Jika pada tahun 90-an dulu karaoke sering dikaitkan dengan kegiatan orang berada yang 'kurang sihat,' kini lambakan pusat karaoke menjadikan aktiviti menyanyi ini sebagai salah satu pengisian masa lapang bersama keluarga dan rakan-rakan.

Mungkin anda pernah mendengar erti sebenar karaoke yang digembar-gemburkan sebagai pekak ton. Namun, ia sebenarnya adalah gabungan perkataan Jepun "kara" yang bermaksud kosong dan "oke" iaitu singkatan kepada "okesutra" ataupun orkestra.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mesin karaoke pertama dicipta oleh seorang pemuzik bernama Daisuke Inoue pada tahun 1971. Ketika itu, Inoue tinggal di Kobe dan menjadi pemain dram bagi sebuah kumpulan yang akan bermain muzik mengiringi nyanyian pelanggan bar.

daisuke inoue pencipta mesin kotak karaoke

Dalam satu temu ramah dengan akhbar The Guardian, beliau memberitahu yang beliau merupakan seorang ahli muzik yang sangat teruk. Jadi, beliau mencipta sebuah mesin untuk memainkan muzik untuknya apabila beliau tidak ingin bermain (atau tidak pandai bermain). Pada mulanya, sebanyak 11 buah mesin telah dibangunkan dan disewakan kepada perniagaan tempatan.

daisuke inoue pencipta karaoke seorang pemain dram

Bermula tahun 80-an, karaoke sudah mula terkenal di seluruh Jepun. Menurut Forbes, bar karaoke Amerika pertama dibuka di Los Angeles pada tahun 1982. Menjelang 2003, Kejohanan Karaoke Dunia pertama mula diadakan dengan penglibatan tujuh negara. Sejak itu, karaoke telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

mesin karaoke pertama dicipta pada tahun 70 an

Inoue tidak pernah membuat permohonan paten untuk produk mesin karaoke itu. Menurut NPR, Inoue tidak pernah menerima sebarang bayaran atas hasil ciptaannya kerana pada ketika itu, beliau hanya berniat mahu membantu artis tempatan agar mereka boleh menjalankan perniagaan kecil. Seorang lelaki Filipina bernama Roberto del Rosario telah memfailkan paten ke atas Sistem Nyanyi Bersama Karaoke pada tahun 1975.

daisuke inoue pencipta karaoke bangga dengan ciptaannya

Akan tetapi, Tuhan Maha Adil. Walaupun tidak kaya, akhirnya Inoue menemui kejayaan pada tahun 1999 apabila Time menamakannya sebagai salah seorang warga Asia yang paling berpengaruh dalam abad itu dan diikuti dengan penerimaan Hadiah Nobel Keamanan Ig pada tahun 2004 atas pencapaian "mengajar manusia cara baru untuk bertoleransi antara satu sama lain."

daisuke inoue pencipta karaoke menerima hadiah nobel ig

Dalam ucapan penerimaannya semasa majlis Hadiah Nobel itu, Inoue berkata yang dahulu beliau hanya bercita-cita untuk mengajar orang menyanyi, jadi beliau mencipta karaoke. Beliau tidak menyangka yang ia bakal menjadi sesuatu yang besar dan melakar sejarah. Kini, beliau ingin mengajar seluruh dunia pula untuk menyanyi dalam keadaan yang benar-benar harmoni. Ucapannya itu telah menerima tepukan paling gemuruh daripada para hadirin dalam sejarah Hadiah Nobel Ig.

Rujukan:

1. TIME

2. Taipei Times

3. NPR




Hakcipta iluminasi.com (2017)