Kredit foto: Instagram Hannah Delisha & klick.my

Mula meletup melalui drama rantaian Mencintaimu Mr Photographer, bakat baharu, Hannah Delisha kini bakal 'disatukan' dengan aktor berpengalaman, Aaron Aziz.

Hannah yang berasal dari Singapura, bergandingan dengan teraju utama Ombak Rindu itu dalam I Love You Stupid.

Menjalani penggambaran bermula bulan hadapan, filem terbitan Global Station itu adalah adaptasi novel tulisan Melur Jelita.

Hannah yang juga seorang penyanyi memberitahu, dia teruja filem yang bakal dirakamkan bukan sahaja di negara ini, malah di Kemboja.

"Saya juga tidak kisah digandingkan dengan sesiapapun. Secara peribadi, saya memang menghormati abang Aaron sebagai pelakon berpengalaman. Kebetulan, kami berdua berasal dari Singapura.

"Saya tahu, dia pelakon yang sangat profesional dan sudah lama berkecimpung di arena seni. Pastinya banyak ilmu yang akan saya peroleh apabila berlakon dengannya. Harapnya, kami dapat bekerjasama dengan baik dalam merealisasikan filem ini," katanya menurut portal BH Online.

Mengenai wataknya, Hannah bakal melakonkan gadis bernama Iris, yang amat dimanjakan keluarganya.

"Saya juga teruja kerana filem ini diangkat daripada novel yang dihasilkan oleh penulis sama dengan cerita Awak Suka Saya Tak, lakonan Alvin Chong dan Emma Maembong," kata Hannah yang genap 21 tahun pada 27 Oktober lalu.

Pemenang kategori Artis Paling Popular Singapura, Anugerah Planet Muzik ini mengakui rezeki dalam bidang lakonan cukup murah kerana sudah terikat dengan dua projek filem dan sebuah drama daripada produksi milik Datin Zaiton Muhd Jiwa.

Malah, Hannah yang baru terbit dengan lagu Esok Masih Ada itu berkata, dia berdebar menunggu tayangan filem sulungnya, Langsuir, yang bakal menjengah pawagam tahun hadapan.

"Sekalipun tayangannya masih lambat, peminat saya dan Syafiq nyata begitu teruja untuk menyaksikan gandingan kami dalam filem ini. Malah, mereka turut mewujudkan tanda pagar #Lansuri, iaitu gabungan nama watak Azlan dan Suri yang kami lakonkan dalam naskhah arahan Osman Ali itu," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)