Membaca terbukti dapat membantu diri kita dalam beberapa aspek. Antaranya adalah meningkatkan kepintaran, mengurangkan tekanan, menambah kosakata, menjadikan memori bertambah baik dan banyak lagi. Bayangkan jika anda sedang menunggu bas atau tren, semestinya dengan membaca adalah lebih baik daripada budaya zaman sekarang yang hanya suka menghabiskan setiap masa terluang dengan bermain telefon pintar.
BESARKAN TEKS A- A+
Di Perancis, satu trend baru sedang dicipta bagi mengatasi masalah ini seterusnya membina masyarakat yang lebih berdaya cerdas dan berilmu. Syarikat kereta api Perancis, SNCF, telah memasang mesin layan diri yang bukannya menjual snek atau minuman, tetapi menyediakan perkhidmatan mencetak cerita pendek. Apa yang lebih menariknya, ia adalah percuma.
Ya, percuma. Idea menarik dan bermanfaat ini tercetus apabila salah seorang pengasas mesin ini sedang berdiri di hadapan mesin layan diri yang menjual snek dan terfikir pasti ada cara lain untuk dilakukan sementara menunggu, daripada hanya makan snek, maka terhasilah "Short Edition"
Mesin ini mencetak cerita pendek kepada orang awam yang dilengkapi dengan 3 pilihan durasi cerita iaitu 1, 3 atau 5 minit bergantung kemahuan pengguna. Menurut SNCF lagi, idea ini bertujuan menggalakkan penumpang untuk menikmati kesusasteraan yang berkualiti disamping memperkenalkan budaya menaiki dan menggunakan kereta api dengan cara lebih mudah.
Mereka menggambarkan ia sebagai "sebuah perjalanan sebelum perjalanan seterusnya", yang menjelaskan bahawa membaca itu juga sebagi sebuah perjalanan. Hampir 5,000 penulis telah menyumbang cerita untuk digunakan oleh servis itu dan selama 6 bulan beroperasi, hampir 100,000 cerita pendek telah dicetak.
Menurut penerbit yang menggalas tugas menyusun projek itu, Short Edition, pelbagai jenis cerita dan topik yang dimuatkan ke dalam mesin tersebut, antaranya adalah sastera klasik, puisi dan juga cerita fiksyen.
Matlamat kita adalah ingin melihat pengedar-pengedar berada di semua tempat awam dan menggalakkan budaya membaca dan menulis, serta membantu mempromosikan pengkarya-pengkarya tempatan.
- Christophe Sibieude, Direktor Short Edition
Sememangnya suatu usaha yang patut dipuji dan dikembangkan serta digunapakai di negara-negara lain juga. Bayangkan jika terdapat satu mesin ini di setiap stesen kereta api di Malaysia atau di Kuala Lumpur, pastinya ia akan memberikan manfaat yang tidak ternilai yang akan meneraju masyarakat kita ke arah yang lebih baik. Harap-harap Perdana Menteri kesayangan kita terbaca artikel ini dan memasang mesin-mesin ini!
Sumber :
3. Independent