui kematian anaknya

2 lelaki telah mengaku terlibat dalam pembunuhannya.

Rancangan membunuh tersebut sebenarnya mahu dijadikan seperti kes bunuh diri.

Namun, ia gagal kerana Nusrat berjaya melarikan diri ke tingkat bawah dalam keadaan terbakar kerana api tersebut membakar selendang yang melepaskan tangan dan kakinya yang terikat.

Polis mengatakan bahawa salah seorang lelaki dalam tahanan juga menuduh pengetua sekolah itu memerintahkan serangan terhadap Nusrat.

Pengetua itu "memberitahu mereka untuk memberi tekanan kepada Nusrat untuk menarik balik kes itu atau membunuhnya jika dia enggan".

Tetapi sebelum tewas kepada api yang membakarnya, Nusrat mampu mengumpulkan kekuatan untuk merakamkan kenyataannya di dalam telefon bimbit abangnya sekiranya dia tidak dapat bertahan.

Dia juga mengenal pasti beberapa penyerangnya.

nusrat rafi dibakar sehingga mati kerana melaporkan gangguan seksual ke atasnya

"Pengetua telah menyentuh saya, saya akan menentang jenayah ini sehingga nafas terakhir saya," kata Nusrat.

Video telefon bimbit itu bukan satu-satunya bukti yang berjaya ditinggalkan Nusrat sebelum dia terbunuh.

Media tempatan melaporkan bahawa pelajar remaja itu juga menulis surat dalam buku nota kelasnya, menerangkan dengan terperinci bagaimana pengetua tersebut melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.

Pembunuhan Nusrat Rafi telah dikritik oleh para pelajar dan penyokong di seluruh Bangladesh. Ramai daripada mereka menyatakan bahawa kematiannya sebagai contoh keganasan seksual yang masih berlaku terhadap wanita di Bangladesh kerana bercakap menentang penyerang mereka.

Ramai penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan untuk menyuarakan kekecewaan mereka manakala ribuan penyokong muncul di Feni, kampung halaman Nusrat, untuk berduka ketika pengebumiannya. 

"Pembunuhan mengerikan seorang remaja berani yang mencari keadilan menunjukkan bagaimana teruknya kerajaan Bangladesh gagal dalam membela mangsa serangan seksual," kata Pengarah South Asia Human Rights Watch, Meenakshi Ganguly.

orang ramai memenuhi jalan menunjukkan rasa tak puas hati atas kematian nusrat rafi

Menurut Human Rights Watch, mangsa gangguan seksual di Bangladesh sering enggan atau terlalu takut untuk hadir ke balai polis untuk meminta bantuan kerana mereka biasanya dimalukan atau dihina oleh pegawai polis, sama seperti apa yang dialami oleh Nusrat dalam video laporannya.

Walaupun mangsa cukup berani untuk bersuara, kurang daripada 1% daripada kes rogol yang dilaporkan membuatkan pesalah disabitkan kesalahan. 

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina bertemu dengan keluarga Nusrat di Dhaka dan menyatakan bahawa "tidak ada pesalah yang akan terselamat daripada tindakan undang-undang."

Ramai pemerhati berharap keluarga Nusrat memperoleh keadilan di atas kematiannya, tetapi selagi hak dan keselamatan wanita tidak diambil serius oleh penguatkuasa undang-undang dan pegawai yang dipilih, kematian remaja ini mungkin tidak akan terbela.

Rujukan:

1. BBC

2. The Guardian

3. ATII




Hakcipta iluminasi.com (2017)