Oleh pada 21 Jul 2020 kategori

kalendar buang hari selarikan tahun

Kami ajukan kepada anda satu persoalan; adakah anda merasakan tarikh dalam kalendar itu sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah?

Sebagai contoh katakanlah kerajaan Malaysia merasakan tahun 2020 ini banyak masa terbuang disebabkan oleh Covid-19, boleh tak kerajaan kita mengisytiharkan tahun 2020 dianggap hanya bermula semula selepas pandemik ini selesai bagi menjimatkan hari-hari yang telah kita 'buang'?

Sebenarnya boleh! Tetapi itu adalah contoh yang agak ekstrim. Ini kerana dalam sejarah tamadun dunia khasnya Eropah, wujud dua peristiwa di mana kalendar dipercepatkan atas keperluan.

Anda tahu tak bila dua peristiwa itu berlaku?

Masalah kiraan kalendar Julian

kalendar kuda tepi jalan

Selama hampir 16 abad, masyarakat Eropah zaman dahulu menggunakan sistem kalendar Julian yang diperkenalkan Julius Caesar, pemerintah Empayar Rom pada tahun 46SM.

Dengan menggunakan perkiraan 365 hari dalam tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang hadir setiap empat tahun sekali, kalendar Julian hampir menyamai gerakan sistem solar kita, namun ralat dalam kiraannya mula mengalami akumulasi sehinggakan kalendar itu tidak lagi tepat - lari beberapa bulan selepas 16 abad.

Masyarakat Eropah khasnya penganut ajaran Katolik meraikan sambutan Easter setiap kali bulan penuh pertama selepas tamat fenomena ekuionoks, kebiasaannya pada 20 atau 21 Mac.

Disebabkan oleh ketidaktepatan kiraan kalendar era tersebut, lama-kelamaan tarikh sambutan Easter mula berlaku bulan-bulan berikutnya, menyebabkan tarikh sambutan serta fenomena ekuinoks yang berlaku tidak lagi seiring.

Buang 11 hari dari kalendar

peristiwa bersejarah tarikh dibuang dalam tahun kalendar

Demi memperbetulkan sistem kiraan ini, seorang ahli matematik bernama Christopher Clavius diberikan tanggungjawab membetulkannya atas arahan Pope Gregory ke 13, ketua ajaran Katolik era tersebut.

Kiraan yang dilakukan Clavius menunjukkan durasi setahun kalendar Julian yang berlangsung selama 365 hari dan 6 jam, perlu dipendekkan 11 minit untuk membetulkan ralat yang terkandung.

Bagi melaksanakan solusi itu, hampir 11 hari perlu dibuang daripada kalendar tahun tersebut agar tarikh Easter kembali berjalan serentak dengan fenomena ekuinoks setiap tahun.

Atas nasihat tersebut, Pope Gregory ke 13 mengisytiharkan bahawa tarikh 5 Oktober hingga 14 Oktober untuk tahun 1582 tidak akan dikira dalam kalendar tahun tersebut bagi membolehkan kiraan yang lebih tepat dalam diperkenalkan.

Ini bermakna selepas 4 Oktober 1582....kiraan tarikhnya terus melompat kepada 15 Oktober! Pengisytiharan itu memulakan pengenalan kalendar yang kini kita kenali sebagai kalendar Gregorian, yang masih kekal digunakan sehingga kini.

Disebabkan bukan semua pihak mengamalkan sistem baru ini dan kekal dengan sistem Julian, wujudlah catatan-catatan rekod dalam sejarah yang terpaksa dicatatkan dengan dua tarikh berbeza.

Masyarakat Russia misalnya hanya mula mengadaptasi sistem mereka pada tahun 1919. Kerajaan Turki pula menjadi kerajaan Eropah terakhir menggunapakai sistem Gregorian pada tahun 1926.

Kerajaan Arab Saudi pula dianggap mula menggunakan sistem Gregorian secara rasmi pada tahun 2016, selepas mereka mengumumkan perancangan 'Visi 2030' kerajaan mereka; tidak menggunakan kiraan tahun Hijrah Islam.

Pertukaran itu dianggap sebagai satu pertukaran dasar yang baru bagi negara tersebut.

Masalah kalendar Empayar British

raja george arahkan britain ikut kalendar gregorian

Disebabkan oleh perbezaan aliran ajaran Kristian, kerajaan British menjadi antara kuasa Eropah yang enggan bertukar kepada sistem Gregorian yang dipelopori pemimpin aliran Katolik, sementara Britain lebih kepada gerakan Protestan.

Britain kekal menggunakan sistem Julian sehinggakan berlaku banyak kekeliruan dalam urusan pentadbiran, disebabkan keperluan untuk menuruti dua sistem kalendar yang jaraknya berbeza beberapa bulan.

Parlimen Britain bersidang bagi menyelesaikan masalah ini setelah berlakunya masalah perbezaan sistem kalendar yang diamalkan koloni mereka di seluruh dunia.

Persidangan itu bersetuju ada dua masalah yang perlu diperbetulkan dalam pentadbiran mereka; yang pertama sistem kalendar yang tidak sekat. Yang kedua, menyeragamkan tarikh permulaan tahun.

Ketika era tersebut Britain secara rasmi masih lagi mengamalkan tarikh 25 Mei atau 'Lady Day' sebagai tarikh permulaan sesebuah tahun. Namun beberapa jajahan mereka sudah mengamalkan tarikh 1 Januari sebagai hari permulaan tahun untuk ratusan tahun lamanya.

Pada tahun 1750, kerajaan Britain menerusi Akta Kalendar (Jenis Baru) 1750 mengisytiharkan pertukaran sistem mereka kepada sistem Gregorian di semua kawasan pentadbiran mereka.

Britain juga mengumumkan sistem tahun yang akan mula menggunakan 1 Januari sebagai tahun baru.

Dua solusi yang dipilih Britain

gregorian julian calendar 1752

Untuk membetulkan kalendar Britain, kerajaan mereka perlu melaksanakan dua perubahan yang agak drastik.

Akta kalendar itu diperkenalkan pada tahun 1750 mengakibatkan tahun 1751 dipendekkan kepada hanya 282 hari. Tahun 1751 dianggap bermula pada 25 Mac 1751 dan tamat pada tarikh 31 Disember 1751; bagi membolehkan 1 Januari 1752 dianggap permulaan tahun baru.

Dalam langkah kedua, Raja George II mengisytiharkan tarikh 2 September 1752 sebagai tarikh akhir kalendar Julian akan digunakan dalam pentadbiran mereka.

Namun untuk menselarikan kiraan tarikh turut memerlukan 'pembuangan' hari sama sepertiapa  yang dilakukan oleh Pope Gregory ke 13 sebelum-sebelum itu.

Kerajaan Britain mengumumkan bahawa tarikh 3 September dan 11 hari seterusnya tidak akan diambil kira, terus melompat kepada 14 September 1752.

Kami tidak tahu apa berlaku kepada mereka yang menyambut hari ulang tahun kelahiran mereka dalam 11 hari yang dipadamkan.

Begitulah dua peristiwa dalam sejarah dunia di mana 11 hari dibuang bagi membetulkan kiraan sistem kalendar dan memudahkan urusan agama masyarakat Eropah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)