Memiliki rumah sendiri mungkin merupakan impian bagi setiap insan. Walau bagaimanapun, kos harga rumah yang melambung tinggi menyukarkan ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah, hatta rumah kos rendah sekalipun.

Secara purata, bekas lepasan ijazah di Malaysia rata-ratanya hanya mampu membeli kos rendah sahaja. Bagi yang baru berkeluarga, rumah kos rendah ini sebenarnya sudah cukup selasa. Namun, bagi yang sudah memiliki ramai anak, mereka pastinya perlu mencari rumah lain yang lebih besar dan seleas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kos sara hidup yang tinggi sememangnya berkait rapat dengan kualiti tempat tinggal seseorang. Di bandar-bandar besar seperti Hong Kong misalnya, rakyat yang mempunyai gaji kecil atau "miskin bandar" terpaksa hidup di rumah yang sangat sempit.

Lagi menyedihkan, ada yang terpaksa tinggal di dalam sangkar kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih selesa. Perkara ini ada kami tulis dalam artikel Masalah Perumahan di Hong Kong: Manusia Tinggal di Dalam Sangkar. Namun, pernahkah anda dengar mengenai Keret House yang turut dikenali sebagai rumah tersempit di dunia?

Idea pembinaan Keret House

rumah tersempit dunia

Walaupun diiktiraf sebagai rumah tersempit di dunia, Keret House bukanlah dicipta sebagai tempat penginapan jangka masa panjang sebaliknya hanya dianggap sebagai sebuah hasil seni yang sangat unik.

Idea mengenai pembinaan rumah ini pertama kali dipertontonkan kepada orang ramai ketika festival WolaArt pada tahun 2009. 3 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2012 rumah ini akhirnya siap dibina di Warsaw, Poland.

rumah sempit

Keret House merupakan idea unik daripada seorang arkitek Polish, Jakub Szczesny dan setelah pembinaannya menjadi realiti, rumah ini berjaya menarik perhatian ramai pihak daripada seluruh dunia untuk datang sendiri ke Warsaw bagi melihat sendiri konsep rumah yang unik ini.

Rumah ini dibina di ruang kecil antara dua bangunan sedia ada yang terletak di Chlodna 22 Street dan Zelazna 74 Street. Dari segi ukuran pula, kawasan rumah ini dibina atas lot tanah yang mempunyai keluasan antara 92 sm dan 152 sm. Setelah siap, kelebaran rumah ini hanya antara 72 sm dan 122 sm sahaja.

Memorial bagi mengingati kematian ahli keluarga

rumah paling unik

Pada asalnya, Jakub Szczesny ingin menghasilkan rumah unik ini sebagai memorial bagi mengingati kematian ahli keluarganya yang terbunuh dalam peristiwa Holocaust. Hasil binaan ini hanya dianggap sebagai sebuah seni memandangkan ianya tidak mengikut piawaian pembinaan rumah di Poland. 

Sementara itu, nama "Keret" ini diberi sempena mengambil nama Etgar Keret, seorang pembikin filem dan penulis daripada Israel yang secara spontannya meminta kebenaran daripadanya untuk menjadi penghuni pertama yang tinggal di rumah ini.

Setelah kedua-duanya bersetuju dengan beberapa syarat yang ditetapkan, Etgar Keret telah mendiami rumah ini selama beberapa minggu sebelum ianya dibuka kepada umum terutamanya penulis daripada seluruh dunia untuk bermalam di rumah ini.

Lengkap dengan pelbagai kemudahan asas

keret house

Walaupun dibina sebagai bahan pameran kesenian, Keret House ini boleh berfungsi sebagai rumah sebenar yang boleh diduduki. Dengan keluasan yang begitu sempit ini, rumah ini turut mempunyai sebuah bilik tidur, tandas, dapur dan juga peti sejuk.

Rumah ini mempunyai 3 tingkat keseluruhannya yang disambung menggunakan tangga yang boleh diubah kedudukannya. Lukisan di bawah merupakan rekabentuk penuh rumah unik ini.

lukisan keret house

Binaan rumah ini sememangnya sangat unik. Ianya turut memaparkan bagaimana manusia mampu memanfaatkan tanah yang sempit menggunakan kreativiti mereka untuk mencipta sebuah rumah yang mampu didiami dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Kredit:

  1. Metro News
  2. New Atlas
  3. Atlas Obscura
  4. Arch Daily



Hakcipta iluminasi.com (2017)