Bagi pasangan suami isteri yang tidak mempunyai rezeki untuk memiliki anak sendiri, mengambil anak angkat mungkin merupakan antara solusi yang boleh diambil. Walau bagaimanapun, ianya perlulah melalui cara yang betul dan proses dokumentasi yang sebenar agar tidak timbul masalah dikemudian hari.
Satu ketika dahulu di Sri Lanka sekitar tahun 80-an, dipercayai wujud sindiket pemerdagangan manusia yang menjual kanak-kanak yang masih bayi ke pasangan suami isteri yang mahu mengambil anak angkat. Malangnya, kesan kegiatan ini hanyalah disedari pada masa kini.
BESARKAN TEKS A- A+
Usaha menjejaki yang sukar
Dalam satu pendedahan yang mengejutkan dibuat pada tahun 2017, sehingga 11,000 kanak-kanak mungkin telah dijual kepada keluarga di Eropah, dengan kedua-dua pihak diberikan dokumen palsu.
Terdapat beberapa laporan bahawa kanak-kanak ini dilahirkan di "ladang bayi" yang menjual anak-anak yang masih bayi ke pelanggan-pelanggan di Barat. Kira-kira 4,000 kanak-kanak dipercayai telah dijadikan anak angkat dengan keluarga di Belanda dan negara-negara Eropah lain seperti Sweden, Denmark, Jerman dan UK.
Seorang anak angkat bernama Rowan van Veelen, mengatakan kepada BBC bahawa dia telah kembali ke Sri Lanka untuk mencari ibu sebenarnya ketika dia pada wakktu itu sudah pun berusia pada 27 tahun. Dia adalah sebahagian daripada usaha melalui rangkaian media sosial yang berpusat di Belanda yang berusaha memadankan ibu kelahiran Sri Lanka dengan anak mereka yang terpisah.
Malangnya, usaha itu menemui kesukaran memandangkan anak angkat dan ibu angkat mendapat maklumat yang salah mengenai ibu sebenar kanak-kanak itu. Kumpulan ini mencadangkan ingin membuat bank DNA dengan semua anak angkat dari Belanda bagi membolehkan mereka mencari sekiranya mereka mempunyai adik beradik kandung di sana,
Selain itu, kumpulan ini juga menggesa negara lain seperti Sweden, Denmark dan Jerman untuk mewujudkan bank DNA yang sama bagi kanak-kanak angkat yang diambil dari Sri Lanka.
Penggunaan dokumen palsu
Pembuat filem dokumentari dari Belanda dari Zembla mula meneliti tuduhan tersebut setelah Mahkamah Belanda untuk Pentadbiran Keadilan Jenayah dan Perlindungan Juvenil menasihat kerajaan pada bulan November 2016 untuk mempertimbangkan untuk melarang pengambilan anak angkat dari negara luar kerana amalan yang tidak beretika di beberapa negara asal kanak-kanak tersebut.
Norbert Reinjens, seorang penyelidik Zembla, memberitahu BBC bahawa mereka telah menemui bukti bahawa semua jenis dokumen dipalsukan oleh organisasi atau institusi yang menguruskan anak-anak angkat tersebut - termasuk surat beranak, nama anak-anak dan identiti ibu bapa kandung.
Di beberapa institusi, dipercayai terdapat wanita yang dibayar untuk berlakon dan berpura-pura menjadi 'ibu" kandung ketika proses menyerahkan kanak-kanak tersebut dilakukan. Lebih menyedihkan, terdapat pendedahan bahawa terdapat kemungkinan bahawa beberapa individu daripada hospital turut bersubahat dengan sindiket ini.
Beberapa ibu yang baru bersalin di sebuah hospital bersalin di Matugama, Sri Lanka barat, dilaporkan diberitahu bahawa anak-anak mereka yang baru lahir telah meninggal dunia Realitinya, bayi-bayi tersebut dijual ke pembeli dari luar negara yang mahu mencari anak angkat.
Dalam dokumentari tersebut, seorang wanita turut mendedahkan bahawa dia dibayar 2,000 rupee (sekitar $30) oleh seseorang yang mempunyai hubungan dengan pihak hospital untuk berpura-pura bertindak sebagai ibu bayi.
Skandal besar tahun 80-an dan 90-an
Apabila filem dokumentari ini ditayangkan, ramai ibu datang ke kota Negombo dari seluruh Sri Lanka untuk mencari jawapan. Mereka mengatakan pernah mendengar mengenai sekumpulan pelawat yang berusaha mencari anak-anak mereka yang hilang.
Malangnya, mereka hampir tidak mempunyai sebarang dokumen. Seorang ibu menunjukkan gambar gambar anaknya yang diambil pada tahun 1989, tetapi tidak mempunyai maklumat lain mengenai keluarga atau lokasi anaknya.
Seorang ibu pula memberitahu bahawa dia memeriksa dokumen mengenai anak perempuannya yang dijadikan anak angkat tetapi mendapati semua maklumat yang dinyatakan dalamnya adalah palsu. Malah, maklumat mengenai keluarga angkat juga telah diletakkan maklumat palsu.
Sementara itu, seorang wanita lain mengaku telah menerima wang untuk mengaku bahawa dia adalah ibu kepada seorang gadis. Dia mengatakan bahawa dia melakukannya kerana dia sangat terdesak memerlukan wang pada ketika itu.
Menariknya, apabila pendedahan ini dibuat, hanya golongan ibu yang hadir bagi mencari informasi sebenar mengenai status anak mereka. Tiada bapa yang hadir. Sebilangan besar wanita mengatakan bahawa mereka dahulu terpaksa menyerahkan bayi mereka kepada sindiket tersebut memandangkan mereka terdesak mahukan wang untuk hidup kerana telah ditinggalkan oleh suami.
Di Sri Lanka, kita sering mendengar tentang kisah perjumpaan gembira anak angkat di Belanda dan ibu bapa di Sri Lanka dipaparkan dalam akhbar. Tetapi setelah bercakap dengan ibu-ibu ini, jelas kita dapat melihat sebenarnya wujudnya skandal besar pada tahun 80-an dan 90-an yang menjual bayi kepada negara luar.
Kewujudan "ladang bayi"
Sri Lanka melarang sementara bayi daripada negara tersebut dijadikan anak angkat oleh mana-mana pasangan dari negara luar pada tahun 1987 setelah satu "ladang bayi" diserbu dan 20 bayi baru lahir dijumpai di dalamnya.
Dalam serbuan tersebut, wanita-wanita yang mahu bersalin dan menyerahkan anak mereka kepada sindiket tersebut juga berada dalam keadaan menyedihkan dengan keadaan mereka diumpamakan seeperti berada dalam sebuah penjara dengan dikelilingi dinding setinggi 3 meter.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Sri Lanka, Rajitha Senaratne menafikan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab atau mempunyai pengetahuan mengenai rangkaian dan sindiket pemerdagangan bayi tersebut.
Beliau walau bagaimanapun mengatakan kerajaan akan melihat dengan lebih serius akan perkara tersebut dan akan melakukan penyiasatan menyeluruh.
Kredit: