Antara topik yang hangat dibincangkan dalam bidang sains dan teknologi pada masa kini adalah persaingan untuk mencipta kenderaan elektrik (dalam bahasa Inggeris sering digelar "EV", singkatan kepada "electric vehicle").

Walaupun syarikat TESLA dilihat memonopoli pasaran EV, sudah banyak syarikat besar termasukalh dari China yang sudah membuat pelaburan yang besar untuk masuk ke pasaran EV yang dianggap sebagai pelaburan lumayan dengan permintaan pada masa hadapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun EV kerap diperkatakan sejak kebelakangan ini, idea mengenai penciptaan EV sebenarnya sudah sangat lama wujud, malah sebelum kewujudan syarikat TESLA itu sendiri. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak sejarah dan  revolusi kereta elektrik yang dijangka akan menguasai pasaran otomobil masa hadapan. 

Bagaimana kereta elektrik berfungsi?

kereta elektrikk volvo

Untuk memahami sejarah kereta elektrik, adalah penting untuk kita terlebih dahulu tahu apakah kenderaan yang tergolong dalam kategori kenderaan elektrik dan apa komponen wajib yang biasanya dimuatkan dalam sesebuah kenderaan elektrik yang membezakannya dengan kenderaan konvensional.

Kenderaan elektrik secara umumnya bekerja dengan menggunakan motor elektrik dan bukannya enjin pembakaran dalaman, seperti kereta berkuasa petrol atau diesel. Dalam kebanyakan kes, EV menggunakan pek bateri dengan kapasiti besar besar untuk menghidupkan motor.

Pek bateri ini diisi (cas) dengan disambungkan ke stesen pengecas atau outlet yang direka khas. Disebabkan EV menggunakan tenaga elektrik, ia tidak memiliki ekzos dan tidak mengandungi komponen seperti pam bahan api, saluran bahan api, karburator dan tangki bahan api yang diperlukan pada kenderaan petrol atau diesel. 

Secara amnya, kenderaan elektrik terdiri daripada rangkaian komponen asas. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada komponen-komponen yang dinyatakan dalam gambar di bawah:

komponen kenderaan elektrik 50

Revolusi penciptaan kenderaan elektrik

motor elektrik ciptaan anyos jedlik

Motor elektrik ciptaan Anyos Jedlik

Jadi, siapkah yang dikreditkan untuk penciptaan kereta elektrik pertama dunia?

Agak sukar sebenarnya untuk menamakan hanya seorang individu atau syarikat sahaja untuk dikreditkan sebagai penciptaan kenderaan elektrik pertama dunia. 

Seperti kenderaan enjin pembakaran, tidak ada satu nama yang boleh dikreditkan sebagai pencipta kereta elektrik. Kemunculan dan perkembangan kereta elektrik dianggap satu siri penemuan dan perkembangan yang akhirnya akan 'bergabung' menjadi apa yang kita kenali sekarang sebagai kereta elektrik.

Anyos Jedlik, seorang pencipta dari Hungary, mencipta motor elektrik terawal pada tahun 1828. Dengan menggunakan penemuan baru ini, beliau juga mengembangkan konsep awal untuk menggunakan elektrik sebagai alat pengangkutan dengan membina model kereta yang dapat digerakkan menggunakan motor elektrik.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1834, Thomas Davenport, membina kenderaan elektri yang dapat bergerak di landasan elektrik kecil dan bulat. Walaupun ciptaan ini cukup mengagumkan, ia tidak memiliki sumber tenaga yang boleh dicas semula sendiri dan oleh itu mempunyai kapasiti yang terhad sebagai alat pengangkutan.

Dunia perlu menunggu hingga 1859 apabila ahli Fizik Perancis Gaston Plante mencipta bateri asid plumbumnya. Teknologi ini terus ditambah baikl oleh seorang pencipta Perancis lain, Camille Alphonse Faure yang pada tahun 1881 telah meningkatkan kapasiti bateri dengan ketara. Perkembangan ini memungkinkan pengeluaran bateri pada skala industri.

Penciptaan terawal kenderaan elektrik

kereta elektrik terawal

 The Flocken Elektrowagen

Kereta elektrik terawal dahulunya tergolong dalam pasaran yang menguntungkan, terutama untuk digunakan di sekitar bandar. Beberapa pengguna kenderaan elektrik terawal adalah wanita yang mendapati kenderaan elektrik ini sangat sesuai untuk perjalanan pendek di bandar.

Salah satu kereta elektrik praktikal pertama dicipta oleh pencipta Britain Thomas Parker pada sekitar tahun 1884. Contoh lain dari kereta elektrik awal adalah The Flocken Elektrowagen, yang dihasilkan di Jerman pada tahun 1888.

Keadaan jalan raya yang teruk di luar pusat bandar menyukarkan kereta elektrik (dan wap / petrol) awal untuk menjelajah jauh di kawasan luar bandar. Ketika kereta elektrik mula dilancarkan pada tahun 1910-an, pengecasan bateri kereta elektrik awal ini dilihat mudah dan ianya menjadi tarikan orang ramai.

Pengilang kereta pada masa itu mula bereksperimen dengan kereta elektrik dan kereta hibrid elektrik terawal. Salah satu ciptaan penting adalah dari pengasas Porsche sendiri Ferdinand Porsche, yang mencipta model P1 yang terkenal pada tahun 1898 (ini juga merupakan kereta pertamanya).

Thomas Edison juga pernah mencurahkan keringat dan ideanya untuk penciptaan kereta elektrik awal kerana mempercayai keunggulan mereka berbanding alternatif lain dan beliau berusaha mencipta bateri dengan prestasi lebih baik.

Henry Ford (yang kebetulan merupakan kawan rapat Thomas Edison) bekerjasama dengannya pada sekitar tahun 1914 untuk menghasilkan kereta elektrik berkos rendah.

Faktor kejatuhan kereta elektrik

ford model t

Ketika kereta elektrik satu ketika dahulu dilihat sebagai potensi besar pada masa hadapan, revolusi penciptaannya tiba-tiba suram sehinggalah ianyaa kembali menjadi topik hangat otomobil sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mengapakah perkara ini berlaku?

Faktor pertama yang menyebabkan kereta elektrik tiba-tiba tenggelam adalah kerana penghasilan secara besar-besaran kereta Model T oleh syarikat Ford yang cukup popular ketika itu. Ada yang mendakwa ianya sengaja dilakukan oleh syarikat Ford untuk menyaingi pengeluaran kereta elektrik.

Kereta Model T ketika itu dijual pada harga $650 dan sebuah kenderaan elektrik dengan spesisfikasi yang sama dijual pada harga 3 kali ganda sekitar $1,750, maka sudah tentulah kereta Model T menjadi pilihan. 

Kemudian, perkembangan dan penambahbaikan pada enjin petrol, seperti penciptaan starter elektrik oleh Charles Kettering berjaya menyelesaikan salah satu masalah utama enjin pembakaran awal iaitu kesukaran menggunakan mesin jana tangan (hand crank).

Kereta elektrik semakin kurang mendapat perhatian apabila jaringan sistem jalan raya semakin baik, membolehkan kenderaan bergerak lebih jauh - sesuatu yang tidak boleh dilakukan dengan kenderaan elektrik. Penemuan rizab-rizab minyak mentah di seluruh dunia ketika menyebabkan harga minyak semakin murah dan lebih ramai individu memilih kereta dengan sistem pembakaran petrol/diesel sebagai pilihan. 

Kesemua faktor di atas ini menyebabkan revolusi penciptaann kereta elektrik seakan-akan terhenti pada tahun 1935 sebelum ianya muncul kembali puluhan tahun kemudian apabila teknologi-teknologi baru dicipta yang menjadikan kereta elektrik sebagai potensi baru pada masa hadapan. 

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Interesting Engineering
  3. Bloomberg
  4. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)