Perang Dunia Kedua sudah lama tamat. Namun, itu tidak bermakna ianya dilupakan begitu sahaja. Ahli sejarawan dan arkeologi adalah antara golongan yang sentiasa menggali sejarah dan kesan-kesan peninggalan Perang Dunia Kedua.

Antara mereka ini adalah sekumpulan penjejak artifak hasil seni yang telah ducuri oleh pihak Nazi semasa Perang Dunia Kedua yang dianggarkan berbilion ringgit. "Monuments Men" adalah satu kumpulan penjejak hasil seni yang telah dicuri oleh pihak Nazi yang ditubuhkan pada penghujung Perang Dunia Kedua. Setelah peperangan tamat, usaha mereka kini masih diteruskan dengan penubuhan Monuments Men Foundation.

Adolf Hitler seorang peminat seni

Terkenal sebagai seorang diktator yang kejam, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa beliau juga merupakan seorang peminat seni. Beliau juga bercita-cita menjadi seorang karyawan seni semasa zaman mudanya. Cita-citanya musnah apabila Vienna’s Academy of Fine Arts telah menolak permohonan kemasukannya dengan alasan beliau tidak mempunyai bakat untuk melukis.

lukisan yang berjaya diselamatkan

Sebagai seorang peminat seni, beliau dikatakan mempunyai cita-cita untuk membina sebuah tempat pengumpulan barangan seni yang terbesar dan terbaik di dunia. Selain barang berharga seperti emas yang diambil daripada negara yang dikuasai, pihak Nazi juga akan mencuri barang, artifak dan hasil seni yang terdapat di negara tersebut. 

Rompakan barangan kesenian berharga oleh Nazi

Selain barangan seni milik individu persendirian, mereka turut mengambil barang-barang berharga daripada gereja seperti kitab, buku, skrol dan juga loceng besar. Jumlah keseluruhan hasil kreatif dan barangan seni ini dikatakan bernilai berbilion ringgit pada masa kini.

Menariknya, kebanyakan barangan seni yang dicuri oleh pihak Nazi ini bukanlah untuk diniagakan sebaliknya untuk simpanan ketua-ketuanya, termasuklah Adolf Hitler and Hermann Goring. Ketika Hermann Goring ditangkap, dia didapati memiliki koleksi seni yang sangat banyak dan dikatakan koleksi hasil seni miliknya sahaja dikatakan melebihi jumlah koleksi seni yang disimpan dan dipamerkan di European Paintings Collection at the National Gallery of Art di Washington DC, Amerika Syarikat.

lukisan penting gereja

Pada tahun 1945, Hitler telah satu membuat satu deklarasi yang diberi nama Nero Decree yang mengarahkan sekiranya beliau mati atau tentera Jerman hampir tewas, maka kesemua barangan koleksi seni yang dicuri mestilah dimusnahkan. Bukan itu sahaja, segala kilang, pengangkutan dan kemudahan atau fasiliti komunikasi - apa sahaja yang boleh digunakan oleh pihak Parti Perikatan mestilah dimusnahkan.

Walau bagaimanapun, sekiranya beliau masih hidup dan Jerman menang dalam Perang Dunia Kedua ini, beliau merancangkan untuk mempamerkan koleksi barangan seni yang dicuri itu di muzium yang dibinanya kelak. Beliau merancang membina sebuah muzium di bandar kelahirannya di Linz, Austria.

Penubuhan Monuments Men

Setelah tamatnya perang, pihak Parti Perikatan mendapati bahawa banyak barangan, lukisan, ukiran, artifak dan monumen seni yang dicuri oleh pihak Nazi daripada negara yang mereka kuasai masih belum dijumpai. Pihak Perikatan percaya kebanyakan barang yang dicuri ini telah disorokkan di tempat rahsia dan besar kemungkinan masih berada dalam keadaan yang baik.

monuments men

Monuments Men adalah satu kumpulan khas yang ditubuhkan pada era penghujung Perang Dunia Kedua. Ahli kumpulannya terdiri daripada daripada individu-individu yang mempunyai pelbagai latarbelakang antaranya Pengarah Muzium, karyawan seni, artitek, sejarawan dan banyak lagi. Monuments Men merupakan kumpulan yang diletakkan di bawah unit khas MFAA (Monuments, Fine Arts, and Archives), satu program yang diasaskan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, President Franklin D. Roosevelt.

Kumpulan ini bukan sahaja ditugaskan untuk mengesan barang-barang yang telah dicuri ini malah mereka juga ditugaskan untuk memeliharanya dan memulangkan kepada pemilik negara asalnya.

Penemuan bersejarah oleh Monuments Men

Walaupun banyak lagi koleksi barangan seni ini masih belum dapat ditemui, terdapat juga beberapa penemuan besar Monuments Men yang boleh dianggap membanggakan. Apabila perang mula reda di Eropah sekitar 1945, kerja Monuments Men sebenarnya baru sahaja bermula.

Antara penemuan terbesar Monuments Men adalah penemuan kira-kira 6000 buah lukisan bernilai tinggi di sebuah lombong garam di Altaussee, Austria. Ianya adalah kawasan yang strategik dan tersorok dengan lebih 137 terowong yang terdapat di dalamnya. Kawasan tersebut juga menjadi pilihan Hitler untuk menyimpan barangan seni yang dicurinya kerana suhu dan kelembapan di dalamnnya yang sesuai untuk menyimpan lukisan dan mengelakkannya daripada rosak.

Antara lukisan penting yang ditemui disini adalah lukisan pelukis terkenal Michelangelo yang bertajuk “Madonna of Bruges” dan “Ghent Altarpiece”. Kawasan lombong ini juga menjadi pilihan kerana lokasinya yang berada di bawah gunung-ganang dapat mengelakkannya musnah daripada serangan bom pihak musuh.

Filem The Monuments Men

Sekiranya anda tidak tahu, usaha Monuments Men ini juga difilemkan dalam sebuah filem yang bertajuk The Monuments Men pada 2014. Walau bagaimanapun, seperti kebanyakan filem yang berlatarbelakangkan peperangan dan sejarah, filem ini telah dikritik oleh banyak pihak disebabkan ketidaksamaan dan tokok tambah yang ada dalam jalan ceritanya jika dibandingkan dengan sejarah sebenar.

Kredit:

  1. History.com
  2. Monuments Men
  3. Smitsonian Mag
  4. Slate

tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)