isteri solehah

Seorang isteri yang solehah ialah isteri yang patuh kepada perintah Allah SWT dan rasul-Nya, serta taat kepada suami dan tidak sesekali menderhakainya. Rasulullah SAW bersabda:

"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah."

[HR Muslim no 1467]

Contoh di dalam Al-Qur'an

Namun, tanggungjawab menjadi seorang isteri bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan, menjadi isteri kepada seorang nabi pun tidak menjamin akhlak yang baik mahupun kedudukan di syurga. 

Allah SWT telah memberi pengajaran kepada kita di dalam 2 kisah yang berbeza dan ia adalah contoh yang benar-benar berlaku. 2 contoh tersebut adalah kisah isteri Nabi Nuh AS dan Nabi Luth AS.

wanita berniqab

Di bawah bimbingan suami yang menjadi pilihan Allah SWT, mereka sepatutnya menjadi ibu kepada umat yang dipimpin si suami, sebaliknya mereka menjadi golongan yang diazab oleh Allah SWT kerana menolak ajaran yang dibawa oleh suami masing-masing.

Allah SWT telah berfirman:

"Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".

[Surah At-Tahrim Ayat 10]

Di dalam Majmu Fatawa dijelaskan bahawa 'berkhianat' yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah pada perihal agama. Kedua-dua mereka, baik isteri Nabi Nuh AS ataupun Nabi Luth AS, telah melakukan pengkhianatan kerana enggan memeluk agama yang dibawa oleh suami masing-masing.

Pengkhianatan Isteri Nabi Nuh AS

kaum nabi nuh

Isteri Nabi Nuh AS telah membocorkan rahsia mengenai siapa yang menjadi pengikut suaminya agar kaum Nabi Nuh AS yang ingkar dapat mengganggu serta menyiksa mereka.

Tidak setakat itu sahaja, dia malah sering membangkang suaminya serta mendakwa kepada kaumnya bahawa "Nuh itu gila!" Anak sulung Nabi Nuh AS iaitu Kana'an juga mengikuti jejak ibunya.

Ketika Allah SWT menurunkan azab, Nabi Nuh AS telah mengajak kedua-duanya naik ke atas kapal namun ditolak. Mereka tetap enggan beriman kepada Allah SWT dan memilih kepercayaan nenek moyang mereka. Maka lenyaplah kedua-duanya ditelan banjir besar.

Pengkhianatan Isteri Nabi Luth AS

kota sodom

Ketika Allah SWT menghantar utusan malaikat untuk membinasakan kaum Nabi Luth AS, maka keluarlah para malaikat (yang menyerupai lelaki-lelaki tampan) itu dari rumah Nabi Ibrahim AS menuju ke kota Nabi Luth AS.

Setibanya mereka di Sungai Sodom pada waktu tengah hari, mereka telah berjumpa dengan puteri Nabi Luth AS yang sedang memberi minum kepada ternakannya. Lalu mereka bertanya "Wahai gadis, apakah ayahmu berada di rumah?" Lalu puteri Nabi Luth AS menjawab "Kalian tunggu di sini nanti aku akan kembali lagi kepada kalian."

Setelah berjumpa dengan ayahnya dia berkata "Wahai ayah, ada tetamu yang ingin berjumpa denganmu di pintu gerbang kota dan belum pernah aku lihat wajah lelaki yang setampan mereka dan aku bimbang mereka akan diculik kaummu"

Allah SWT berfirman:

"Dan ketika datang utusan-utusan Kami itu kepada Luth, dia merasa susah dan merasa sempit dadanya kerana kedatangan mereka,"

[Surah Hud ayat 77]

Ini kerana pada waktu itu masyarakat Sodom gemar melakukan fahisyah (homoseksual). Nabi Luth AS pergi berjumpa mereka dan membawa mereka pulang serta menyembunyikan mereka di dalam rumah kerana khuatir diketahui oleh kaumnya tentang ketampanan tetamunya itu.

kaum nabi luth

Namun isteri Nabi Luth AS telah memberitahu kepada kaum suaminya yang fasik tentang kehadiran tetamu mereka maka berlumba-lumbalah mereka datang ke rumah Nabi Luth AS kerana ingin menculik para tetamunya yang tampan.

"Dan datanglah kepadanya kaumnya dengan bergegas-gegas. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Luth berkata, "Wahai kaumku! Inilah puteri-puteriku. Mereka lebih suci bagi kalian. Maka bertaqwalah kepada Allah, dan janganlah kalian mencemarkanku terhadap tetamuku ini. Tidak adakah di antara kalian seorang yang berakal?"

[Surah Hud ayat 78]

"Mereka berkata, "Wahai Luth! Sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Sebab itu pergilah bersama keluargamu pada akhir malam dan jangan ada seorang pun di antara kalian yang menoleh ke belakang, kecuali isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka. Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu subuh; Bukankah subuh itu sudah dekat?"

[Surah Hud ayat 82]

Lalu Nabi Luth AS bersama keluarga (kecuali isterinya) serta pengikutnya telah lari keluar meninggalkan kota ini sebelum para malaikat memusnahkannya atas arahan Allah SWT.

Demikianlah kisah 2 orang wanita yang menjadi contoh isteri yang buruk. Walaupun bersuamikan nabi sekalipun tidak terjamin keimanannya. Mereka menjadi ujian berat bagi para utusan Allah SWT iaitu Nabi Nuh AS dan Nabi Hud AS.

Rujukan:

1. Tafsir Quran

2. MuslimOrId

3. Muslimah Daily


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)