Kredit foto: astrogoread.astro.com.my

Pelakon dan pengacara Neelofa telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (Non-Executive Independent Director) AirAsia Bhd.

Keputusan pelantikan itu dibuat hasil kata sepakat Ahli Lembaga Pengarah.

Dalam kenyataan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata, Neelofa mempunyai kriteria yang memenuhi pilihan yang dicari pihak syarikat.

“Pihak kami amat gembira dan mengalu-alukan pelantikannya. Pengalaman Neelofa sebagai seorang usahawan, pencipta jenama amat bernilai kepada AirAsia.

“Dia juga boleh memberikan pendapat dan pandangan baru yang lebih segar untuk perniagaan kami yang kini menuju kea rah syarikat penerbangan digital,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan selebriti muda berusia 28 tahun itu sebagai seorang wanita yang pintar.

"Neelofa menepati ciri-ciri yang kami perlukan untuk terus maju menjadi satu daripada syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik.

"Selain itu itu, reputasinya sebagai antara usahawanita terkemuka negara dan tersenarai antara beberapa rakyat Malaysia dalam Forbes Asia menerusi segmen 30 Under 30, serta rekodnya dalam memperjuangkan wanita dalam perniagaan juga menjadi inspirasi kepada kami.

“Tidak sabar rasanya untuk bekerja bersama Neelofa," katanya hari ini.

Mengulas jawatan baru yang disandang, Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor akui teruja menyertai keluarga syarikat penerbangan itu.

“Saya berasa teruja dan gembira untuk menggalas peranan baru dan ini juga merupakan cabaran buat diri saya.

"Kejayaan ini bukan hanya milik saya tetapi juga buat semua wanita di luar sana. Selama tujuh tahun saya meneroka industri hiburan dan perniagaan yang telah memberikan saya begitu banyak peluang untuk berkembang.

“Terima kasih AirAsia kerana memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya,” ucapnya.

Dalam bidang keusahawanan, Neelofa membina empayar perniagaan sendiri menerusi jenama Naelofar Hijab.

Difahamkan, jenama tudung itu kini di landasan tepat untuk meraih sasaran jualan RM200 juta pada tahun ini dan telah terjual di 37 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Singapura.

Sumber berita: Astro Gempak & The Star Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)