Kredit foto: Instagram Aaron Aziz

Isteri aktor Aaron Aziz iaitu Diyana Halik menolak pembabitan suaminya dalam mana-mana filem aksi buat masa ini.

Jelas Diyana yang juga pengurus Aaron, keputusannya itu bertitik tolak daripada penyakit saraf yang melibatkan urat di bahu kiri aktor berkenaan.

"Sebelum ini tiga bulan Aaron tidak boleh menjalani penggambaran kerana penyakit itu dan sekarang Alhamdulillah semakin pulih namun masih perlu berhati-hati agar ia tidak berulang.

"Jika Aaron tetap berdegil dia mungkin tak boleh berlakon untuk tempoh enam bulan dan lebih baik dia berehat sekarang.

"Saya tak benarkan, kalau nak cari nahas cubalah ambik," katanya yang dipetik daripada laporan portal Mstar Online.

Diyana membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran syarikat pengurusan artis Rocket Fuel Entertainment yang berlangsung pada Khamis.

nak cari nahas cubalah isteri aaron aziz 2

Kredit foto: Instagram Aaron Aziz

Menyertai Aaron dalam senarai artis naungan syarikat berkenaan ialah Lisa Surihani, Zizan Razak, Hisyam Hamid, Syamel, Stacy, Hazama dan Sufi Rashid.

Sementara itu, Aaron pula mengakui jadual kerjaya seninya padat sehingga Oktober 2018 ini.

Justeru dia berharap masalah kesihatan yang dihadapi dapat pulih sepenuhnya.

Buat masa ini, aktor berusia 41 tahun itu sedang berehat dengan menjalani rawatan dan urutan tradisional.

"Penyakit ini berulang kalau saya tidak jaga betul-betul dan kalau diikutkan saya mahu sahaja terima tawaran filem aksi tetapi memikirkan jangka panjang saya terpaksa tolak beberapa projek.

"Sekarang saya banyak berehat sehingga akhir tahun kerana bermula tahun hadapan jadual saya padat sehingga Oktober," dedah Aaron.

Terdahulu, Aaron mendapat penyakit itu sekitar tahun 2012, namun bertambah teruk selepas satu kejadian ketika dia mendukung anak pada awal tahun ini.

Susulan itu, bahu dan tangan kirinya kebas, lalu hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk pulih meskipun dinasihatkan doktor supaya menjalani pembedahan.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)