Oleh pada 15 Jan 2018 kategori

Sumber foto: antarapos.com

Menerusi sebuah indeks persaraan daripada InternationalLiving.com baru-baru ini, Malaysia didedahkan menduduki tangga teratas bagi lokasi pilihan paling sesuai buat para pesara di negara Asia pada tahun 2018. 

Berdasarkan kajian tersebut yang juga melibatkan faktor-faktor lain seperti kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan iklim, Malaysia berada di tempat kelima di peringkat antarabangsa.

Malaysia juga dilaporkan sebagai sebuah lokasi ideal disebabkan kriteria seperti iklim tropika dan tawaran pilihan terbaik untuk tujuan pesaraan sama ada di kawasan bandar atau pekan kecil, yang majoritinya dipenuhi alam semula jadi atau pantai.

Pesara mampu tinggal selesa di Malaysia dengan jumlah yang cukup kecil iaitu  AS$2,500 (RM9,894.97), jika dibandingkan dengan kos hidup di negara barat.

Sementara itu, kedudukan ini juga ditentukan menerusi pelancongan kesihatan negara, iaitu elemen pilihan yang menawarkan penjagaan kesihatan berkualiti pada kos berpatutan. Malah, terdapat juga variasi restoran dan barangan runcit antarabangsa buat pesara yang mahu rasa seolah-olah berada di negara sendiri.

Di samping itu, laman web itu turut menyambut baik program "Malaysia Rumah Keduaku" atas dasar visa persaraannya yang merupakan antara pilihan terbaik di dunia. Ini memudahkan proses perpindahan para pesara ke negara ini.

Indeks tahunan tersebut merekodkan sebanyak 24 tempat perlindungan utama persaraan di seluruh dunia, dengan kualiti persaraan dijadikan sebagai ukuran penting.

Negara selebihnya yang juga tersenarai ialah Costa Rica (tempat pertama), Mexico (tempat kedua), Panama (tempat ke-3), Ecuador (tempat ke-4), Colombia (tempat ke-6), Portugal (tempat ke-7), Nicaragua (tempat ke-8), Sepanyol (tempat ke-9) dan Peru (tempat ke-10).

Sumber berita: BernamaUtusan Online  




Hakcipta iluminasi.com (2017)