Disorder Identity Dissociative (DID) atau sering dikenali sebagai Gangguan Kepelbagaian Personaliti adalah sesuatu daripada beberapa gangguan disosiatif dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental.

Gejala ini dikesan sekiranya seseorang itu mempunyai sekurang-kurangnya dua personaliti yang berbeza. Setiap personaliti itu mempunyai fikiran, perasaan dan memorinya yang tersendiri dan hanya satu personaliti sahaja yang akan muncul pada satu-satu masa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gangguan ini terjadi tanpa gangguan penggunaan dadah, alkohol atau kondisi kesihatan. Apabila diagnosis dilakukan, biasanya pesakit mempunyai sejarah yang lama berkaitan penderaan semasa zaman kanak-kanak.

Gejala gangguan ini merangkumi perkara-perkara seperti "kehilangan masa" dan hilang ingatan yang kerap, perubahan pada tulisan tangan dan perubahan dalam fungsi yang membuatkan penghidap hampir kurang upaya untuk berfungsi dengan baik bergantung pada jenis personaliti yang muncul.

Keadaan gangguan ini kadang-kala sukar untuk didiagnosi dan terdapat beberapa kontroversi sama ada ia benar-benar wujud. Sesetengah pakar mental percaya bahawa orang yang mengalami gangguan ini mungkin seorang yang pandai berlakon, mengalami misdiagnosis atau penularan sosial. Adalah sukar untuk melakukan demonstrasi gangguan ini secara jelas.

Kes Billy Milligan yang luar biasa

billy mulligan

Menurut Columbus Dispatch, Billy Milligan telah dibicarakan pada tahun 1978 kerana telah merogol tiga orang wanita. Akan tetapi, dia didapati tidak bersalah di atas sebab kurang siuman. Malah, Billy disahkan mempunyai 24 personaliti berbeza.

Serangan pertama yang dilakukannya ialah pada 14 Oktober 1977. Billy telah menculik seorang pelajar Ohio State University di tempat letak kereta kampus menggunakan senjata api. Selepas melakukan serangan seksual, Billy memaksa wanita itu menulis sekeping cek kepadanya sebelum menunaikan cek itu di bank.

Serangan kedua berlaku lapan hari kemudian dan serangan ketiga pula empat hari selepas itu pada 26 Oktober. Sehari selepas serangan terakhir, salah seorang mangsa telah mengenalpasti wajah Billy apabila melihat foto suspek dalam simpanan polis. Ditambah dengan bukti cap jari pada salah satu kereta mangsa, Billy akhirnya ditangkap.

billy sedang dibicarakan

Pegawai polis yang menangkap Billy berkata bahawa dia telah berbual dengan beberapa orang yang berbeza ketika sedang membawa Billy ke balai. Pegawai perubatan yang memeriksa Billy telah memfokuskan kepada apa yang diadukan oleh pegawai polis berkenaan. 

Pembela awam yang mewakili Billy memberitahu peguam pendakwa raya bahawa mereka ingin menggunakan rayuan dengan alasan kurang siuman terhadap kes Billy.

Personaliti yang berbahaya

lukisan beberapa personaliti milligan

Beberapa lukisan yang didakwa adalah personaliti Billy

Penilaian psikiatri yang lebih lanjut telah dilakukan terhadap Billy. Pasukan penilai telah mendapati bahawa personaliti seorang lelaki Yugoslavia berusia 23 tahun bernama Ragen telah mengambil alih kesedaran Billy dan mempunyai keinginan melakukan jenayah seperti merompak.

Satu lagi ialah personaliti Adalana, seorang lesbian berusia 19 tahun yang ingim merogol wanita lain kerana dia mahu merasa dekat dengan seseorang. Billy dan 22 personaliti lain tidak mengingati apa yang dilakukan oleh Adalana terhadap mangsa-mangsanya. 10 personaliti yang paling asas dalam gangguan yang dialami Billy adalah seperti:

  • Billy Milligan - Personaliti asas
  • Arthur - Seorang lelaki Inggeris yang berpelajaran dan pakar dalam bidang sains dan perubatan.
  • Ragen Vadascovinich - Pemarah dan gemarkan keganasan. Mengambil alih apabila Billy dalam keadaan terdesak. Tidak digemari oleh personaliti lain dan tidak tahu mengenai kejadian rogol.
  • Allen - Seorang penipu dan pandai memanipulasi. Gemar bermain dram dan melukis. Merupakan satu-satunya personaliti yang merokok.
  • Tommy - Sering disamakan dengan Allen. Bermain alat muzik saksofon dan seorang pakai elektronik. Dia juga seorang pelukis.
  • Danny - Takut kepada orang lain terutamanya lelaki.
  • David - Berusia lapan tahun dan dikenali sebagai "keeper of pain". Personaliti David muncul apabila personaliti lain merasa sakit.
  • Christene - Berusia tiga tahun. Personaliti ini muncul apabila Billy didenda melakukan kesalahan di sekolah. Mengalami disleksia tetapi Arthur telah mengajarnya membaca dan menulis. Mempunyai hubungan yang rapat dengan Ragen.
  • Adalana - Seorang lesbian. Memasak dan membersihkan rumah untuk semua personaliti. Dia juga gemar menulis puisi. Adalana mengaku melakukan jenayah rogol tanpa pengetahuan personaliti lain.

Pendakwa raya masih tetap ragu dengan penilaian ini. Mereka malah hadir sama dalam salah satu wawancara dengan Billy Milligan kerana ingin melihat sendiri bagaimana personaliti dalamannya itu muncul dan pergi.

milligan dibawa ke mahkamah

Salah seorang pendakwa raya iaitu Bernard Yavirch berkata, dia melihat beberapa corak perbualan dengan loghat yang berbeza daripada Billy. Malah, setiap personaliti juga mempunyai cara duduk yang berlainan di atas kerusi.

Semua orang akhirnya bersetuju bahawa Billy sememangnya mempunyai gangguan personaliti. Memang terbukti bahawa dia telah melakukan jenayah tetapi tidak sepenuhnya ke atas perbuatannya.

Hakim telah memutuskan bahawa Billy Milligan tidak bersalah atas alasan tidak siuman dan mengarahkan agar Billy dihantar ke pusat kesihatan mental Ohio.

Kesan trauma semasa muda

didera sejak kecil

Difahamkan ketika Billy muda, dia telah berulang kali didera secara seksual dan diseksa secara fizikal oleh bapa tirinya. Penderaan itu menyebabkan personaliti mengalami masalah.

Pada tahun 60-an dan 70-an, Billy terlibat dengan banyak masalah di sekolah, tempat kerja dan sering melanggar undang-undang. Kebanyakan perbuatan ini dilakukan oleh personalitinya yang berbeza.

buku billy mulligan

Pada tahun 1981, Billy bersama penulis Danial Keyes telah menghasilkan sebuah buku bertajuk The Minds of Billy Milligan. Pada tahun 1988 doktor yang merawatnya memberitahu bahawa gangguan kepelbagaian personaliti Billy hampir pulih dan dia dibenarkan untuk meninggalkan hospital mental.

Dia terus menerima rawatan sebagai pesakit luar untuk beberapa tahun lagi dan akhirnya bebas daripada gangguan pada tahun 1991. Billy malah bersetuju untuk membayar balik Majlis Negeri Ohio untuk kos rawatannya yang berjumlah USD 450,000.

Pada tahun 90-an dia tinggal di County San Diego di California, di mana dia dituduh telah membuat ancaman terhadap seorang hakum. Selain itu dia juga telah difailkan bankrup.

Dia akhirnya berpindah semula ke Ohio dan menyepi. Dia telah memutuskan hubungan dengan keluarga dan doktor yang merawatnya. Hanya salah seorang kakaknya sahaja tahu di mana Billy tinggal. Billy hidup menyepi sehingga dia meninggal dunia pada tahun 2014. Kisah Billy Milligan telah menjadi inspirasi kepada filem Split (2017) dan Glass (2019).

Rujukan:

1. Steem It

2. LA Times

3. Horror Freak News




Hakcipta iluminasi.com (2017)