Oleh pada 21 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Reuters

Insiden letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia, dua hari lepas tidak mempunyai hubungan dengan penyebaran selesema di negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, Kementerian Kesihatan telah menafikan dakwaan kononnya penyebaran virus influenza itu ke negara ini dibawa oleh debu yang terhasil daripada letusan gunung berapi terbabit.

Ini disebabkan sifatnya yang tidak tahan panas dan memerlukan suhu yang rendah untuk tersebar.

Menerusi sebuah kenyataan hari ini, beliau mengesahkan bahawa tahap kualiti udara di Malaysia masih baik dan sederhana, malah tidak langsung terganggu kerana letusan gunung berapi berkenaan.

Wan Junaidi memberitahu, pihaknya mengawasi kualiti udara negara menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak gunung itu meletus pada 19 Februari lalu sehingga kini.

“Virus influenza ini berpunca daripada perubahan yang tidak menentu dan ia menyebabkan kebanyakan penduduk dalam negara mengalami demam. Fenomena ini berlaku sebelum letusan gunung berapi tersebut terjadi.

“Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh dirujuk di https://apims.doe.gov.my/. Oleh demikian, tiada apa yang membuktikan khabar angin dan dakwaan bahawa letusan gunung berapi Sinabung menyebabkan kemerosotan kualiti udara di negara ini," jelasnya.

Wan Junaidi menambah, disebabkan Malaysia masih dalam monsun Timur Laut yang kebanyakannya bertiup menghala ke arah Sumatera, justeru mustahil abu gunung berapi Sinabung datang ke negara ini.

“Menurut data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bertarikh 19 Februari 2018, abu gunung berapi itu berada pada ketinggian 10,000 kaki dan bergerak ke arah timur,” ujarnya.

Sumber berita: Utusan Online & ismaweb.net




Hakcipta iluminasi.com (2017)