melayu kurang ajar

Zaman media sosial membuka lembaran baru pada masyarakat dunia, khasnya masyarakat kita untuk berkomunikasi.

Komunikasi yang kini boleh berlaku tanpa sempadan, membawa kepada bermacam jenis perkongsian. Ada kalanya baik, diselangi ilmu dan pengetahuan serta disampaikan dalam tona dan laras bahasa yang sopan. Ada pula ketikanya, media sosial menjadi satu kawasan tanpa sempadan di mana individu-individu berusaha untuk mendedahkan kemaluan orang lain, tanpa sedar dirinya sendiri didedahkan.

Adakah boleh kita katakan masyarakat kita khasnya masyarakat Melayu semakin lama semakin melupakan konsep adab? Tahukah anda, apakah sebenarnya tunjang kekuatan masyarakat Melayu?

Nilai harga diri orang Melayu adalah Islam

orang melayu budi bahasa

Nilai adab dan kelakuan masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada tiga penjuru yang mempunyai pengaruh besar dalam membentuk perwatakan seseorang bangsa Melayu. Pertama, hubungan manusia dengan Tuhan, kedua hubungan manusia dengan manusia dan yang terakhir hubungan seseorang itu dengan alam sekitarnya.

Apa yang jelas, agama Islam tidak boleh dikeluarkan daripada identiti Melayu kerana itu menjadi keutamaan utama dalam konsep nilai harga diri orang Melayu. Seseorang Melayu hanya mengamalkan kehidupan Melayu seandainya hidupnya disandarkan kepada al-Quran dan Hadis.

Peraturan hidup yang diambil daripada ajaran Islam perlu dijadikan asas kelakuan dan tindakan seseorang, memperbentukkan hubungan individu tersebut, memupuk nilai diri serta dijadikan panduan dalam sistem sosiobudaya orang Melayu.

Bahasa sebagai cermin bangsa

adab dalam bahasa melayu

Tradisi masyarakat Melayu juga sangat-sangat menitikberatkan nilai-nilai yang baik dalam berbahasa, dibentuk melalui penggunaan beberapa jenis cara komunikasi yang boleh dibahagikan kepada bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar dan bahasa biadab.

Setiap orang Melayu perlu memahami mengapa dia berkata-kata, apa yang diucapkan, cara dia menyampaikan kata-katanya dan mengenali dengan siapa dia berkata-kata. Ini kerana budaya orang Melayu sangat mementingkan seseorang Melayu menggunakan bahasa yang baik, dalam memastikan mereka menghormati orang lain.

Cara orang Melayu menggunakan bahasa dalam menunjukkan sikap hormat boleh dilihat menerusi penggunaan gelaran di kalangan adik beradik, seperti Abang Long, Pak Ngah, Abang Usu dan lain-lain. Kalangan muda ditegah untuk membahasakan diri mereka sebagai 'aku' dan menggelarkan mereka yang lebih tua sebagai 'kau' semasa berkomunikasi.

Penggunaan sistem gelaran itu bukan setakat memupuk suasana yang lebih harmoni, malahan turut sama mendidik seseorang itu untuk faham akan pentingnya sifat hormat menghormati di antara satu sama lain, di kalangan individu yang berlainan usia.

Hilang bahasa hilang bangsa

pidato bahasa melayu

Apabila penulis melihat semakin ramai anak Melayu sendiri seakan-akan tidak lagi mengendahkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, malahan sangat selesa menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi - ini sedikit sebanyak membuahkan rasa sedih pada penulis.

Ini kerana bahasa memainkan peranan yang sangat sinonim dengan budaya Melayu. Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan istilah 'budi bahasa' yang kerap kali kita sebut, tetapi tidak diamalkan. Istilah 'budi bahasa' itu sendiri sebenarnya membawa makna tingkah laku dan penggunaan kata-kata yang dipilih dengan cermat, yang dapat menggambarkan akhlak serta pekerti penuturnya.

Apabila 'budi' digabungkan dengan 'bahasa', konsep yang terhasil bukan setakat dapat dilihat daripada segi literal, malahan daripada segi rohani seseorang itu.

adab bahasa melayu

foto kredit TheStar dan The Straits Times 1963

Kepentingan bahasa merupakan sesuatu yang sepatutnya diangkat kerana dalam masyarakat Melayu, bahasa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Ini dibuktikan dengan kewujudan beberapa pepatah seperti 'bahasa tidak boleh dijual beli' dan 'hilang bahasa hilang bangsa.'

Orang Melayu meletakkan bahasa sebagai sesuatu kepercayaan yang membentuk pemikiran secara langsung, seterusnya menggambarkan nilai dan realiti budaya sesebuah masyarakat.

Jadi, apa yang boleh kita buat dalam memelihara konsep masyarakat Melayu yang telah bertapak sekian lama? Hayati makna 'berbudi bahasa,' rajinkan diri menulis menggunakan bahasa ibunda kita dan jaga penulisan serta pertuturan yang semakin kerap kita lakukan hari demi hari.

Jika kita tak sayangi bahasa kita, ia seolah-olah kita juga tidak sayang akan identiti bangsa kita.  Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.

Rujukan

Nilai Kesantunan Dalam Konteks Sosiobudaya Masyarakat Melayu (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)