Oleh pada 06 Sep 2021 kategori

Pada ketinggian 2 meter 46 sentimeter atau 8 kaki 1 inci, Morteza Mehrzad Selakjani adalah senjata utama pasukan bola tampar duduk Iran di kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Lelaki yang mesra dipanggil dengan nama Mehrzad ini juga merupakan atlit paralimpik paling tinggi dalam sejarah. Bahkan, dia merupakan lelaki kedua tertinggi di dunia yang masih hidup ketika ini selepas Sultan Kosen dari Turki.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mehrzad berjaya membantu pasukan Iran untuk mempertahankan gelaran juara mereka mengalahkan pasukan bola tampar duduk Rusia dengan keputusan 3-1.

Dominasi sukan bola tampar duduk

Pasukan bola tampar duduk Iran telah berjaya memenangi tujuh pingas emas sejak tahun 1988. Kemenangan terbaru itu mengukuhkan lagi dominasi Iran ke atas sukan tu.

pasukan bola tampar duduk iran

Mehrzad yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang berjaya di Sukan Paralimpik Rio lima tahun lalu telah mencatatkan 25 lonjakan, dua blok dan satu ace di perlawanan akhir menentang Rusia.

Mehrzad telah menjaringkan sebanyak 28 markah sementara rakan sepasukannya, Meisam Ali Pour menyumbangkan 17 markah. Walaupun Rusia kalah dalam perlawanan akhir, pemain mereka Viktor Milenin berjaya menjaringkan sebanyak 30 markah untuk pasukannya.

Permulaan karier Mehrzad

Atlet berusia 33 tahun itu mula bermain bola tampar duduk untuk pasukan kebangsaan enam bulan sebelum kejohanan Paralimpik di Rio. Ketika berada di Rio, Mehrzad menyedari bahawa sukan ini telah mengubah hidupnya secara mendadak.

mehrzad 201

Sebelum dia menyertai pasukan bola tampar duduk, Mehrzad banyak menghabiskan masanya di rumah kerana malu dengan ketinggian dan kecacatan yang dialaminya. Bahkan, Mehrzad pernah mengalami tekanan sebelum menyertai sukan bola tampar.

Selepas dijemput menghadiri satu program televisyen, Mehrzad telah dilamar pasukan bola tampar duduk kebangsaan. Dia rasa bertuah kerana walaupun memiliki kekurangan tetapi dapat menyumbangkan jasa kepada negaranya.

Jika duduk di lantai sambil mengangkat tangannya ke atas, Mehrzad mampu mencapai ketinggian sehingga enam kaki. Kelebihan ini menjadikannya aset berharga buat pasukannya. Namun, Mehrzad mengakui bahawa dia kurang selesa apabila menerima lebih tumpuan berbanding rakan sepasukannya yang lain.

Mengalami masalah sejak kecil

Menurut Mehrzad, dia hanyalah yang paling tinggi dalam pasukannya tetapi semangat dan peranan ahli yang lain amat penting. Setiap orang di dalam pasukannya bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk mereka berada pada tahap ini.

morteza meherzad iran

Mehrzad telah didiagnos mengalami akromegali sejak usia muda lagi. Ia adalah keadaan yang menyebabkan hormon pertumbuhan yang berlebihan di kelenjar pituitari otak setelah plat pertumbuhan badan tertutup.

Ketika berusia 15 tahun, Mehrzad mengalami patah tulang pelvis akibat kemalangan basikal. Kejadian itu menyebabkan kaki kanannya berhenti membesar dan menjadikannya 15 cm lebih pendek berbanding kaki kiri.

Keadaan itu menyukarkannya untuk berjalan. Mehrzad terpaksa menggunakan kerusi roda dan tongkat untuk berjalan. Pada usia 16 tahun, ketinggiannya sudah mencapai 6 kaki 2 inci.

Dia sebelum ini malu dengan keadaan fizikalnya kini menggunakan potensi itu dengan baik. Mehrzad mengakui ketinggian tubuhnya memberikan kelebihan untuk bermain bola tampar duduk.

Kejayaan pasukan bola tampar duduk Iran

Dalam kejohanan Paralimpik Tokyo 2020, pasukan bola tampar duduk Iran telah mengalahkan Jerman, Brazil, China dan Bosnia Herzegovina sebelum menentang Rusia di pusingan akhir.

mehrzad di rio

Kemenangan ke atas pasukan Rusia menandakan bahawa Iran telah memenangi tujuh pingat emas dan dua perak dalam sukan bola tampar duduk di sembilan Sukan Paralimpik.

Dalam Sukan Paralimpik kali ini, pasukan Rusia memenangi pingat perak manakala Bosnia Herzegovina yang pernah memenangi pingat emas pada 2004 dan 2012 telah memenangi pingat gangsa apabila berjaya mengalahkan Brazil.

Pada tahun 2018, Mehrzad membantu Iran memenangi Piala Dunia Bola Tampar Duduk. Ia merupakan kemenangan dunia pertama Iran selepas lapan tahun apabila berjaya mengalahkan juara bertahan Bosnia Herzegovina di pusingan akhir.

Masa hadapan yang tidak menentu

Di sebalik kegembiraan pasukan bola tampar duduk Iran memenangi pingat emas tetapi realitinya rakan sepasukannya risau tentang kesihatan Mehrzad.

mehrzad paralimpik

Menurut rakan sepasukannya, Mehrzad masih boleh berjalan ketika pertama kali menyertai pasukan itu pada tahun 2016. Kini, Mehrzad terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Kesihatan Mehrzad juga tidak begitu baik dan semakin merosot kerana dia tidak berhenti membesar. Biasanya, pesakit yang mengalami akromegali akan mengalami keletihan, sakit sendi, sakit kepala, parestesi (kesakitan pada tubuh) dan peluh berlebihan.

Walau bagaimanapun, mereka akan terus positif dan mencuba yang terbaik di setiap kejohanan yang disertai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)