Anda pasti pernah melihat situasi di mana ada ambulans sedang membawa orang sakit atau cedera ke hospital. Siren akan dibunyikan dan sebagai seorang yang prihatin, anda pasti memberikan laluan bagi melancarkan perjalanan ambulans itu. 

van ambulans kkm

Perkara yang sama juga berlaku di lampu isyarat. Ambulans biasanya tidak akan berhenti dan menunggu lampu bertukar hijau. Jika kenderaan anda di hadapan, adakah anda melanggar undang-undang jika melanggar lampu merah bagi memberi laluan? 

Penerangan dari segi undang-undang

Seorang peguam, Tuan Hasif Hasan, telah berkongsikan pandangannya mengenai perkara ini. Dia menulis bersandarkan undang-undang sedia ada dan tidak mengulas mengenai aspek moral atau kemunasabahan undang-undang yang sedia ada.

Sebelum menulis, Tuan Hasif telah membuat kajian berkaitan perkara ini. Biarpun negatif tetapi undang-undang tetap undang-undang melainkan ia dimansuhkan atau dipinda parlimen.

beri laluan pada ambulans 2

Sebelum menulis, beliau sudah menjangkakan soalan dan argumen dari netizen seperti:

  • Tak kan ambulans yang membawa pesakit jantung dan wanita bersalin perlu berhenti di lampu isyarat merah?
  • Berapa banyak lampu isyarat nak kena berhenti?
  • Jika berhenti di lampu isyarat bukannya sekejap tetapi lama.
  • Apakah perasaan anda jika pesakit yang dibawa ambulans itu adalah ahli keluarga sendiri?
  • Jika lambat sampai ke hospital, pesakit akan mati dan lain-lain lagi persoalan logik pada hukum akal.

Rata-rata netizen memberikan pandangan bahawa ambulans boleh melanggar lampu merah kerana nyawa pesakit dalam kecemasan adalah lebih penting. Sebenarnya, sudah banyak kes di mana berlakunya kemalangan melibatkan ambulans di persimpangan lampu isyarat.

Situasi melibatkan ambulans dalam kecemasan

ambulans kemalangan di lampu isyarat

sumber : utusan

Ada situasi di mana sesetengah pemandu mendengar muzik dengan kuat dan tidak sedar kewujudan ambulans pada masa itu. Ketika lampu bertukar hijau, mereka akan bergerak ke hadapan kerana itu adalah hak mereka. Secara tiba-tiba muncul ambulans dari arah lain merempuh kenderaan mereka.

Begitu juga apabila ambulans berada di belakang. Pemandu di hadapan bergerak untuk memberi laluan sedangkan lampu isyarat masih merah dan terlanggar atau dilanggar kenderaan dari arah lain yang bergerak ketika lampu hijau. Lebih malang lagi jika kemalangan itu melibatkan kematian pengguna lain yang tidak berdosa.

ambulans kemalangan

Bagaimana pula bagi sesetengah pemandu yang mengambil peluang "menumpang" untuk melanggar lampu merah bagi memberi laluan sedangkan ambulans berada di laluan sebelah, bukannya di belakang mereka seterusnya berlaku kemalangan.

Siapa yang perlu dipersalahkan? Pemandu yang mematuhi peraturan atau ambulans dalam kecemasan? Adakah pemandu ambulans boleh disaman dan disabitkan kerana pemandu kenderaan di hadapan melanggar lampu merah bagi memberi laluan? Jawapannya TIDAK BOLEH.

Jawapan kepada persoalan

ambulans terbalik

Mengikut undang-undang, sebuah ambulans itu sebenarnya PERLU BERHENTI ketika lampu isyarat merah. Memang ada arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengarahkan pemandu-pemandu ambulans melakukan perkara ini di persimpangan lampu isyarat seperti :

  • Tidak membunyikan siren tetapi dibenarkan untuk menyalakan lampu kecemasan.
  • Pemandu ambulans tidak boleh melanggar lampu isyarat merah kerana mereka juga tertakluk pada undang-undang lampu isyarat.

Menurut Tuan Hasif, ia bukannya untuk menidakkan keperluan pesakit tetapi bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang lebih membahayakan nyawa pesakit dan pemandu lain akibat kegagalan mematuhi peraturan lampu isyarat.

ambulans terbabas

Sebenarnya, seseorang pesakit itu tidak akan dibawa menaiki ambulans sebelum distabilkan pasukan perubatan kecemasan atau berada dalam keadaan stabil terlebih dahulu. Ini bermaksud, pesakit itu masih boleh menunggu lampu isyarat bertukar hijau sebelum meneruskan perjalanan ke hospital yang dirujuk

Walaupun nyawa pesakit adalah lebih penting dan mungkin meninggal dunia jika lambat ke hospital, ia adalah lebih sia-sia jika mereka terlibat dalam kemalangan. Mengapa menambah lagi risiko kepada pesakit kritikal dan pemandu lain untuk kemalangan yang tidak perlu dan boleh dielakkan? 

naik ambulans

Perlu diingati juga bahawa waris pesakit hanya dibenarkan menaiki ambulans mengiringi pesakit dengan kebenaran pegawai perubatan dan perlu mengisi borang terlebih dahulu. Jika berlaku kecelakaan dalam perjalanan, waris pesakit tidak boleh menuntut apa-apa ganti rugi dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Langkah terbaik jika ada ambulans yang 'masih dan mahu' melanggar lampu isyarat merah, adalah wajar bagi pemandu menghimpit dan bergerak ke tepi bagi membeli laluan kepada ambulan untuk bergerak ke hadapan secara bersendirian dan bukannya turut bergerak sama.

Pandangan Polis Trafik

beri laluan pada ambulans 835

Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud, kebanyakan pemandu dan penunggang motosikal fikir jika mereka terlibat dalam kemalangan dengan ambulans, secara automatik ia adalah salah mereka dan tidak dapat menuntut insurans dari pihak ambulans. Ini adalah salah sama sekali.

Selepas berlaku kemalangan, pemandu atau penunggang motosikal masih boleh membuat laporan polis dan biar polis menjalankan siasatan dan lihat apa yang mereka boleh lakukan.

Rujukan:

1. Peguam kongsi pengalaman mengenai ambulans langgar lampu merah

2. Bolehkah ambulans langgar lampu isyarat merah

3. Pendapat netizen mengenai hak ambulans langgar lampu merah



Hakcipta iluminasi.com (2017)