Sebagai sebuah negara besar dunia, Amerika Syarikat telah terlibat dengan begitu banyak peperangan - segelintir daripada penglibatan mereka dalam peperangan adalah kerana mahu dilihat sebagai "hero" yang kononnya mahu mengembalikan keamanan dunia.
Realitinya? Mereka mungkin mempunyai muslihat tersendiri. Dalam banyak-banyak peperangan yang disertai oleh pihak tentera Amerika Syarikat, salah satu yang banyak diperkatakan adalah mengenai penglibatan dan kekalahan teruk mereka dalam Perang Vietnam.
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, boleh dikatakan bahawa Perang Vietnam merupakan mimpi ngeri bagi pihak Amerika Syarikat. Setiap veteran tentera yang pernah menyertai Perang Vietnam pastinya mempunyai pengalaman pahit mereka yang pastinya sukar untuk dilupakan.
Persoalannya, apakah yang terjadi di Vietnam? Bagaimana pasukan tentera Amerika Syarikat yang mempunyai begitu besar kekuatan tentera boleh tewas?
Ringkasan peristiwa Perang Vietnam
Perang Vietnam juga dikenali sebagai Perang Indochina Kedua dan di Vietnam, ia dikenali sebagai Perang Menentang Amerika atau hanya Perang Amerika. Perang ini merupakan konflik di Vietnam, Laos, dan Kemboja dan berlangsung selama lebih 19 tahun daripada 1 November 1955 hingga kejatuhan Saigon pada 30 April 1975.
Ia adalah peperangan kedua dari Perang Indochina dan secara rasmi merupakan perseteruan antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Vietnam Utara disokong oleh Kesatuan Soviet, China dan sekutu komunis yang lain. Sementara itu, Vietnam Selatan disokong oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan, Filipina, Australia, Thailand dan sekutu anti-komunis yang lain.
Sekutu Vietnam Utara termasuk Barisan Pembebasan Vietnam Selatan (Vietcong), Kesatuan Soviet dan China. Vietnam Selatan pula dibantu Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Korea Selatan. Penglibatan tentera Amerika Syarikat sebenarnya bermula sejak tahun 1959 lagi tetapi bilangan tentera yang dihantar pada peringkat awal terlalu sedikit.
Peperangan ini sangat terkenal kerana telah mengorbankan ramai penduduk awam, kekalahan tentera AS dan penentangan daripada rakyat AS sendiri terhadap penglibatan tentera mereka di Vietnam. Perang Vietnam tamat secara rasminya pada 30 April 1975 apabila Vietnam Selatan tewas keseluruhannya.
Faktor kegagalan Amerika Syarikat
1. Kegagalan Operasi "Rolling Thunder"
Kempen pengeboman dari udara gagal kerana bom sering jatuh ke hutan kosong dan tidak mengenai sasaran Vietcong mereka. Para gerila Vietcong mengetahui keadaan hutan dan menggunakan pangkalan dan terowong bawah tanah yang rumit untuk berlindung dari bom AS dan sering menggunakan kembali bom Amerika yang tidak meletup untuk menyerang kembali tentera tentera AS.
2. Peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang awam
Pada tahun 1968 tentera Amerika telah mencari gerila Vietcong dengan menyerbu kampung My Mai. Misi Cari dan Hancurkan ini telah didasarkan pada maklumat dan informasi ketenteraan yang lemah. Taktik kejam yang digunakan oleh tentera AS ini telah mendorong lebih ramai orang awam Vietnam untuk menyokong Vietcong.
Dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di kampung My Lai, mereka telah membunuh sekitar 300 orang awam termasuk kanak-kanak kerana disangka merupakan musuh. Pembunuhan My Lai merosakkan reputasi Amerika dan menjejaskan sokongan daripada rakyat AS sendiri.
3. Liputan media massa
Peristiwa seperti Pembunuhan My Lai dilaporkan di akhbar AS yang menyebabkn ramai orang Amerika sendiri mempersoalkan mengenai penglibatan tentera AS dalam perang ini. Rakaman filem askar AS yang membakar kediaman dan kesan dari peluru berpandu udara semuanya mengubah pandangan orang awam AS untuk menentang perang ini.
4. Kurang sokongan daripada rakyat AS sendiri
Ketika perang berlarutan semakin ramai orang Amerika mula menentang perang di Vietnam. Ramai orang mula menentang perang ini dan tokoh masyarakat seperti peninju Muhammad Ali sanggup masuk ke penjara kerana menolak untuk dihantar pergi ke Vietnam.
Pada tahun 1970, pegawai dari National Guard menembak orang ramai yang menyertai demonstrasi anti perang di Kent State University, membunuh empat pelajar. Lebih ramai orang mempersoalkan sejauh mana pemerintahan mereka akan menyokong perang yang sememangnya merugikan kerajaan mereka sendiri.
Faktor kejayaan Vietcong
1. Teknik perang gerila
Vietcong menggunakan kawasan hutan yang begitu sinonim dengan mereka sebagai kelebihan buat mereka. Mereka bertempur dengan teknik perang gerila melawan tentera Amerika yang tidak berpengalaman, yang kebanyakannya adalah tentera muda.
Ancaman musuh yang tidak kelihatan (kerana berselindung di sebalik hutan) dan penggunaan perangkap tersembunyi seperti tongkat punji - tongkat buluh yang diasah dan diletakkan di dalam perangkap - memberi kesan psikologi yang memalukan kepada tentera AS.
2. Laluan rahsia denai Ho Chi Minh
Gerila Vietnam mempunyai kelebihan kerana mempunyai bekalan senjata berterusan dari Utara. Bekalan ini dibawa dengan berjalan kaki, dengan basikal dan keldai di sepanjang laluan ahsia denai Ho Chi Minh - jejak hutan yang melintasi negara-negara jiran Laos dan Kemboja. Walapun pernah dibom oleh Tentera AS tetapi tidak pernah terganggu sepenuhnya.
3. Operasi Serangan Tet
Pada tahun 1968, Vietcong menggunakan sambutan perayaan Tahun Baru Buddha (Tet) untuk mengubah taktik dan melancarkan serangan besar-besaran di kawasan-kawasan yang dikuasai AS di seluruh Vietnam Selatan termasuk Kedutaan AS di Saigon.
Serangan itu berjaya bagi Vietcong dan walaupun akhirnya mereka dihalau oleh Angkatan Darat AS, serangan itu menunjukkan kepada Amerika bahawa walaupun banyak tentera, bom dan wang dibelanjakan di Vietnam, mereka tidak membuat kemajuan melawan Vietcong atau komunis.
Ramai sejarawan melihat Operasi Serangan Tet sebagai titik tolak dalam misi Amerika di Vietnam. Selepas itu, Presiden Johnson mengatakan bahawa jika Vietnam Utara melancarkan serangan lain, ramai orang - di kedua-dua pihak perjuangan - akan mati dan perkara ini perlulah dielakkan.
Serangan ini mungkin menjadi faktor keputusan Presiden Johnson untuk tidak mencalonkan diri untuk pemilihan semula Presiden AS pada tahun 1968. Dia sering menyuarakan keprihatinan tentang peningkatan jumlah korban perang Amerika.
Kredit: