kereta malaysia paling gagal

Penghasilan model baru kenderaan merupakan satu pelaburan yang sangat besar. Daripada proses R&D di peringkat awal sehinggalah kepada pemasarannya, kosnya mungkin menelan berpuluh juta ringgit. Namun, tiada siapa yang pasti sama ada sesebuah model kenderaan itu akan terjual atau tidak.

Jika dikaji, terdapat banyak faktor sebenarnya yang boleh menyebabkan sesebuah model kenderaan itu gagal teruk antaranya adalah rekabentuk yang buruk, teknologi yang tidak kena pada masanya, kos penyelenggaraan yang tidak masuk akal, persepsi orang ramai dan sebagainya.

Dalam sejarah, kita juga dapat melihat beberapa model keluaran tempatan yang mendapat permintaan memberangsangkan di pasaran luar namun sambutan daripada  pasaran tempatan amat-amat mendukacitakan.

Kali ini, kami ingin berkongsi senarai 5 kenderaan keluaran tempatan yang gagal teruk. Jangan terkejut, mungkin ada antara model kereta dalam senarai ini anda tidak pernah dengar atau saksikan di jalan raya kerana kurang daripada 500 unit yang didaftarkan di negara ini.

5. Proton Savvy

proton savvy

Tahun 2005 menyaksikan Perodua melancarkan model Perodua MYVI yang sangat ikonik dan popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, Proton juga mahu bersaing dengan penghasilan model Savvy. Pada tahun pertama pelancarannya, jualannya sangat bagus kerana faktor jimat minyak yang diperkenalkan.

Proton Savvy juga adalah kereta pertama di Malaysia yang mengintegrasikan sistem AMT (Automated Manual Transmission) dan kereta ini juga pernah dieksport ke beberapa buah negara antaranya Singapura, Austria, Thailand dan Indonesia. Malah, kereta Savvy ini juga dikatakan amat popular di beberapa tempat di UK walaupun rupanya tidaklah begitu menawan.

Malangnya, maklum balas daripada pengguna sedia ada yang mendakwa alat ganti dan kos selenggaraan kereta ini yang terlalu mahal menyebabkan sambutan terhadapnya semakin berkurangan tahun demi tahun. Walaupun dikatakan jimat minyak, kos selenggaraan yang mahal menjadikan kereta ini tidak praktikal untuk dibeli oleh orang kebanyakan.

Akhirnya, pada tahun 2010 pihak Proton telah mengambil keputusan menghentikan produksi untuk penghasilan kereta ini. Persaingan dengan MYVI yang semakin bagus dan popular saban tahun menjadikan Proton Savvy terus terkubur. Kisah ini menggambarkan betapa pentingnya pengeluar mengambil kira kos selenggaraan sesuatu kenderaan bagi memastikannya mampu dibeli oleh sasaran pelanggan model kereta tersebut.

4. Proton Arena

proton arena 206

Proton Arena diperkenalkan pada tahun 2002 dan juga dieksport kepada beberapa buah negara. Model ini juga dikenali sebagai Proton Jumpbuck di United Kingdom, Taiwan, Afrika Selatan dan Australia. Proten Arena merupakan versi mini trak pikap yang dibangunkan daripada model Proton WIra.

Proton Arena tidak popular untuk pasaran Malaysia kerana ianya tidak praktikal untuk digunakan. Dengan 2 tempat duduk sahaja dan rendah, tidak ramai rakyat Malaysia yang menggemari rekabentuknya itu.

Berlainan pula dengan nasibnya di UK, model kereta ini mampu bertahan lebih 1 dekad di sana dan puluhan ribu telah terjual di pasaran UK sahaja. Malah, dikatakan majoriti kereta Proton Arena yang terjual sebenarnya adalah dari pasaran UK sahaja kerana permintaannya di Malaysia sangat-sangat hambar.

3. Proton Tiara

proton tiara 301

Proton Tiara telah diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun 1996. Ianya merupakan usaha sama Proton denngan pengeluar kereta Perancis, Citroen. Kerjasama ini merupakan langkah Proton untuk memperkembangkan lagi teknologinya setelah lebih 10 tahun dalam pasaran tempatan.

Hasil kerjasama ini, terhasillah Proton Tiara. Namun, Proton TIara cukup menyedihkan kerana hanya datang dengan varian manual 5 Speed. Selain itu, alat gantinya yang sangat sukar diperolehi menjadikannya model kereta yang paling murah untuk dijual semula.

Hanya selepas 4 tahun, penghasilan model kereta ini dihentikan secara rasminya pada tahun 2000. Proton Tiara merupakan satu lagi produk gagal hasil keluaran Proton.

2. Proton Juara

proton juara 348

Diberi nama Proton Juara, nama tersebut sememangnya tidak sesuai untuk model kereta ini. Sebaliknya, kereta ini lebih dikenali sebagai peti sejuk bergerak kerana bentuknya itu. Proton Juara dipasarkan pada tahun 2001 dan dianggap sebagai mini MPV pertama negara.

Daripada segi teknologi, Proton Juara boleh dianggap sudah cukup maju dan terkehadapan dengan beberapa ciri menarik antaranya electric power stering, teknologi handling daripada Lotus dan kemampuan memuatkan 6 tempat duduk yang fleksibel menjadikannya cukup menarik.

Walaupun mempunyai banyak ciri menarik, rekabentuk luarannya yang dianggap terlalu "ekstrim" dan kerap ditertawakan menyebabkan kereta ini tidak mendapat permintaan. Jualannya cukup mengecewakan dan kurang daripada 2 tahun, penghasilannya diberhentikan.

1. Perodua Nautica

perodua nautica

Sebahagian besar daripada kita sendiri mungkin tidak pernah melihat model kenderaan ini atas jalan raya. Walaupun kereta ini mempunyai rekabentuk yang menawan dan pelbagai faktor menarik, kelemahan strategi pemasaran menjadikannya satu kegagalan besar buat Perodua.

Sekali imbas, Perodua Nautica merupakan kembar kepada Toyota Rush. Model kereta ini dipasarkan pada tahun 2008 dan dijualkan pada harga RM90k. Sebagai perbandingan, Toyota Rush dijual pada harga RM95k dan perbezaan yang sedikit ini sudah tentulah menyebabkan lebih ramai memilih Toyota Rush yang dijual oleh syarikat Toyota yang jenamanya lebih gah berbanding Perodua.

Selain itu, kadar faedah untuk pembelian kenderaan nasional yang lebih tinggi daripada kenderaan import pada waktu itu menjadikan bayaran bulanan untuk Perodua Nautica lebih mahal berbanding Toyota Rush. Perodua Nautica terjual tidak sampai setahun dan kurang dariapda 500 unit sahaja yang didaftarkan.

Kredit:

  1. Nazz Abdullah


Hakcipta iluminasi.com (2017)