Pada masa kini, memandu pada kelajuan 100 km/j di lebuh raya bukanlah satu perkara pelik. Bahkan, di Malaysia kita dibenarkan memandu sehingga had maksimum 110km/j di atas jalan raya. Malah, kereta-kereta yang lebih mahal harganya juga mampu mencapai kelajuan sehingga 300km/j kerana memiliki enjin yang lebih baik.

Namun, satu ketika dahulu sekiranya anda mampu mencipta satu kereta yang boleh dipandu pada kelajuan 100 km/j, ianya merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Itulah kejayaan membanggakan yang dicapai oleh kereta digelar "Le Jamais Contente" yang secara harfiahnya bermaksud "Tidak Pernah Puas".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanakah rekabentuk kenderaan ini?

Bayangkan sebuah logam berbentuk silinder, panjangnya kurang dari 4 meter dan memiliki 4 roda dengan pemandunya diletakkan di posisi di atas seperti seseorang menunggang kuda. Tidak ada tali pinggang keledar, tidak ada beg udara keselamatan dan ciri-ciri keselamatan lain seperti kereta pada masa kini. 

Kereta "Le Jamais Contente" merupakan kenderaan pertama di jalan raya di dunia yang mampu bergerak mencapai kelajuan 100 km/j. Pencapaian itu dicapai oleh pemandu aksi ngeri Belgium, Camille Jenatzy pada tarikh 29 April 1899. Lebih menarik, ianya adalah sebuah kenderaan elektrik!

Monopoli kenderaan elektrik

rekod kereta paling laju

Seratus tahun yang lalu, industri automobil didominasi oleh kenderaan elektrik dan terdapat lebih banyak pengeluar kenderaan elektrik berbanding sekarang. Ya, kenderaan elektrik pernah popular satu ketika dahulu sebelum tiba-tiba malap dan perkara pernah ini kami pernah tulis dalam artikel Sejarah dan Revolusi Penciptaan Kereta Elektrik.

Kereta elektrik pertama muncul pada tahun 1830-an yang dikuasakan oleh sel yang tidak boleh dicas semula. Namun pada tahun 1859, bateri yang boleh dicas semula mula digunakan untuk kegunaan kenderaan dengan penemuan bateri asid-plumbum dan memolehkan kereta menjadi kaedah pengangkutan yang praktikal.

Kenderaan elektrik pertama yang membawa manusia dengan sumber kuasa sendiri diuji di jalan raya Paris pada bulan April 1881 oleh pencipta Perancis Gustave Trouvé. Menjelang akhir dekad tersebut, kereta elektrik telah berjaya mencatatkan rekod kelajuan kenderaan di darat terlaju!

Kecintaan pada kelajuan

perlumbaan kereta

Jamais Contente direka sendiri oleh Camille Jenatzy. Beliau merupakan anak lelaki kepada pengeluar barang getah Belgium yang kaya dan beliau adalah salah seorang peminat dan pereka kenderaan pertama yang kilang pembuatannya telah menghasilkan banyak kereta dan trak elektrik.

Malah, beliau bersaing sengit dengan Count Gaston de Chasseloup-Laubat yang memandu jentera yang dihasilkan oleh syarikat Jeantaud. Kedua-dua pesaing ini beberapa kali beraksi dalam perlumbaan yang dilakukan di tempat awam untuk melihat siapakah yang mampu menghasilkan kenderaan terpantas.

Persaingan kedua-dua individu ini secara perlahan-lahan berjaya menaikkan rekod kelajuan kenderaan di darat dari 63 km/j (de Chasseloup-Laubat) menjadi 66 km/j (Camille Jenatzy). Kemudian rekod tersebut diperbaharui menjadi 70 km/j (de Chasseloup-Laubat), 80  km/j (Camille Jenatzy), 93 km/j (de Chasseloup-Laubat).

Le Jamais Contente memang dicipta untuk mencapai kelajuan tertinggi, mempunyai rupa bentuk umpama sebuah peluru berpandu dan diperbuat daripada partinium, aloi hasil campuran aluminium, tungsten dan magnesium. Ia mempunyai dua motor Postel-Vinay 25 kW, berjalan pada 200 V dan menghasilkan 124 amp dan sekitar 67 kuasa kuda.

Kenderaan pertama mencapai kelajuan 100 km/j

kereta paling laju 38

Camille Jenatzy berjaya meningkatkan kelajuan kereta ini sehingga kelajuan 100 km/jam dan mencapai kelajuan maksimum 105.88 km/j, mengungguli catatan sebelumnya yang dipegang oleh Count Gaston de Chasseloup-Laubat yang mengemudi jentera Jeantaud yang telah mencapai kelajuan 92.78 km/j hanya dua bulan sebelumnya.

Antara rahsia kejayaan ini adalah penggunaan bahan patrinium dan motor dengan 67 kuasa kuda. Camille Jenatzy juga menjadi pelopor awal penggunaan tayar pneumatik yang turut digunakan pada kereta ini. Secara kebiasaannya, kenderaan pada waktu itu menggunakan tayar diperbuat daripada keluli atau tayar getah pejal.

Pada tahun 1895, Edouard dan André Michelin menawarkan tayar pneumatik baru mereka kepada pembuat kereta yang bertanding dalam perlumbaan Paris-Bordeaux-Paris tetapi tiada siapa yang berminat menggunakannya. Tayar pneumatik merupakan satu ciptaan baru pada ketika itu dan tiada pelumba yang yakin akan potensinya.

le jamais contente

Namun apabila Camille Jenatzy meminta Michelins untuk menolong usahanya mencipta kenderaan terlaju di dunia, mereka dengan senang hati memasangkannya pada roda kayu berukuran 55 sentimeter (21.7 inci) keretanya dengan tayar pneumatik mereka.

Menurut sumber rekod ini dicapai pada 29 April atau 1 Mei 1899 di Achères, Yvelinesdekat Paris, Perancis. Rekod ini jelas menggambarkan revolusi kenderaan pada waktu itu yang berjaya merekodkan kelajuan sedemikian kerana hanya empat tahun sebelumnya, kelajuan maksimum yang dicatatkan tidak lebih daripada 30km/j.

Dengan rekod yang diciptanya ini, Le Jamais Contente berjaya menjadi kenderaan pertama yang berjaya mencapai kelajuan 100 km/j dan rekod yang dipegang ole Camille Jenatzy ini berjaya bertahan selama 3 tahun sebelum dipecahkan. Replika Le Jamais Contente hari ini ada di muzium automobil di Compiègne, Perancis.

Kredit:

  1. Automobile Mag
  2. Movin On



Hakcipta iluminasi.com (2017)