Kredit foto: star2.com
Mengalami demam panas yang teruk, pelakon Aaron Aziz terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Prince Court.
Difahamkan, aktor itu mula mengalami perubahan suhu badan sewaktu dalam perjalanan pulang bersama pembantu peribadinya, selepas tamat penggambaran drama Adam Mukhriz.
Dedah Diyana Halik, isteri Aaron yang juga pengurus beliau, "Ketika dalam perjalanan, tiba-tiba Aaron mengadu tidak sedap badan kepada pembantu peribadinya. Jadi, penyaman udara kereta terus saja ditutup. Pada mulanya, suhu badannya cuma 37 darjah celsius, tetapi tidak sampai sejam, ia naik mendadak sehingga 39 darjah.
"Kebetulan, saya tidak bersamanya ketika itu kerana berada di Hong Kong. Saya terus menghubungi pemandu, memintanya menghantar Aaron ke hospital."
Kerana bimbang dengan keadaan suami, Diyana lantas mengambil keputusan pulang ke tanah air.
Walaupun di ketika ini suhu badan Aaron kembali stabil, namun pelakon itu dilaporkan masih dalam keadaan lemah.
"Doktor memberitahu, jumlah sel darah putih Aaron meningkat. Aaron pun masih lagi lemah," kata Diyana lagi.
Terdahulu, Aaron menerusi laman Instagram mendedahkan kesakitan yang ditanggung sehingga terasa nyawanya bagai hendak diambil.
Malah pada satu ketika, aktor itu menjelaskan terasa seperti mahu tumbang dan mati kerana suhu badan yang naik mendadak.
Sumber berita: BH Online