la vere lawrence corbin ong malaysia

Peraturan berkaitan status kewarganegaraan menjadi antara isu yang kerap dibincangkan, apabila melibatkan kerjaya pemain bola sepak. Ini kerana kelonggaran dan sekatan dalam proses mendeklarasi kewarganegaraan seseorang, boleh menentukan hala tuju karier pemain itu, dalam peringkat antarabangsa.

Ada negara yang membenarkan rakyatnya memegang dua hingga status kewarganegaraan, tetapi badan profesional bola sepak dunia pula tidak mengiktiraf peraturan itu - mengehadkan pemain perlu memilih satu negara saja untuk dia bermain.

Selepas FIFA memperkenalkan peraturan baru tahun 2004 membenarkan pemain mengubah negara yang diwakilinya semasa peringkat bawahan kepada satu saja negara pada peringkat senior dengan syarat tertentu, ramai pemain memilih untuk menjalani karier pasukan kebangsaan yang berbeza. Berikut adalah 6 pemain antarabangsa yang memilih untuk beraksi, dalam pasukan kebangsaan yang kurang ternama; berbanding negara mula mereka beraksi sebelumnya.

1. Wilfried Zaha

wilfried zaha ivory coast

Status kewarganegaraan Wilfried Zaha menjadi kontroversi selepas berlakunya tarik tali antara pengurusan pasukan kebangsaan England dan Ivory Coast. Zaha telah pun mewakili pasukan England bawah 21 dan sebenarnya berhasrat meneruskan kariernya dengan negara tersebut.

Malangnya panggilan untuk menyertai pasukan England tidak pernah kesampaian kecuali dalam perlawanan persahabatan. Pada tahun 2016, Zaha mengambil keputusan menyertai pasukan kebangsaan Ivory Coast, meninggalkan pasukan kebangsaan England yang telah disertainya sejak tahun 2012, kerana percaya England tidak memberikan peluang saksama untuknya.

2. Pierre-Emerick Aubameyang

aubameyang pilih gabon

Nama beliau disebut-sebut selepas menjadi antara penyerang terbaik dunia semasa beraksi dalam liga Jerman, tetapi tidak ramai yang tahu Aubameyang sebenarnya layak untuk beraksi dengan tiga negara - Gabon, Perancis dan Sepanyol. Dia lahir di Perancis dan ibunya pula orang Sepanyol.

Walau demikian, Aubameyang memilih untuk mewakili negara Gabon, untuk meneruskan legasi yang pernah dilalui ayahnya Pierre-Fran├žois Aubameyang yang menjadi kapten pasukan kebangsaan negara tersebut, dengan 80 penampilan kesemuanya. Gabon tidak pernah layak ke Piala Dunia tetapi sudah beberapa kali melayakkan diri ke kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.

3. Matthew Davies

matthew davies malaysia v timor leste 2022 world cup qualification

Pemain pertahanan kental negara kita serta kapten kepada pasukan Pahang, Matthew Davies memulakan karier bola sepak di di negara kelahirannya Australia, berjaya membuat penampilan sulung dalam liga perdana A-League pada usia 18 tahun.

Kejayaan itu membolehkan beliau terpilih untuk menyertai pasukan Australia bawah 19 tahun, namun dia membuat keputusan untuk 'pulang' ke negara asal ibunya, seorang rakyat Sabah - bagi mendapatkan peluang lebih cerah beraksi di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan. Kini, dia menjadi antara salah satu nama wajib dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.

4. La'Vere Lawrence Corbin-Ong

corbin ong malaysia

Mempunyai latar belakang yang sangat unik, Lawrence lahir di England sebelum ibunya, Elizabeth Ong seorang warganegara Malaysia dan bapanya, Lawrence Corbin seorang warganegara Barbados memilih untuk berhijrah ke Kanada. Dari situ, karier bola sepaknya bermula di Amerika Syarikat sebelum dia berpindah ke Jerman dan Belanda - yang membawanya ke Malaysia.

Tidak pernah terpilih mewakili mana-mana negara kecuali satu perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Kanada, Lawrence melakukan penampilan pertama dengan Malaysia pada 7 Jun 2019, dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 - menewaskan Timor Leste 7-1.

5. Kalidou Koulibaly

kalidou koulibaly senegal

Mempunyai harapan cerah untuk menjadi tulang belakang pasukan kebangsaan Perancis, Kalidou Koulibaly yang kini dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik dunia akhirnya memilih untuk bermain bersama pasukan Senegal, walaupun lahir di Perancis.

Dia menyertai pasukan Perancis bawah 20 tahun, namun pada tahun 2015 mengumumkan hasrat untuk beraksi dengan Senegal selepas jurulatih Senegal, Aliou Cisse memujuknya. Hasil keputusan itu, Senegal berjaya menjadi naib juara Piala Negara-Negara Afrika tahun 2019 dan layak ke Piala Dunia 2018, terkeluar akibat keputusan 'fair-play' selepas terikat dengan Jepun.

6. Saido Berahino

berahino saido burundi

Di antara semua pilihan pemain, keputusan yang diambil Saido Berahino merupakan keputusan paling drastik. Ini kerana pada peringkat awal karier mudanya, dia menjadi rebutan banyak kelab di England, negara angkatnya. Berahino mewakili England pada peringkat bawah 16, 17 sehinggalah peringkat bawah 21 - sebelum dipanggil mewakili pasukan kebangsaan England pada tahun 2014. Bagaimanapun, dia tidak beraksi dalam perlawanan tersebut, sebaliknya hanya memanaskan bangku simpanan.

Seorang warganegara Burundi pada asalnya namun berhijrah ke England selepas keluarganya menjadi pelarian, Berahino mengatur semula karier kebangsaannya - memilih untuk beraksi dengan negara asalnya selepas 3 tahun menunggu England menagih khidmatnya, tanpa sebarang jawapan.

Dia melakukan penampilan pertama dengan Burundi pada tahun 2018, membantu Burundi layak ke kejohanan akhir Piala Negara Afrika edisi 2019 beraksi bukan saja sebagai tunggak utama - malahan kapten pasukannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)