Oleh pada 21 Sep 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

                      

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini tampil dengan single terbaharu berjudul Anta Permana yang baru sahaja dilancarkan sebentar tadi.

Ia menemui pendengar menerusi semua pelantar digital mulai hari ini.

Siti yang cukup dikenali menerusi rangkaian lagu pelbagai genre, kali ini memilih untuk bekerjasama dengan pasangan komposer muda popular, Hael Husaini dan Ezra Kong.

Umum mengetahui, portfolio seni kolaborasi Hael dan Ezra yang tidak wajar diragui lagi menerusi beberapa penghasilan lagu berkualiti seperti Jampi, Nisan Cinta, Pematah Hati, Polis Entry dan Hati-Hati.

Bukan suatu proses yang mudah, Hael yang menyuarakan niatnya untuk mencipta lagu Siti pada Februari lalu, hanya dipersetujui Siti pada bulan Mei selepas meluangkan masa mendengar demo yang dihantar.

Ibu kepada Siti Aafiyah itu pula berkesempatan merakamkan lagu berkenaan pada Ogos sebelum bersedia dipasarkan bulan ini, September.

Menurut penyanyi yang berkhidmat lebih dua dekad sebagai anak seni itu, judul Anta Permana merupakan perkataan Melayu klasik bermaksud ‘tidak terkira’ atau infiniti.

“Lagu itu berkisar cinta sejati yang tiada bandingannya. Selain pemilihan judul dan maknanya yang bertepatan dengan lirik lagu, Siti juga berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.

“Siti menaruh harapan tinggi dengan kemunculan single terbaru ini dan berharap peminat muzik tempatan akan menyukainya. Siti anggap Anta Permana sebagai karya yang segar, mesra telinga dan mempunyai keunikan tersendiri menerusi gabungan muzik moden serta klasik,” kata Siti kepada BH Online.

Nantikan video muzik rasmi Anta Permana yang dijangkakan menemui peminat menerusi laman YouTube mulai minggu hadapan.

Sementara itu, kami kongsikan liriknya khas buat anda.

lirik lagu anta permana datuk seri siti nurhaliza 2

Kredit foto: Instagram Rozi Abdul Razak

               

Bicara minda dendangan hati

Jiwa dan raga yang melengkapi

Bagaikan bagaikan hangat mentari

Cinta yang sejati

                      

Jauh di mata dekat di hati

Jika dirindu jangan curangi

Ke mana ke mana kan terbawa pergi

Terduga diuji

                       

Ku bila tersedar semuanya

Sempadan ilusi

                     

Andai bintang kan tak lagi berseri

Janji kasih yang takkan terkhianati

Andai habis nafas ku yang terakhir

Masih ku cinta

Kerna ku pasti kau tiada pengganti

                       

Sedangkan lidah tergigit jua

Inikan pula cinta manusia

Melayang melayang dibawa pawana

Iringi cintamu

                        

Biar dikenang kasih, budi dan sayang

Biar biarkan cinta anta permana

Video Anta Permana

        




Hakcipta iluminasi.com (2017)