World Health Organization (WHO) atau dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Pertubuhan Kesihatan Dunia adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mempunyai tanggungjawab dalam bidang kesihatan awam antarabangsa. Dalam Perlembagaan WHO yang menetapkan struktur dan prinsip pemerintahan agensi tersebut menyatakan objektif utamanya adalah "memastikan tahap kesihatan orang awam berada pada tahap kesihatan setinggi mungkin".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Agensi ini mempunyai ibu pejabat di Geneva, Switzerland, dengan 6 pejabat wilayah separa autonomi dan 150 pejabat di seluruh dunia. WHO ditubuhkan pada 7 April 1948 yang diperingati sebagai Hari Kesihatan Sedunia. 

Bidang kuasa WHO adalah luas termasuk menganjurkan program untuk penjagaan kesihatan secara universal, memantau risiko kesihatan awam, mengkoordinasikan tindak balas terhadap keadaan darurat kesihatan dan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan manusia.  

WHO turut berperanan memberikan bantuan teknikal kepada negara-negara anggota, menetapkan piawaian dan panduan kesihatan antarabangsa dan mengumpulkan data mengenai masalah kesihatan global melalui kajian dikenali sebagai World Health Survey.

WHO telah memainkan peranan utama dalam beberapa perkara antaranya pembasmian penyakit cacar, penghapusan polio dan pembangunan vaksin Ebola. Antara fokus utamnya sekarang termasuk penyakit berjangkit (terutamanya HIV / AIDS, Ebola, malaria dan tuberkulosis), penyakit tidak berjangkit (seperti penyakit jantung dan barah), diet, pemakanan, kesihatan pekerjaan dan penyalahgunaan dadah.

Kisah simbol ular pada lambang WHO

1280px flag of who svg

Pernahkah anda melihat dengan teliti logo yang digunakan oleh pihak WHO seperti di atas? Anda mungkin perasan ada seekor ular yang sedang melingkar. Apakah simbolik ular ini kepada pihak WHO?

Lambang WHO dipilih oleh Majlis Kesihatan Dunia Pertama pada tahun 1948. Lambang ini terdiri daripada simbol Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang turut memaparkan satu batang menegak dengan ular melingkar di sekelilingnya.

Simbol yang digunakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ini juga dikenali sebagai Rod of Asclepius. Simbol ular melingkar batang menegak tersebut telah lama menjadi simbol perubatan dan profesion perubatan. Ianya berasal dari kisah Asclepius, yang dianggap oleh orang-orang Yunani kuno sebagai dewa penyembuh dan kultusnya melibatkan penggunaan ular.

Asclepius dikatakan telah meyelamatkan begitu banyak nyawa manusia sehingga, Hades, dewa neraka mengeluh tentangnya kepada dewa tertinggi Zeus yang khuatir Asclepius dapat membuat manusia kekal hidup. Zeus lalu membunuh Asclepius dengan petir. 

asclepius

Mengikut kisah lagenda, Asclepius adalah anak kepada Apollo dan Nymph Coronis. Semasa dia mengandungkan Asclepius, Nymph Coronis menipu Apollo. Ketika Apollo mendapat tahu, dia meminta Artemis membunuhnya. Semasa Coronis terbakar di atas kubur pengebumiannya, Apollo sempat menyelamatkan anaknya itu dari mayat yang terbakar.

Asclepiuss diajar tentang perubatan dan penyembuhan dari "centaur" bernama Cheiron dan menjadi dewa perubatan dan penyembuhan. Centeur adalah makhluk dalam kisah kuno Yunani yang digambarkan sebagai makhluk dengan kepala, lengan dan batang tubuh lelaki manakala badan dan kaki kuda.

Asclepius menjadi sangat hebat dalam penyembuhan sehingga Zeus menganggap dia mengancam keabadiannya dan membunuhnya dengan petir. Apollo bertanya adakah Asclepius boleh menjadi antara bintang, lalu Asclepius disumpah menjadi Ophiuches yang bermaksud pembawa ular.

Simbol bidang perubatan

logo international medical university

Logo International Medical University yang turut memaparkan Rod of Asclepius

Rod of Asclepius adalah satu-satunya simbol profesion dalam bidang perubatan. Ular itu mewakili pembaharuan kerana kemampuannya menyalin kulit mereka. Selain WHO, banyak lagi agensi, organisasi atau pertubuhan dalam bidang perubatan yang menggunakan simbol Rod of Asclepius ini antaranya:

  1. International Medical University, Malaysia
  2. Academy of Medicine of Malaysia
  3. Australian Medical Association
  4. Association of Anaesthetists of Great Britain and Ireland
  5. Royal College of Psychiatrists (UK)
  6. ... dan banyak lagi.

Kekeliruan dengan Simbol Rod of Caduceus 

rod of asclepius 341

Selain simbol Rod of Asclepius, terdapat satu lagi simbol yang sering disalah guna iaitu simbol Rod of Caduceus. Terdapat segelintir organisasi atau pertubuhan berkaitan bidang perubatan terutamanya di Amerika Syarikat yang tersilap menggunakan Rod of Caduceus pada logo mereka.

Jika diteliti, terdapat perbezaan yang kecil antara kedua simbol ini. Simbol Rod of Caduceus mempunyai sepasang ular yang saling melingkar dengan sayap di bahagian atas manakala pada simbol Rod of Asclepius, hanya terdapat satu ular yang melingkar batang yang menegak.

The Caduceus dikaitkan dengan dewa Hermes dalam kisah mitologi Yunani dan merupakan simbol perdagangan, kedua ular itu menandakan kelayakan dan sifat berhati-hati. Suatu hari, Hermes menghalakan tongkatnya pada dua ular yang sedang bertarung, tiba-tiba kedua-dua ekor ular tersebut berhenti bertarung dan melingkar tongkatnya, menunjukkan kedamaian.

Kredit: 

  1. WHO
  2. Wikipedia
  3. Quora



Hakcipta iluminasi.com (2017)