penulis genre seram terkenal dunia

Seorang pengkarya yang hebat selalunya akan memiliki satu genre karya yang sinonim dengan dirinya, dijadikan sebagai identiti yang mudah dikenali.

Salah satu genre pengkaryaan paling kerap melahirkan individu karyawan berpengaruh, adalah genre pengkaryaan tema seram yang cukup popular serta mempunyai peminat tersendiri di kalangan masyarakat antarabangsa.

Berikut adalah lima karyawan cerita fiksyen bertemakan seram yang kami rasakan paling berpengaruh. Anda ada pengkarya lain yang anda rasa perlu kita sama-sama terokai?

1. Stephen King

stephen king

Lebih dikenali sebagai raja genre seram moden dunia, karya hasil tulisan Stephen King memainkan peranan yang besar dalam pelbagai jenis media menerusi lebih 63 buah novel dan ratusan cerpen tulisannya.

Lahir pada tahun 1947, King cuba memulakan kerjaya sebagai seorang guru tatkala mula mengasah bakatnya menulis. Dia mula dikenali selepas pertama beliau yang berjaya diterbitkan berjudul 'Carrie', diterima untuk terbitan kali pertama dalam tahun 1974.

Kisah seram yang dipaparkan dalam novel tersebut mendapat sambutan menggalakkan, terjual 30,000 unit. Kejayaan itu membawa kepada adaptasi novel tersebut kepada filem dengan judul sama, terbitan tahun 1976. Impak 'Carrie' kepada industri novel dan filem dapat dirasai sehingga kini, serta mengubah karier King.

Stephen King terus menulis, menghasilkan novel-novel klasik seperti Salem's Lot, The Shining, Cujo dan It, kesemuanya bukan saja diterima baik sebagai novel bahkah adaptasi filemnya juga sehingga sekarang masih lagi dirasai segar.

Walaupun lebih terkenal dengan kisah seram, karya King paling meninggalkan impak kepada industri seni adalah novel 'Rita Hayworth and the Shawshank Redemption', di mana adaptasi filemnya sering dikatakan antara filem terbaik sepanjang zaman pernah dihasilkan.

2. Clive Barker

clive barker penulis berpengaruh

Pada awal karier sebelum namanya dikenali, Clive Barker anak kelahiran Liverpool di England pada tahun 1952 ini terpaksa melacurkan dirinya sendiri bagi mencari pendapatan melayani golongan-golongan kaya. Perlu diberitahu, Barker secara terbuka mengakui dirinya seorang homoseksual sejak dekad 1990-an lagi.

Pengaruh pengalaman itu nampaknya sangat menghantui karya-karya Barker, yang penuh dengan analogi seksualiti dari segi reka bentuk dan sifat serta kecenderungan untuk memiliki watak yang tidak takut untuk menyakiti diri sendiri.

Namanya sangat mirip dengan genre filem seram, kerana karyanya yang berpengaruh seperti 'Hellraiser' dan 'Candyman' telah diadaptasikan kepada bentuk filem dengan berjaya. Selain itu beliau juga mempunyai siri-siri permainan video bertemakan seram, dengan 4 judul telah diterbitkan setakat ini.

3. Bram Stoker

bram stoker

Misteri tentang bagaimana penulis dari Ireland dengan nama Bram Stoker atau nama sebenarnya Abraham Stoker, mencipta watak 'Dracula' terus diperdebatkan sehingga ke hari ini. Begitulah kuatnya impak karya Stoker kepada genre seram moden.

Kisah sebenar bagaimana Stoker menemui idea untuk menyatukan elemen dunia nyata bersama elemen-elemen fantasi rekaannya sendiri, digarap cukup cantik; sehinggakan pembacanya tidak mampu membezakan adakah karya Stoker sebuah karya berasaskan sejarah sebenar atau hanya sebuah karya fiksyen semata-mata.

Impak 'Dracula' yang terbit pada tahun 1897, ditulis mirip seperti sebuah kertas siasatan dunia sebenar memberikan pembaca satu dunia semi-fiksyen berbeza yang menarik untuk diterokai dan diperhalusi dan akhirnya diterjemahkan kepada pelbagai jenis medium berbeza.

Banyak tokoh dunia nyata seperti Vlad the Impaler, seorang raja masyarakat Wallachia (kini Romania) didakwa merupakan inspirasi sebenar idea Dracula dibangunkan. Tetapi semua itu hanya telahan.

Stoker terus meninggalkan kita dengan misteri, setanding dengan legasi yang telah beliau ciptakan.

4. HP Lovecraft

hp lovecraft penulis seram berpengaruh

Howard Philips Lovecraft atau HP Lovecraft merupakan seorang penulis yang dikenali dengan legasi dunia fiksyen 'The Call of Ctulhu', sehingga ke hari ini masih diperkembangkan dan ditambahbaik oleh peminatnya.

Seorang remaja yang membesar dalam keadaan kurang sempurna, berdepan masalah ayah yang sakit mental pada usia bayi lagi. Lovecraft juga dibebani banyak penyakit yang mengganggu tumbesaran beliau. Salah satunya adalah gangguan mimpi ngeri akibat paramsonia yang membuatkan dia menjerit setiap malam, tanpa boleh tidur.

Tabiatnya berubah selepas itu bila dia mula tidur siang dan berjaga malam setiap hari, mengubah kompleksi kulitnya menjadi pucat akibat jarang terkena matahari. Ibunya yang takut Lovecraft dibuli, menasihati anaknya untuk duduk saja di rumah. Jadi Lovecraft menghabiskan waktu malamnya belajar dan tidur sepanjang waktu siang.

Pada tahun 1924, Lovecraft diminta oleh Harry Houdini, ahli silap mata terkenal dunia untuk menjadi penulis bayangan kolum Houdini dalam sebuah majalah berjudul Weird Tales. Dari situlah Lovecraft mula melihat penulisan sebagai cabang karier yang berbaloi untuk diteruskan, mula menulis menggunakan nama sendiri.

Dalam tahun 1928, Weird Tales menerbitkan cerpen 'The Call of Cthulhu', berdasarkan salah satu mimpi yang pernah dialaminya. Cerpen itu kini telah ditukarkan sebagai drama radio, permainan video, filem, animasi, lagu dan pelbagai lagi media berbeza.

Kumpulan metal Metallica juga ada menggubah lagu berdasarkan tajuk cerpen tersebut. Pengaruh Lovecraft cukup meluas sehinggakan wujud satu sub-genre khas khusus untuk karya yang diinspirasikan beliau, digelarkan 'Lovecraftian.'

5. Junji Ito

junji ito pengkarya berpengaruh

Walaupun empat nama besar di atas memang membawa pengaruh luas dalam industri pengkaryaan bergenre seram, Junji Ito - pelukis dan penulis kisah seram dari Jepun mempunyai tempat yang cukup istimewa pada penulis.

Ini kerana dia mampu mencipta identiti sendiri dalam genre yang sarat dengan karya-karya berpengaruh karyawan lain - walaupun bermula paling lewat sekitar penghujung dekad 1980-an. Cerita fiksyennya unik, agak luar biasa ideanya dan rekaan makhluknya juga menyeramkan, aneh serta sangat-sangat Junji Ito.

Lukisannya juga mempunyai perwatakan sendiri. Mata sering dijadikan menjadi fokus utama dalam teknik lukisannya, yang biasanya dilukis secara realistik memaparkan emosi yang sedih dan kesunyian; mampu memukau pembaca komiknya.

Jika anda belum pernah membaca komik hasil tangan Junji Ito, kami syorkan anda untuk mula menelaah karya-karya seorang mahaguru fiksyen seram moden ini yang masih aktif berkarya.

Karya pertama beliau 'Tomie' serta banyak lagi judul karya beliau telah pun diadaptasikan ke dalam bentuk siri filem di Jepun. Sementara karya beliau yang paling terkenal 'Uzumaki' selain pernah diterbitkan dalam bentuk filem, juga sedang dalam proses penghasilan animasinya untuk pasaran antarabangsa - bakal diterbitkan pada tahun 2022.



Hakcipta iluminasi.com (2017)