Trypophobia sebenarnya adalah perasaan fobia, atau kebencian terhadap corak yang tidak teratur atau sekumpulan lubang kecil atau benjolan. Kebencian ini bukanlah sejenis penyakit mental, dan jarang-jarang sekali dirujuk dalam kajian saintifik, dan ianya jatuh dalam kategori fobia khusus. Ramai daripada kita yang berasa jijik atau takut, atau keduanya apabila melihat imej trypophobik.
Pemahaman tentang trypophobia adalah agak terhad. Walaupun terdapat beberapa kajian yang dijalankan tentang fobia ini, para penyelidik memberi hipotesis bahawa trypophobia adalah disebabkan oleh penolakan biologikal yang mengaitkan bentuk-bentuk trypophobik dengan bahaya atau penyakit, dan hipotesis ini mungkin mempunyai asas evolusinya yang tersendiri.
Terma trypophobia dipercayai adalah hasil buah fikiran salah seorang peserta forum dalam talian sekitar tahun 2005. Sejak daripada itu, konsep berkaitan trypophobia menjadi semakin popular di dalam media sosial, dan menjadi perbincangan ramai.
Trypophobia - Fobia, Jijik atau Takut?
Trypophobia tidak diakui sebagai sejenis penyakit mental. Bagaimanapun, ia diletakkan di bawah kategori fobia khusus sekiranya perasaan takut atau benci itu menjadi keterlaluan, menyebabkan seseorang mengalami penderitaan psikologi.
Sama ada trypophobia boleh dikatakan sebagai fobia khusus atau tidak, ianya bergantung kepada sama ada individu tersebut hanya berasa takut atau jijik. Hal ini adalah kerana fobia selalunya melibatkan perasaan takut.
Sekiranya respons terhadap imej trypophobik hanyalah perasaan jijik semata-mata, ianya membuatkan statusnya sebagai fobia khusus boleh dipersoalkan. Apapun, status trypophobia bergantung kepada kecenderungan seseorang terhadapnya.
Simptom-Simpton Anda Mengalami Trypophobia
Bentuk-bentuk yang boleh menyebabkan reaksi trypophobik termasuklah kerumunan lubang dalam konteks yang tidak menyenangkan, seperti yang ada pada sesetengah buah-buahan dan buih. Lubang-lubang yang dihasilkan oleh serangga yang hidup di dalamnya juga boleh menyebabkan muncul perasaan fobia ini buat sesetengah manusia.
Melihatnya bentuk dan lubang sedemikian, sesetengah daripada kita akan merasa bergetar, mengalam serangan panik, berpeluh, berdegup, mual dan ada yang berasa gatal-gatal. Antara simptom-simptom lain yang turut dilaporkan termasuklah meremang bulu roma dan perasaan tidak selesa.
Trypophobia boleh menyebabkan sebahagian daripada kita berasa taku, jijik atau keduanya. Selalunya perasaan jijik dan geli itu sudah tentu mengatasi perasaan takut.
Trypophobia kerap kali melibatkan perasaan jijik dan geli yang melampau terhadap lubang-lubang kecil, dengan corak berulang dan berbenjol. Para penyelidik memberi spekulasi bahawa reaksi trypophobik boleh dilihat sebagai isyarat kepada penyakit berjangkit, amaran yang boleh memberikan seseorang kelebihan dari segi kelansungan hidup.
Respon Masyarakat Kepada Imej-Imej Trypophobik
Disebabkan trypophobia jarang diketahui umum, kebanyakan orang yang menghidapinya berprasangka bahawa hanya mereka yang mengalaminya, sehinggalah imej-imej sedemikian mula tersebar di media sosial.
Terdapat juga sesetengah daripada kita yang nakal, yang sengaja mencari imej trypophobik kerana ingin mewujudkan perasaan tersebut dalam kalangan mereka yang fobia dengannya. Yang lebih teruk, ada segolongan manusia yang sanggup edit imej trypophobik dengan melakukan 'superimpose' ke atas kulit manusia. Euw, geli!
Pada tahun 2017, trypophobia menerima perhatian media melalui siri televisyen American Horror Story, yang memaparkan sebuah karakter trypophobik. Ramai pihak yang mengutuk keras penerbit siri tersebut kerana dianggap tidak sensitif terhadap mereka yang merana akibat fobia tersebut.
Walaupun terdapat sentimen yang mengatakan tindakan media tersebut boleh menyebabkan orang ramai untuk mencuba merasai perasaan fobia tersebut, ada beberapa pihak lain yang berpendapat bahawa tindakan media itu sebenarnya boleh membantu orang ramai untuk memahami tentang trypophobia dan mendorong lebih ramai lagi untuk melakukan penyelidikan dalam hal ini.
Ada tak yang steady jer tengok imej lubang-lubang kecil ni?
Rujukan & Bacaan Tambahan: