tasik gaet ale air paling masin di dunia

Terletak berhampiran kawah Dallol di Danakil Depression, sebuah kolam air kecil dengan tahap kemasinan 43% yang dikenali sebagai Tasik Gaet’ale menjadi air semulajadi paling masin di atas muka Bumi.

Sebagai perbandingan, Tasik Don Juan di Antartika adalah yang paling masin di dunia sebelum ini dengan kemasinan 40.2% dan Laut Mati yang dikenali sebagai perairan hypersaline (lebih masin daripada air laut biasa) paling popular di dunia, mempunyai tahap kemasinan 33.7%.

Untuk lebih memahami betapa masinnya Tasik Gaet’ale, sebahagian besar lautan dunia mempunyai purata kemasinan 3.5%.

Ini bermakna air di Tasik Gaet’ale ini adalah 12 kali ganda lebih masin daripada air laut biasa.

Air dalam kolam kecil ini tersangat tepu dengan garam sehinggakan ia teksturnya dirasakan seperti minyak jika dipegang. 

danakil depression

(Danakil Depression)

Penduduk tempatan di wilayah Ethiopia ini kadang-kala memanggil Tasik Gaet'ale sebagai "tasik berminyak" disebabkan betapa berminyaknya tekstur airnya.

Namun, sesetengah orang menggelarkan tasik ini sebagai "tasik pembunuh", kerana gas toksik yang dikeluarkan melalui permukaan air serta bangkai burung dan serangga yang kekal dalam keadaan sempurna berhampirannya memperingatkan bahaya jika terlalu dekat dengan air tersebut.

Walaupun Danakil Depression (kemurungan geologi disebabkan oleh perbezaan tiga plat tektonik di Tanduk Afrika) adalah unik untuk Ethiopia dan menjadi tarikan pelancongan geologi yang popular, para pakar memberi amaran bahawa pelancong perlu berhati-hati ketika berada di Tasik Gaet'ale dan kolam-kolam masin yang lain.

Tahap gas-gas toksik, kemungkinan besar karbon dioksida yang dihasilkan oleh gunung berapi, kadang-kala boleh menjadi terlalu kuat sehingga mampu membunuh manusia dewasa terutamanya berhampiran permukannya di mana gas ini terkumpul.

air masin dari tasik gaet ale

(Air masin dari Tasik Gaet'ale)

Puluhan bangkai burung yang diperhatikan oleh saintis yang melakukan kajian di Tasik Gaet'ale menjadi peringatan kepada sesiapa yang ingin mendekati tasik ini.

Walaupun burung-burung tersebut mungkin meminum air yang tersangat masin ini, namun punca kematiannya berkemungkinan besar adalah karbon dioksida dari air Tasik Gaet'ale.

Air yang tersangat masin ini adalah bahan yang memelihara bangkai-bangkai burung tersebut dan sebilangan daripadanya telah mati untuk tempoh yang lama melihatkan bangkai disaluti dengan garam.

tasik gaet ale air paling masin di dunia 2

Sehingga kini, tiada siapa yang tahu berapa usia tasik ini namun menurut imej satelit Landat yang diambil pada 6 Februari 2003, ia sebelum ini wujud dalam bentuk separa bulat yang hampir sama.

Namun gempa bumi pada tahun 2005 telah mengaktifkan semula mata air gunung berapi yang mengalirkan air yang tersangat masin ke dalam kolam kecil ini secara berterusan.

Air Tasik Gaet'ale mungkin kelihatan sangat menarik, namun air yang mampu mencapai suhu 50 hingga 55 Celcius ini tersangat berasid dengan tahap pH 3.5 hingga 4 yang mampu melecurkan kulit manusia.

Rujukan:

1. Atlas Obscura

2. Guinness World Record

3. Central



Hakcipta iluminasi.com (2017)