Oleh pada 20 Jul 2019 kategori

Pada masa kini, sekiranya anda mencipta sesuatu rekaan baru, anda boleh mendaftarkan paten bagi rekaan tersebut bagi membolehkan anda diiktiraf sebagai pencipta dan pemilik idea rekaan tersebut. Walaupun prosesnya sedikit rumit, sekurang-kurangnya ia dapat melindungi hakcipta rekaan tersebut dan memberitahu orang ramai bahawa andalah individu pertama yang mencipta rekaan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, pada masa dahulu proses mendaftarkan paten bukanlah satu perkara yang mudah. Hal ini menyebabkan terdapat kemungkinan ciptaan yang sepatutnya diberikan kredit kepada individu tertentu diberikan pula pengiktirafan kepada orang lain.

Mungkin inilah yang terjadi pada penciptaan telefon. Sejak di bangku sekolah lagi, kita sering diperkenalkan kepada Alexander Graham Bell selaku pencipta telefon pertama di dunia. Namun, ada pendapat yang mengatakan beliau sebenarnya hanya mencuri idea Antonio Santi Giuseppe Meucci.

Siapakah Antonio Meucci?

pencipta telefon pertama

Nama individu ini mungkin begitu asing memandangkan beliau kurang dikenali sebagai saintis yang mencipta telefon. Walau bagaimanapun, rekaannya pada ketika itu tidak dikenali sebagai telefon sebaliknya digelar elektrofon.

Antonio Meucci lahir di Florence pada tahun 1808. Beliau meninggal dunia pada penghujung abad ke 19 dalam keadaan miskin di New York. Beliau merupakan seorang pejuang dan rakan kepada Giuseppe Garibaldi yang dianggap sebagai hero negara Itali.

Antonio Meucci mula berjinak-jinak menguji telefon primitif ketika bekerja di Florence sebagai juruteknik di sebuah teater. Namun, kerana sebab politik, beliau dan isterinya telah ditangkap dan dibuang negara oleh pihak kerajaan. Mereka mulanya berhijrah ke Cuba sebelum berpindah pula ke Amerika Syarikat.

Cubaan mempatenkan rekaan

rekaan telefon terawal

Kehidupannya di tempat baru digambarkan sangat sukar. Malah, beliau kehilangannya sebahagian besar wang simpanannya akibat ditipu oleh seorang penghutang. Dengan menggunakan wang simpanan ini jugalah beliau telah melaburkannya bagi mencipta alat perhubungan suara jarak jauh.

Beliau pernah cuba untuk mendaftarkan paten atas ciptaannya. Pada tahun 1871, beliau hanya mampu mendaftarkan sebahagian sahaja daripada ciptaannya memandangkan yuran pendaftaran paten penuh berharga $250 tidak mampu dibayarnya kerana kesempitan wang.

Perkara ini terjadi pada tahun 1871, 5 tahun sebelum Alexander Graham Bell. Malah, ketika tempoh pendaftaran patennya tamat, beliau tidak mempunyai wang untuk memperbaharuinya walaupun hanya perlu membayar $10 sebagai yuran pembaharuan paten.

Sudah jatuh ditimpa tangga

telefon pertama dunia 225

Nasib malang terus menimpa beliau. Ketika sedang menaiki feri ke Staten Island yang terletak di New Yor pada tahun 1871, dandang feri tersebut telah meletup sehingga menngorbankan 125 orang penumpang feri tersebut dan menyebabkan ratusan yang lain cedera.

Antonio Meucci walau bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan teruk yang menyebabkannya terpaksa berehat panjang. Ketika dalam proses pemulihan inilah beliau tersedar rupanya isterinya telah menjual sebahagian barangan di makmal kajiannya termasuklah telefon yang diciptanya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli ubat-ubat.

Namun, perkara ini tidak mematahkan semanganya untuk mencipta telefon. Dengan merujuk kembali catatan-catatan yang terdapat dalam bukunya dan hasil-hasil daripada eksperimennya, beliau telah ke syarikat telegraf Western Union untuk mendaftrkan prototaip ciptaannya.

Ketika itu, segala nota dan barangannya telah diserahkan kepada pihak Western Union bagi membolehkannya dinilai untuk proses pendaftaran prototaip telefon tersebut. Tidak lama selepas itu, pihak Western Union mendakwa barang-barang yang diserahkan beliau hilang.

Malah, pegawai-pegawai dari Western Union juga enggan bertemu dengannya. Kebanyakan daripada mereka ini adalah rakan dan rakan sekerja kepada Alexander Graham Bell. Dua tahun kemudian, Alexander Graham Bell tiba-tiba memfailkan paten penciptaan telefon dan menubuhkan syarikat dan menjalinkan kerjasama dengan Western Union.

Tuntutan di mahkamah

alexander graham bell 758

Antonio Muecci mengesyaki ada sesuatu yang pelik berlaku. Hal ini disebabkan pihak Western Union mendakwa barang-barang yang diserahkannya telah hilang dan pada masa yang sama pegawai-pegawainya merupakan kenalan baik kepada Alexander Graham Bell.

Kes ini dikatakan telah menarik minat orang ramai yang cukup simpati dengannya yang merupakan seorang imigran dari Itali yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Malangnya, keputusan para hakim menyebelahi Alexander. Hal ini mungkin disebabkan pengaruhnya dan kerjasamanya dengan Western Union yang merupakan sebuah syarikat besar yang sudah mempunyai cawangan di pelbagai negara.

Antonio Meucci akhirnya meninggal dunia dalam kemiskinan dan tanpa sempat membuat rayuan. Menariknya, pada tahun 2002, arahan terbaru dari US House of Representatives mengesahkan mereka mendapati Antonio Meucci sememangnya telah mencipta telefon pada tahun 1860 dan pada masa sama Alexander Graham Bell mempunyai akses kepada catatan dan eksperimen dan dilakukannya.

Kes ini merupakan salah satu contoh bagaimana seseorang individu melakukan penipuan untuk pengiktirafan. Walau bagaimanpun, perkara ini tidak mengejutkan bagi individu seperti Alexander yang percaya untuk berjaya perlulah melakukan segalanya yang termampu selain pintar dalam membuat keputusan dan perancangan.

Kredit:

  1. SCMP
  2. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)