Oleh pada 29 Dec 2023 kategori

Sebut tentang nama-nama kelab sukan terkenal dunia seperti FC Barcelona, sebagai peminat sukan bola sepak pasti anda terus teringatkan sukan tersebut yang cukup sinonim dengan sejarah dan pembangunan bola sepak.

Bagaimanapun FC Barcelona bukanlah sekadar kelab bola sepak, tetapi kelab itu turut melebarkan sayap dalam pelbagai sukan berbeza; bukan saja setakat bertanding malahan menguasai sukan-sukan yang jarang dikaitkan dengan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain FC Barcelona, wujud beberapa lagi kelab di seluruh dunia yang turut sama menceburi bidang sukan pelbagai disiplin ini - sehingga layak bergelar gergasi pelbagai sukan di sana. Berikut adalah lima kelab sukan terkenal dan paling berjaya, bukan saja dalam bola sepak bahkan dalam sukan-sukan yang kurang ternama.

1. Real Madrid

kelab bola keranjang real madrid

Bagi peminat sukan bola sepak, nama kelab dari Sepanyol, Real Madrid memang cukup sinonim dengan sukan itu. Prestij kelab itu yang terbentuk melalui sejarah panjang membuatkan kelab itu dilihat destinasi kemuncak yang mampu dicapai, sepanjang karier seorang pemain.

Tetapi Real Madrid bukan saja elit dalam sukan bola sepak. Kelab bola keranjang Real Madrid juga merupakan sebuah pasukan berstatus elit di Eropah, dinamakan sebagai Real Madrid Baloncesto yang bertanding dalam kejohanan tempatan di Sepanyol dan juga liga bola keranjang Eropah, EuroLeague.

Pencapaian mereka dalam sukan bola keranjang sangat menyerlah, berjaya mencapai jumlah kejuaraan tertinggi liga Sepanyol sebanyak 36 musim dan 11 kejuaraan EuroLeague. Real Madrid juga menjadi satu-satunya kelab pernah bergelar juara Eropah dalam satu musim, selepas memenangi kedua-dua pertandingan dalam kalendar tahun yang sama.

2. FC Barcelona

pasukan bola baling barcelona

Untuk bercakap tentang kejayaan lain pasukan FC Barcelona dalam sukan lain, mungkin memerlukan penjelasan lebih panjang. Ini kerana kelab ini benar-benar jaguh dalam banyak jenis sukan berbeza.

Seperti seteru utama mereka, FC Barcelona Basquet merupakan cabang bola keranjang bagi kelab tersebut, merupakan kelab bola keranjang tertua di Sepanyol serta terus bersaing di peringkat teratas sehingga kini...cuma tidak secemerlang Real Madrid Baloncesto.

Tetapi FC Barcelona Handbol adalah kelab paling berjaya di Sepanyol dan juga Eropah, menerusi sukan bola baling. Mereka bukan saja dianggap, malahan memegang hampir kesemua rekod kejuaraan yang ada dalam liga tersebut sehingga ke hari ini.

Selain bola sepak dan bola baling, FC Barcelona juga memiliki pasukan dalam sukan hoki ais, hoki kasut luncur, futsal, ragbi, bola tampar, olahraga malahan ragbi Amerika Syarikat. 

3. Al-Ahly

kelab bola sepak yang hebat sukan berbeza

Di antara semua kelab benua Afrika, kelab dari Mesir iaitu Al-Ahly FC merupakan kelab sukan paling berjaya dalam pelbagai bidang sukan.

Lebih terkenal sebagai sebuah kelab bola sepak gergasi kerana telah menjuarai kejohanan tempatan sebanyak lebih 80 kali dan merupakan kelab bola sepak paling berjaya di Afrika, kelab ini juga merupakan pasukan elit dalam sukan bola tampar.

Skuad bola tampar Al Ahly juga merupakan kelab paling berjaya di Mesir, telah memenangi kejohanan lebih 33 kali sejak penubuhannya pada tahun 1932. Pencapaian mereka sebagai kuasa sukan Afrika meletakkan kelab itu dalam kategori yang jauh berbeza, berbanding pesaingnya.

4. Flamengo

pasukan bola sepak yang berjaya dalam sukan lain

Sebut nama kelab bola sepak Flamengo dari Brazil, pasti ramai yang sudah berusia akan terkenangkan aksi padu pemain seperti Zico dan Romario yang pernah menyarung jersi kelab tersebut.

Selain pencapaian hebat dalam bola sepak, Flamengo Basketball yang merupakan sayap kepada sukan bola keranjang kelab tersebut juga merupakan antara kelab digeruni seteru. Beroperasi atas nama penuh Basquetebol do Clube de Regatas do Flamengo, setakat ini kelab tersebut telah memenangi kejuaraan liga sebanyak 8 kali.

Menyarung jersi dengan warna sama seperti saudara bola sepak mereka, kelab bola keranjang mereka merupakan kelab paling popular di Brazil tetapi setakat ini, masih belum berjaya benar-benar mendominasi liga peringkat benua seperti kelab-kelab lain dalam senarai ini.

5. CSKA Moscow

pbc cska moscow

Jangan terkejut jika kami katakan kepada anda, kelab paling berjaya dalam pelbagai lapangan sukan di seluruh dunia - adalah CSKA Moscow! Sehingga ke hari ini rekod yang dipegang kelab dari Russia ini nampak sukar digugat dalam negara dan juga diperingkat Eropah.

Bermula sebagai sebuah kelab luncur salji dan bola sepak, kini CSKA Moscow telah menyertai banyak variasi bidang sukan berbeza; bola sepak, bola tampar, hoki ais, bola baling, polo air, bola keranjang dan polo air. 

PBC CSKA Moscow, sayap bola keranjang kelab itu merupakan pasukan berstatus elit dalam liga bola keranjang Eropah telah memenangi kejohanan EuroLeague 8 kali. HC CSKA Moscow yang bertanding dalam sukan hoki ais, telah menjuarai liga tempatan sebanyak 36 kali daripada 46 musim pertandingan.

Dalam sukan bola tampar, pasukan VC CSKA Moscow merupakan kelab paling berjaya dalam pertandingan CEV Champions League, yang menyaksikan pasukan-pasukan elit seluruh Eropah bersaing. Kelab itu sehingga ke hari ini masih memegang rekod kejuaraan sebanyak 13 kali. 

Walaupun bergelar kelab paling berjaya dari segi kejuaraan, pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah menyebabkan perjalanan kelab ini terganggu. Ketika ini, mereka telah dihalang daripada menyertai kejohanan peringkat Eropah dan dalam masa sama menyaksikan ramai pemain memilih untuk meninggalkan kelab tersebut, bagi membawa haluan berbeza.




Hakcipta iluminasi.com (2017)