Kredit foto: Instagram Neelofa

Aktres Neelofa menganggap orang ramai seakan sengaja memperbesarkan isu pelancaran koleksi tudung keluarannya, Be Lofa yang diadakan di pusat hiburan Zouk, malam Isnin lalu.

Neelofa menganggap mereka yang mengecamnya itu hanya tahu membuat spekulasi walhal tidak mengetahui apa-apa kerana tidak berada di majlis.

"Saya tak apa-apa pun (dengan tohmahan) kerana tahu apa yang saya lakukan. Tempat itu sendiri sudah ditukar dari pusat hiburan ke lokasi acara.

"Malah, tiada alkohol pun dihidangkan. Sesiapa yang ada di situ tahu kisah sebenar. Orang yang tiada di sana pula melebih-lebih," katanya ketika dihubungi hos gandingan dalam Meletop, Nabil Ahmad menerusi siaran langsung program berkenaan yang ke udara semalam.

Episod itu menyaksikan tempat Neelofa digantikan pelakon dan pelawak, Sherry Alhadad kerana beliau sedang menjalani suatu latihan.

Dalam pada itu, koleksi tudung terbaharu Naelofar itu dikatakan laris apabila kesemua stok dilaporkan habis.

Menerusi laman web Naelofar Hijab, 45 warna koleksi berkenaan pada harga RM73 dan RM75 sudah terjual atau 'sold out'.

Selain itu, menerusi pemerhatian, koleksi lain yang dilancarkan iaitu Be Lofa Shawl tidak dipasarkan secara atas talian. 

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada stok turban itu masih boleh didapati di kedai atau stokis Naelofar Hijab di seluruh negara.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)