murid tahun 1 rentung dalam kebakaran sambil peluk beg sekolah

Sumber foto: Malaysian Digest

“Dia suka ke sekolah dan seronok masuk tahun satu, sampaikan meninggal pun masih lagi peluk beg sekolah.”

Mohd. Azmi Raji (51 tahun) tidak mampu menahan tangisan berkongsi kisah tentang cucunya, Siti Halaidah Abdullah, yang dijumpai rentung dalam sebuah insiden kebakaran di Kota Kinabalu semalam.

Kediamannya itu yang terletak di Kampung Tembongon, Putatan dan didiami 10 sekeluarga terbakar sekitar jam 3.30 pagi mengakibatkan empat rumah musnah dijilat api. 

Mayat Siti Halaidah dijumpai berdekatan pintu keluar di tingkat bawah rumah dua tingkat itu. Sementara ibunya, Siti Sarta Mohd Azmi (26 tahun) melecur 50 peratus di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan.

Mohd Azmi yang merupakan seorang buruh binaan, terjaga daripada tidur setelah terasa bahang panas, lalu terdengar bunyi rekahan kayu terbakar dan melihat sebahagian besar siling tingkat bawah kediamannya dijilat api.

Setelah itu, beliau meluru untuk menyedarkan isterinya, Roslinda Mohd Ipang (49 tahun), lalu pergi ke tingkat atas bagi menyuruh tiga anak serta lima cucunya melarikan diri.

“Api terlalu besar. Saya menahan bahang kerana mahu menyiram air di pintu keluar untuk memudahkan anak dan cucu ke tempat selamat.

“Selepas itu baru saya perasan Siti Halaidah tiada dan kami cuba masuk semula namun tidak berjaya.

“Siti Sarta nekad meredah api dan masuk ke rumah yang terbakar untuk mencari Siti Halaidah tetapi gagal menemui anaknya kerana api sudah marak,” ujarnya yang juga melecur pada bahagian belakang tubuhnya.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, pihaknya mendapat laporan tentang insiden itu pada jam 3.35 pagi, lalu membawa tiga jentera berserta 22 anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, empat rumah marak terbakar dan bomba memadam kebakaran bagi mengelak api merebak.

“Selepas api dipadamkan, kita menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan rentung manakala seorang wanita dewasa parah akibat melecur.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 pagi manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat,” jelasnya.

Sumber berita: Agensi, Mynewshub & HAA


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)