Wanita sering dipandang rendah kerana dianggap sebagai makhluk lemah dan tidak berdaya. Perkara yang sama diragui terhadap wanita dalam bidang sukan, terutamanya bagi wanita yang bertudung. Terdapat sterotaip terharap perkara ini, namun ia tidak menjadi penghalang bagi gadis berbakat besar, Kubra Dagli.
BESARKAN TEKS A- A+
Kubra Dagli, gadis berusia 20 tahun dari Turki ini telah memenangi pingat emas pada Kejohanan Taekwando Dunia ke-10 yang diadakan di Peru pada Oktober 2016. Ia merupakan satu pencapaian yang sangat besar bagi dirinya dan Turki, bukan sahaja kerana mendapat pingat emas dan dengan usia yang muda, tetapi juga kerana dengan penampilannya bertudung telah memecahkan sterotaip di Turki membuktikan wanita bertudung mampu pergi jauh dalam segala bidang termasuklah sukan.
Turki yang membawa pulang 5 pingat emas, 4 pingat perak dan 7 pingat gangsa mendapat liputan hangat daripada media tempatan, namun muka Kubra yang lebih banyak terpapar di media massa menjadi bualan hangat di negara itu. Mengapa? Kerana penampilannya bertudung, dan ia telah mengundang pelbagai kritikan tegas serta menjadi sumber inspirasi rakyat Turki.
Menjawab kritikan media dan orang ramai yang mempersoalkan penampilannya sebagai seorang Muslim berhijab namun tidak menutup aurat secara sempurna, Kubra membalas :
"Mereka tidak bercakap mengenai kejayaan saya tetapi mengenai tudung saya. Saya tak nak perkara ini berlaku, kita patut membincangkan tentang kejayaan ini. Kita telah berusaha sekuatnya dan telah menaikkan nama negara sebagai juara dunia. Dan ini adalah kebanggaan bersama" - Kubra Dagli
Sebagai salah satu usaha pemodenan Turki, wanita bertudung selalu dipinggirkan kerana dilihat sebagai tidak menyokong idea projek nasionalis sekular. Wanita bertudung juga dikaitkan dengan kemunduran membuatkan mereka berideologi sekular sukar untuk menghadam hakikat penglibatan dan kejayaan wanita bertudung dalam bidang sukan.
Antara kritikan-kritikan yang dilontarkan terhadap Kubra berbunyi, "Kaki tak ditutup, tetapi tutup kepala. Punggung dan peha diperlihatkan. Anda telah menarik perhatian orang ramai, apa yang bagusnya?". Juga seorang daripada pengkritik berkata, "Ini adalah satu penghinaan terhadap Islam dan wanita yang taat. Buang saja tudung itu,".
Ada juga yang mengatakan Kubra sepatutnya menjadi juara dunia dalam membaca Al-Quran. Bagi Kubra, beliau menafikan kecaman di media sosial ini dengan berkata:
"Mereka berkata dalam keadaan tidak sedar, saya tak baca dan tak kisahkan semua itu. Saya merealisasikan impian saya, dan saya bangun setiap pagi memikirkan untuk menjadi juara dunia," - Kubra Dagli
Namun disebalik kritikan pedas oleh orang awam, banyak juga media yang memuji Kubra kerana mencabar sterotaip mengenai wanita dan sukan. Kubra yang menceburi sukan taekwando sejak berusia 13 tahun lagi sentiasa dilihat memakai tudung, kecuali ketika dalam kejohanan pada tahun 2013 dimana beliau memakai bandana.
Di dalam dunia ini, setiap perkara yang kita lakukan pasti mempunyai pengkritik dan peminat sendiri. Namun, hanya kita sahaja yang tahu siapa diri kita dan tujuan kita dalam hidup. Walau sekeras mana kritikan diterima dan setinggi mana kita disanjung, hanya Allah sahaja dapat menghakimi segala baik buruk kita, bukannya orang lain.
Setiap yang kurang seharusnya ditegur dengan berhemah bukannya dengan kekerasan, kerana batu tidak akan lembut dengan membaling batu yang lain, tetapi menjadi berlekuk, hanya dengan titisan air yang lembut tetapi berterusan.
Wallahualam.
Rujukan :
1. Barakabits
2. All Monitor
3. SBS
4. Independent