Oleh pada 07 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Neelofa & Instagram Amalina Bakri

   

Pengacara Neelofa menzahirkan rasa terkilan kerana menganggap perniagaan diusahakannya cuba dijatuhkan oleh segelintir anak Melayu.

Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata, tindakan sedemikian hanya akan menyekat rezeki bangsa Melayu, apatah lagi perniagaan susu pisang ditubuhkannya turut membuka peluang kepada anak muda yang lain.

"Saya terkilan sebab bisnes (susu pisang) ini buka peluang kepada anak Melayu muda berniaga, kebanyakan belum pernah berniaga dan mereka nak belajar meniaga.

"Saya sedih orang Melayu juga yang tutup peluang dan kalau tengok bangsa lain tepuk tangan. Anak Melayu cuba bagi peluang tapi anak Melayu juga nak jatuhkan... kita kena tukar attitude dan mindset ini!

"Kalau macam ini pantang tengok anak Melayu berjaya sampai bila kita tak akan kaya dan jadi orang berkuasa, semuanya bermula dengan kita, jangan tokok tambah dan memperbesarkan benda ni," katanya.

   

dr amalina neelofa

Kredit foto: Instagram Neelofa

    

Kenyataan temubual bersama media itu dimuat naik oleh pengacara Meletop berkenaan melalui ruangan Instastory pada Jumaat.

Sebelum ini, kandungan yang tertulis dalam risalah berkaitan produk susu pisang keluarannya mencetuskan isu kerana didakwa telah mengelirukan pengguna.

Malah, doktor viral, Dr Amalina Che Bakri turut lantang menyuarakan pandangan membabitkan polemik berkenaan.

Neelofa bagaimanapun menjelaskan, risalah yang diedarkan pada sidang media, baru-baru ini, tidak mendapat kelulusan daripada kilang atau agensi yang dilantiknya.

Susulan itu, usahawan popular itu mengaku perlu memperkemaskan pembungkusan susu pisang tersebut, selepas diperiksa Kementerian Kesihatan.

Pihaknya akan bertanggungjawab menyerahkan dokumen diperlukan bagi memastikan produk dipromosikan sebagai susu berperisa pisang, selepas ini.

Dalam pada itu, isu itu turut menjadi perbualan hangat di kalangan pengguna media sosial, malah Amalina menerusi akaun Twitternya sebelum ini menggesa agar Neelofa tampil memberikan penjelasan.

Kerana tularnya isu susu pisang ini juga, nama 'Neelofa' dan 'Melayu' menghuni carta trending Twitter.

Terbaharu, Amalina sekali lagi menyuarakan rasa kecewa apabila ada pihak yang dikatakan sengaja menggunakan isu perkauman untuk menutup kesalahan diri.

Pun begitu, pakar bedah itu tidak menyatakan kepada siapa perkongsian tersebut ditujukan.

   

dr amalina

Kredit foto: Twitter Amalina Bakri

    

"Saya harap orang menghentikan menggunakan bangsa sebagai alasan 'Melayu nak jatuhkan Melayu'. Ini adalah tentang integriti, etika dan tanggungjawab. Salah tetap salah. Berani kerana benar, takut kerana salah. Saya akan bersuara tak kira siapa anda jika ia mendapat perhatian saya.

"Saya tak dapat apa-apa faedah dengan berbuat demikian, saya menentang dan bercakap mengenai produk overclaim dan berbahaya untuk melindungi orang Malaysia," tulisnya.

   

Sumber berita: Neelofa terkilan anak Melayu jatuhkan Melayu, Dr Amalina kata salah tetap salah!

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)