Apabila memikirkan tentang sesebuah tasik, kita pasti akan mengaitkannya dengan pemandangan indah dan suatu tempat untuk melepaskan stress. Namun, tiga buah tasik di Afrika Barat ini tidaklah seperti apa yang anda sangkakan.

Ketiga-tiga buah tasik ini mempunyai risiko untuk meletus secara tiba-tiba dan boleh membunuh banyak banyak manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dalam jarak beberapa kilometer di sekelilingnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Letupan tasik yang digelar sebagai "Letusan Limnic" ini mempunyai kaitannya dengan letusan gunung berapi dengan beberapa berbezaan utama. Antara perbezaan paling ketara ialah Letusan Limnic ini tidak menjurus kepada aliran lava atau awan debu.

tasik nyos 163

Tasik Nyos

Sebaliknya, letusan ini menghasilkan awan karbon dioksida yang besar terhasil daripada dasar tasik. Memandangkan ia lebih berat berbanding udara, gas toksik ini akan turun ke kawasan yang rendah dan serta-merta akan memberikan kesan kepada apa sahaja yang berada dalam laluannya.

Satu-satunya tanda amaran yang diberikan ialah letupan kuat ketika gas itu dilepaskan dari tasik berkenaan. Beberapa orang mangsa melaporkan terhidu bau yang aneh, di mana ahli sains mengaitkannya dengan asap gunung berapi seperti sulfur.

Peristiwa maut yang pertama seumpama ini direkodkan berlaku di Tasik Monoun, yang meletus pada tahun 1984 dan membunuh 37 orang dan banyak haiwan.

haiwan terkorban akibat gas beracun

Haiwan terkorban akibat gas beracun Tasik Nyos

Dua tahun kemudian pada 21 Ogos 1986, Tasik Nyos yang terletak di kawasan yang mempunyai lebih ramai penduduk telah meletus. Dalam kejadian kali ini, seramai 1,700 orang telah terkorban dan lebih daripada 3,500 haiwan ternakan mati.

Awan karbon dioksida berwarna putih yang terhasil daripada letupan itu dianggarkan sebanyak 1.6 juta tan dan menjulang sehingga 160 kaki tinggi. Gas beracun itu telah terbang ke kampung-kampung berhampiran dan kadar toksiknya dianggarkan berjumlah 6-8 peratus (jumlah normal dalam udara ialah 0.04 peratus).

Gas itu telah menyebabkan penduduk tidak sedarkan diri dan meninggal dunia serta-merta. Kebanyakan mangsa ketika itu tidak menyedari kejadian yang berlaku dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa sebelum mereka kehilangan nyawa.

korban letusan limnic

Korban Letusan Limnic

Walau bagaimanapun, terdapat juga penduduk yang terselamat daripada Letusan Limnic ini. Mereka bernasib baik kerana tinggal di kampung di kawasan yang lebih tinggi di mana gas beracun itu hanya melalui kawasan yang lebih rendah sahaja.

Walaupun hanya dua kejadian sahaja yang direkodkan, tetapi saintis percaya ia pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. Para saintis telah menemui bukti bahawa kepupusan besar-besaran telah berlaku di bahagian bawah tasik.

Tambahan pula, orang asli yang mendiami kawasan itu percaya bahawa tasik dan mata air berdekatan sebagai "berhantu". Ini kerana banyak haiwan seperti katak dan burung yang berada berhampiran tasik dan mata air itu mati. Kini saintis telah menemui penjelasan ilmiah tentang mengapa ia terjadi.

laluan gunung berapi cameroon

Laluan gunung berapi Cameroon

Namun, mengapa kejadian ini berlaku masih lagi tidak dikenal pasti. Para saintis telah menentukan bahawa terdapat isyarat tertentu sebelum Letusan Limnic berlaku. Pertama, tasik-tasik ini terletak di Laluan Gunung Berapi Cameroon (salah satu gunung berapi terbesar Afrika).

Kedua, terdapat ruang magma yang besar di bawah tasik-tasik yang menghasilkan gas gunung berapi yang boleh memasuki tasik. Oleh kerana tasik-tasik itu sangat dalam seperti Tasik Nyos yang mempunyai kedalaman 200 meter dan dikelilingi oleh tebing curam, terdapat tekanan air yang mencukupi untuk menahan gas-gas di dasarnya.

Kerana kawasan itu beriklim tropika dan bersuhu panas sepanjang tahun, air tasik itu tidak bercampur dengan gas di bawahnya seperti tasik yang berada di kawasan suhu bermusim. Ini kerana tasik di kawasan suhu bermusim boleh melepaskan gas bertoksik ini secara sedikit demi sedikit.

proses berlakunya letusan limnic

Proses berlakunya Letusan Limnic

Tasik di kawasan ini sama seperti sebuah botol air soda yang besar. Apabila ia digoncang dan dibuka secara tiba-tiba, gas yang berada di dalamnya akan meletus keluar.

Para saintis masih lagi tidak tahu dengan tepat apa yang mencetuskan letusan itu. Mungkin tardapat gempa bumi atau letusan gunung berapi di dasar tasik. Mungkin juga terdapat tanah runtuh yang mengalihkan air di bahagian atas tasik, menyebabkan gas-gas di bahagian bawah memancut keluar. 

Tanpa mengetahui sebab-sebab sebenar, terdapat kebimbangan bahawa kejadian itu boleh berlaku lagi. Kini perhatian khusus diberikan kepada Tasik Kivu, di mana dua juta orang yang tinggal di sekitarnya berhadapan dengan risiko.

kerja melepaskan gas bertoksik tasik kivu 807

Langkah pencegahan bagi melepaskan gas secara perlahan-lahan

Beberapa langkah berjaga-jaga telah dibuat untuk mencegah Letusan Limnic daripada berlaku lagi. Setakat ini apa yang diusahakan kelihatan berhasil kerana lebih daripada 30 tahun ia tidak berlaku.

Langkah-langkah pencegahan ini termasuklah memasang paip penyejuk di dalam tasik untuk melepaskan gas di dalamnya secara perlahan-lahan. Terdapat juga kemungkinan di masa hadapan untuk menukar gas-gas ini sebagai bahan bakar di kawasan bandar. Ini adalah salah satu contoh terbaik untuk menukar liabiliti menjadi aset.

Rujukan:

1. Curiosity

2. World Atlas

3. Slate




Hakcipta iluminasi.com (2017)