Oleh pada 03 Feb 2018 kategori

Sumber foto: The Star Online

 

Kementerian Pendidikan (KPM) meluahkan rasa simpati dan hiba terhadap keluarga mendiang murid perempuan Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang maut setelah cuba membunuh diri akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, baru-baru ini.

Menteri KPM, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu insiden tersebut tidak seharusnya terjadi dan pihaknya telah memberikan tanggungjawab itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

"Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mendiang, dan saya fikir biarlah siasatan penuh dibuat antara pihak sekolah, guru dan polis sebelum tindakan kita buat selepas ini," ujarnya semasa Program 'Estate Run 2018' di Homestay D'Belimbing, Kuala Nerang, hari ini.

Dianggarkan seramai mencecah 800 orang murid terbabit menerusi aktiviti tersebut yang dianjurkan untuk menambahkan kesedaran memelihara khazanah alam dan keperluan bersukan dalam kalangan golongan remaja dan belia.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu guru berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sepanjang tempoh menantikan siasatan lengkap dilakukan oleh polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Beliau turut memberitahu harusnya wujud penambahbaikan serta pelarasan ilmu psikologi dari semasa ke semasa untuk lebih mengukuhkan ilmu tersebut dalam kalangan pendidik.

"Ilmu psikologi memang sedia ada dan diterapkan di peringkat universiti atau di Institut Pendidikan Perguruan Malaysia (IPGM), cuma kita boleh lihat dari aspek pembaharuan dan penambahbaikan agar guru-guru ini lebih memahami cara berdepan dengan pelajar dalam keadaan situsi demikian," jelasnya.

Pada 1 Februari lalu, M.Vasanthapiriya disahkan maut setelah 7 hari koma kerana menggantung diri di bilik kediamannya berpunca daripada tuduhan mencuri telefon bimbit gurunya menerusi insiden 24 Jan lalu. -  Bernama

Sumber berita: Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)