kizhi pogost

Apabila membina sesebuah struktur kayu, paku adalah salah satu unsur paling penting. Paku bertindak sebagai pengikat dan mengukuhkan pelbagai bahagian struktur kayu yang dibina. Namun, salah satu gereja kayu tertinggi di dunia ini dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun.

Kizhi Pogost adalah gereja kayu yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun seperti yang biasa dilakukan pada zaman kuno mengikut tradisi di Rusia. Gereja ini merupakan salah satu contoh terbaik pertukangan Rusia pada zaman pertengahan.

kizhi pogost dari jauh

Kizhi Pogost adalah sebuah tapak bersejarah abad ke-17 yang terletak di Pulau Kizhi, Rusia. Kizhi Pogost terdiri daripada dua buah bangunan utama iaitu The Church of the Transfiguration dan The Church of the Intercession serta sebuah menara loceng. Bangunan kayu tertinggi ini termasuk dalam senarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1990.

Pulau Kizhi ini terletak di Republik Karelia di Tasik Onega. Kedua-dua gereja berpagar yang dibina di sini bertujuan untuk memisahkan tanah suci di situ dari dunia luar. Pada tahun 1950-an, pagar bangunan itu telah dibina semula dan digantikan dengan struktur log sepanjang 300 meter yang dibina di atas asas batu yang tinggi.

kizhi pogost semasa musim sejuk

Menara locengnya pula yang juga dikenali sebagai belfry, dibina setinggi 30 meter. Menara loceng gereja yang asal telah rosak dan dibina semula pada tahun 1862. Bingkai kayu menara itu yang berbentuk segi empat terdiri daripada 3 bilik yang menempatkan bilik perantaraan, tangga dan stor. Seperti juga gereja di situ, menara loceng itu juga dibina sepenuhnya menggunakan kayu.

Setelah dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1990, bangunan ini diiktiraf pula sebagai Warisan Kebudayaan Rusia pada tahun 1993. Selama bertahun-tahun sejak pertengahan abad ke-20, Pulau Kizhi telah menjadi muzium terbuka bagi bangunan bersejarahnya.

Walaupun monumen bersejarah dalam Kizhi Pogost kekal pada kedudukan asalnya, banyak lagi monumen bersejarah yang lain telah dibawa masuk ke pulau itu. Secara keseluruhannya, pulau ini menawarkan pelbagai pengalaman yang mengagumkan dan membuatkan anda berasa berada pada zaman purba Rusia yang elegan.

kubah pada the church of the transfiguration

Kubah pada The Church of the Transfiguration

Bangunan yang mempamirkan kehebatan pertukangan tradisi Rusia ini dibuat daripada gabungan kayu pine, spruce dan juga aspen. Bahagian teras bangunan ini menggunakan kayu balak bulat Scots Pine. Saiz balak yang digunakan adalah kira-kira 30 cm diameter dan 3 hingga 5 meter panjang.

Beribu-ribu batang kayu balak dibawa daripada tanah besar untuk kegunaan pembinaan di pulau ini dan ia mungkin agak mencabar dari segi logistik pada masa itu. Struktur bangunan itu tidak menggunakan sebarang paku sebaliknya menggunakan kayu yang bersambung. Bagi kubah-kubahnya pula, beratus-ratus jubin kayu berbentuk berlian digunakan.

Jubin kayu ini kemudian dilapiskan bersama-sama untuk membentuk struktur seperti sebuah mentol. Pembina bangunan ini telah membangunkan 22 buah kubah pelbagai saiz untuk Church of the Transfiguration. Ia semestinya suatu kerja yang amat sukar pada waktu itu. Manakala 9 kubah yang dibina pada Church of the Intercession pula begitu mengagumkan.

kubah pada the church of the intercession

Kubah pada The Church of the Intercession

Legenda mengatakan bahawa pembina utama bangunan ini telah melemparkan kapaknya ke tasik berhampiran setelah selesai membina Kizhi Pogost dan berkata bahawa tidak ada dan tidak akan pernah ada bangunan lain yang akan menandingi bangunan binaannya itu. Kata-katanya itu seakan-akan menjadi kenyataan. 

Daripada semua struktur bangunan Kizhi Pogost ini, Church of the Transfiguration adalah yang paling luar biasa. Gereja itu tidak mempunyai alat pemanas dan dikenali sebagai "Gereja Musim Panas". Tiada aktiviti yang dijalankan di Church of the Transfiguration ini pada musim sejuk. 

hiasan dalaman gereja khizi pogost

Hiasan dalaman gereja Kizhi Pogost

Altar untuk gereja itu pertama kalinya dihasilkan dan diletakkan di situ pada 6 Jun 1714, lebih kurang 150 tahun sebelum gereja itu terbakar akibat disambar kilat dan dibina semula. Tiada sebarang rekod yang ditemui mengenai pembina bangunan bersejarah lagi unik ini. Menurut cerita, pembina bangunan ini menggunakan sebilah kapak yang sama untuk membina keseluruhan bangunan kayu ini.

Sepanjang 300 tahun terbinanya bangunan kayu ini, monumen bersejarah Kizhi Pogost telah melalui pelbagai proses baik pulih. Dinding-dinding gereja telah dipasang dengan penutup perlindungan pada abad ke-19. Kini, kubah-kubah di sini juga dipasang dengan kepingan logam bagi tujuan penjagaan. Walau bagaimanapun, keindahan dan keunikan bangunan ini tidak pernah gagal untuk membuatkan para pengunjung berasa kagum.

Kerja membaik pulih sekali lagi dilakukan pada tahun 1940-an dan pada kali ini, dia kembali kepada penampilan asalnya. Antara tahun 1980 hingg 1983 pula, rangka besi dipasangkan di dalam Church of the Transfiguration. Banyak elemen hiasan dalam seperti ikonostasis (lukisan atau ukiran keagamaan) yang telah dikeluarkan. Walaupun pengubahsuaian dan pembinaan semula sering dilakukan, Kizhi Pogost masih berjaya mengekalkan sejumlah besar keasliannya hingga hari ini.

Rujukan:

1. Unesco

2. Daily Mail

3. World Heritage Site


tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)